mereka yang tegar

Saturday, August 01, 2009

perempuan berkalung sorban - hayatilah dengan mata hati

Wanita Berkalung Serban. Pakainya hanya beberapa babak tetapi dibuat judul. Mungkin mahu digambarkan serban itu simbol perjuangan wanita tersebut. Orang Palestin lilit serban kerana itu lambang budayanya, namun filem ini? Entahlah. Emak saya kadang-kadang pakai kain serban juga yang dibuat tudung kepala.

Biarpun cerita ini mungkin sudah basi bagi Malaysian yang menggemari youtube, namun masih segar bagi saya kerana baru sahaja berkesempatan menonton. Itupun setelah hangat diperkatakan oleh mereka yang melihat perlunya penjelasan terhadapnya. Kerana apa iya perlu diperjelaskan? Pasti bukan kerana pelakonnya bintang sinetron Bawang Putih, tetapi konflik yang diketengahkan oleh filem ini berkait rapat dengan kefahaman Islam dari sudut kebebasan wanita. Kontroversi filem ini telah lama panas di Indonesia yang melibatkan pandangan ulamak dan juga karyawan.

Sebelum ini saya menafsirkan Annisah hanya gadis yang tiada kekuatan agama setelah hanya melihat babaknya di bangsal dalam trailer. Alah, ini mesti kes cintan-cintan orang beragama yang tidak kesampaian. Lepas itu hendak pertahankan ianya diharuskan. Sebab itu saya kurang berminat, tetapi rancak pula orang berbicara mengutuk atau mempertahankan WBS . Jadi ingin juga untuk menonton biar isunya jelas dalam menjadi pengkritik bebas.

Saya mulakan tontonan dengan cuba memadamkan segala tanggapan negatif mahupun positif terhadap filem ini yang saya tahu berdasarkan komen-komen penonton. Satu persatu dicari apakah mesej yang ingin disampaikan oleh filem ini. Keganasan rumahtangga, sudah banyak filem Indonesia yang sedemikan. Keautoritian bapa dalam menentukan masa depan anak gadisnya? Juga sudah basi. Cintan cintun? Itu sudah mesej wajib bagi kebanyakan filem.

Kejumudan institusi pondok? Mungkin juga ya. Kefahaman salah dalam memahami Islam? Mungkin juga. Konflik jiwa? Mungkin juga. Kelemahan menjiwai Islam? Mungkin juga. Banyak lagilah kemungkinan yang cuba diketengahkan secara tersirat di sebalik kejelasan mesej filem ini.Tersuratnya ia cuba menafsirkan kebebasan wanita mengikut kacamata Islam.

Bagi saya Annisah memperjuangkan sesuatu yang ada benarnya dan sering disalah tanggap atau sengaja ditanggap salah. Isunya kebebasan wanita dalam (mesti ada) Islam. Wanita ada kebebasannya di dalam Islam, namun ada keterbatasannya bagi memuliakannya dan melindungi perasaannya jika dikaji mendalam.

Annisa yang ditampilkan bijak adalah heroin yang diangkat dalam cerita ini. Dia mewakili mangsa keadaan yang cuba berani bangkit biarpun terpaksa melalui fasa-fasa ujian yang begitu berat. Namun Annisa bukanlah contoh pejuang yang kental berpasakkan kefahaman Islam. Apatah lagi untuk sangat menjiwai Islam itu sendiri, Cuma Annisa cuba juga menjadi hamba yang patuh.

Annisa adalah contoh generasi why yang suka kepada logik dalam memahami Islam. Apatah lagi perkara yang berkisar dengan haknya sendiri. Akibat ketidakupayaan masyarakat sekeliling memberikan jawapan yang dibangkitkannya apatah lagi kesalah fahaman yang didokong, jiwa Annisah kabur dan lemah. Maka tidak hairan jiwa Annisa begitu mengharapkan cinta Khadori, seorang yang seakan sangat memahaminya.

Annisah semakin lemah dan jiwanya makin ponggah apabila satu persatu peristiwa yang terjadi kepadanya semakin menyesakkan. Akibat tekanan hidup yang makin kemuncak, bertambah dengan kehadiran semula Khudori, ketauhidan Annisa yang difahami hanya sebatas itu menjadi semakin rapuh. Lalu ingin dirungkaikan terus bersama harga diri ketika peristiwa di bangsal. Apabila tekanan tidak terkawal, manusia boleh melakukan sesuatu yang di luar dugaan. Apatah lagi setelah dibius bisikan nafsu dan syaitan. Nah, sudah jelas bukan bahayanya cinta meskipun di kalangan penuntut agama?

Setelah itu satu persatu peristiwa yang makin memperlihatkan rahmat dalam kehidupan dan perjuangannya pula makin jelas sehingga akhir cerita. Annisah sebenarnya dapat menjiwai tauhid bukan dari kitab, tetapi dari ketentuan hidupnya yang semakin bersinar setelah berlalu kegelapan ketika perkahwinan pertama yang sangat malang.

Tertarik juga sikap Annisah yang tidak terlalu menafsirkan kebebasan seperti yang dilaung-laungkan oleh Barat. Annisah tidak terikut dengan budaya rakan-rakannya yang membuang terus harga diri akibat kebebasan yang diimpikan selama ini, telah tidak terkawal. Annisa bebas untuk melakukannya di bandar tetapi itu bukan fokus dan dokongannya. Jawapannya pada rakannya, “Iya, kebebasan itu seronok” adalah sindiran yang menyedarkan rakannya dan bukan membenarkan. Buktinya rakannya itu tidak tersenyum dengan jawapan tersebut yang seperti diajak bermuhasabah semula.

Saya suka apabila Annisa tetap tega mencari makna kebebasan meskipun bukan lagi dengan kekuatan cinta. Akhirnya Annisa berjaya mendapatkan cintanya dengan ikatan halal dalam kondisi ia cuba melupakannya. Berbanding sebelum kahwin, Khudori lebih terlihat kekuatannya selepas mengahwini Annisa dengan menjadi suami yang sangat memahami kondisi dan masalah isterinya berdasarkan kefahaman Islam yang lebih jelas. Sebenarnya hanya itulah Annisa dambakan dari pemikiran dan layanan seorang lelaki terhadap wanita. Bukannya kebebasan total tanpa kekangan dan batasan yang ia inginkan



Babak yang menarik.

1. Annisa tidak menanggalkan tudungnya sekalipun ketika di kota sedangkan pernah ingin dilepaskan kesemuanya ketika di bangsal dahulu. Maknanya perjuangannya dan pendirian agamanya makin jelas meskipun dia bekerja dengan mereka yang free hair yang begitu memperjuangkan hak wanita mereka.

2. Pensyarah Annisa yang menggalakkannya menulis. Begitu juga galakan Annisa kepada pelajar-pelajar pondok. Penulisan dan karya digambarkan sesuatu yang mampu memberi kekuatan dan melejit kebangkitan. Annisa pula memberi buku bukan sekadar untuk dibaca, namun dipanjangkan dengan cuba menulis dan mengolah kefahaman tersebut. Malah Annisa ada titik tuju perjuangannya sendiri dengan menubuhkan sebuah maktabah.

3. Layanan Annisa terhadap pelajar-pelajar pondok tersebut. Kalau kita sebagai pengajar, pernahkah kita memberikan buku-buku kepada pelajar, atau sekurang-kurangnya meminjamkan mereka buku? Pernah tidak kita mengesyorkan mereka sesuatu buku yang di luar muqarar atau memberikan mereka semangat untuk mencintai buku? Mendorong mereka berkarya atau cuba memahami jiwa mereka? Fikirkan dong!

Teringat saya ketika di bersekolah dahulu seorang guru merampas sebuah novel dari kawan saya yang lebih kurang bertajuk Derita Dilambung Badai. Sebenarnya buku itu menceritakan kisah benar seorang nelayan yang mengharungi detik-detik getir dilambung ombak ketika sampannya hanyut di lautan. Tetapi obses dengan tajuk terus kawan itu teruk dimarahi.

Dahulu di sekolah rendah lagi saya sudah membaca karya Mana Sikana, Khadijah Hashim, Arena Wati yang dicari di perpustakaan dewasa. Masuk sekolah agama, tiada lagi kesempatan dan galakan begitu yang akhirnya minat sastera dan membaca saya terus kehilangan jejak buat sekian lamanya. Hanya baca buku muqarar sahaja yang dibenarkan.

4. Suasana berbahasa arab di madrasah. Kita ramai yang bersekolah agama, namun kita mengakui suasana menjiwai bahasa Arab sangat nihil. Guru Arab di madrasah saya belajar dahulu dan di tempat mengajar sekalipun, lebih bertutur dalam bahasa Melayu. Malah di universiti dan setelah berada di negara arab sendiri, masih kurang budaya tersebut di kalangan pelajar kita. Saya banyak mengenali rakan-rakan dari Indonesia. Rata-ratanya mereka boleh menguasai pertuturan Arab dengan baik biarpun lahjahnya huruf shin menjadi sin. Antara kekuatan mereka, dasar pondok mereka dahulu yang begitu menekankan perbualan dalam bahasa Arab.

Antara babak yang tidak menarik.

1. Bab-bab couplelah, tetapi jangan tipu, kes ini biasa juga berlaku di sekolah-sekolah agama. Annisah berpegangan tangan dengan Khudori ketika kecil lagilah sebal. Ia menunjukkan percintaan ketika umur yang tidak sepatutnya, bukannya melihatkan kesetiaan dan kejujuran dalam erti persahabatan kanak-kanak atau remaja.

2. Khudori menyentuh tangan Annisa di kedai makan. Gatal sungguh dan ini satu lagi bahaya dating-dating baik di kalangan penuntut agama sekalipun. Khudori digambarkan seorang yang berpendidikan tinggi dalam agama. Namun terkalah juga ya dalam babak ini yang mengurangkan kesiqahannya. Cinta tidak semestinya terzahir dengan sentuhan kecuali setelah perkahwinan. Perasaan cintanya ketika menuntut itu sendiri sudah mengurangkan siqahnya.

3. Annisa menonton wayang. Kali pertama ia boleh dianggap atas dasar kesalahan fahaman dan juga kerana kekaburan jiwa remaja yang inginkan hiburan. Namun tidak bagi kedua kalinya ketika mereka di kuliah dan rupanya pengarah memang memahami menonton wayang sesuatu yang dihalalkan dan tidak perlu disekat.

Ini tidaklah menghairankan sekiranya seorang sudratara filem berfahaman sedemikan. Siapa lagi yang ingin menyokong industri filem kalau tidak mereka sendiri. Tidak hairan kalau kita mendengat ‘Ustaz’ A menonton wayang dengan penyanyi W. Pawagam adalah lambang kejayaan mereka dan lubuk wang bagi mereka. Namun salahnya apabila ‘kehalalan’ itu diangkat dari sudut gambaran kefahaman Islam yang sebenar di dalam filem ini. Hendak perjuang kebebasan Islam, tunjuklah sungguh-sungguh.

Apa yang jelas, Islam bukan mendiskriminasi kebebasan wanita, namun wanita diangkat dengan penuh kemuliaan. Wanita Islam tidak perlu disalah tanggap sebagai hamba kepada Muslim kerana setiap dari kita adalah hamba Allah, Pencipta Yang Maha Kuasa. Cuma wanita adalah insan lemah yang penuh berperasaan dan seribu prasangka. Bijaknya hanya bila disulami dengan keimanan dan ilmu yang mendalam.

10 komen tak puas hati:

CikGu_MaN said...

waaa...

best x...
karya islami indo slalunyer gempak dan berani...

WBS cm2 gak ker...???

ain fathihah said...

sgt best! cuba la tgk dlu, cikgu man..

tak rugi pn

sarat dgn mesej yang perlu utk kita fikirkan...


sblm tgk, neutralkan dlu minda tu ye!

guntur said...

''kebebasan itu bukanlah dapat berbuat sesuka hati kita tetapi dapat membuat kebaikan tanpa halangan'

Hamba Ilahi said...

bebas dari sudut nafsu dan syahwat memang menjerumuskan kita ke dalam lembah yang jauh dari sudut islami.
bukan pelajaran agama yang tinggi perlu dibanggakan kerana ia bisa diperdagangkan dengan cara apa sekalipun. pesan luqman pada anaknya "jangan jual akhirat demi keuntungan dunia" juga banyak berlaku kini.
dalam meruntun keredhaan ILAHI kita sering tewas namun pintu rahmat masih terbuka luas dan tak seincipun tertutup.
filem ni moga menjadi landasan untuk kita memahami islam yang sempurna.
ain doakan abag untuk mencari dan memiliki isteri semulia khadijah walau diri jauh dari perlakuan Rasulullah s.a.w.
tak sabar nak tengok filem "keika cinta bertasbih".

ain fathihah said...

ya abg din..

ain doakan abg bertemu bidadari belahan jiwa yang akan melengkapi abg sptmana khadijah melengkapi baginda Rasulullah..

insyaAllah

a kl citizen said...

dah kenal maka jatuh cinta ya...

Samurouh said...

Salamboleh download kat sini >>>http://www.megaupload.com/?d=T96UFK8H

jAuh hAti said...

apa hg bebel byk2 neh..

=.=

kapten said...

panjang juga cerita nyer..dan menarik..juga komenya..boleh jadi pengkritik filem..

Alzasha Illiyyin Zainal Alam said...

Macam menarik. Nampak macam Lord of The Ring masa atas kuda.