Monday, September 12, 2011

saling tegur menegur (eh, tajuk entri skema sebab tak boleh nak fikir catchy title)

fitrahnya sifat manusia, tidak boleh tidak, tidak lari dari membuat kesalahan. mana ada manusia zaman sekarang yang tak buat salah langsung. salah pada diri sendiri. salah dengan Tuhan. salah dengan orang lain. salah dengan alam. salah dengan haiwan.

bezanya antara manusia itu, adalah cara kita menerima teguran. suka saya ingatkan, ada beza antara teguran dan kutukan.


(sengaja guna nama sendiri, menunjukkan entri ini adalah peringatan untuk diri)

teguran :

"Ain, sudah-sudah la merokok. tak elok untuk kesihatan. bazir duit pula tu"


kutukan :

"bodoh ar hang ni Ain. hisap rokok cam lahanat. biaq la hang mampuih cepat. nyaman sikit udara ni"


Namun, bila sudah ditegur cara baik pun, bukan semua daripada kita boleh menerima teguran. biasalah manusia, ada egonya. malah sebab ego dalam diri ini juga yang buat kita rasa dan fikir, kitalah betul. kita saja yang betul. orang lain salah. orang lain yang patut disalahkan. bukan kita. sebab aku betul dan maha betul.


jenis manusia pertama : langsung takmau menerima teguran

bila ada yang menegur,

"Ain, tak patut hang buat macam ni. salah ni. hang kena fikir masak-masak. jangan menyesal kemudian hari. aku tegur sebab aku sayang."

"ADA AKU KISAHHH??! hati aku, suka hati aku la. ada aku kacau duit mak pak hang?"

manusia sebegini, sekali dua orang-orang tersayang di sekelilingnya akan masih mampu menegur. kali keempat dan seterusnya, orang yang menegur tidak lagi akan bertindak untuk menegur, sebaliknya cuma memerhatikan dari jauh dan berpura-pura tidak endah apa saja yang berlaku. lantak hang la. hang rasa hang pandai kan.


jenis manusia kedua : pura-pura menerima teguran

"Ain, tak patut hang buat macam ni. salah ni. hang kena fikir masak-masak. jangan menyesal kemudian hari. aku tegur sebab aku sayang."

kemudian dengan nada pura-pura sayu menjawab

"yalaa, semua salah aku. memang aku yang salah. semuanya yang berlaku adalah salah aku. akulah yang patut disalahkan. mat indera masuk komunis tu pun salah aku jugak. bik mama beli cincin juta-juta tu salah aku. jambatan pulau pinang sesak pun salah aku. semua salah aku. kau memang saja nak salahkan aku kan?!"

aik? sengaja dia buat-buat mengaku semua kesalahan sampaikan yang tak berkaitan langsung pun disebut juga. motifnya, untuk alih isu utama. manusia ini, di mulut saja mengaku salah, padahal dalam hati dia menafikan kesalahan yang dilaku, malah tidak berubah pula. terus melakukan kesalahan yang sama.


jenis manusia ketiga : terasa hati dengan teguran tapi berubah

"Ain, tak patut hang buat macam ni. salah ni. hang kena fikir masak-masak. jangan menyesal kemudian hari. aku tegur sebab aku sayang."

dia tidak menjawab sepatah. malah diam. diam. dan diam.

tapi, lama-kelamaan si penegur boleh nampak dia menerima apa yang ditegur, dan mengubah kelakuan. dalam terasa hati, dia berubah. bagus.


jenis manusia keempat : menerima teguran dengan senang hati

"Ain, tak patut hang buat macam ni. salah ni. hang kena fikir masak-masak. jangan menyesal kemudian hari. aku tegur sebab aku sayang."

jawabnya,

"oh yaka? maaf la aku tak perasan aku buat salah. terima kasih ya sebab tegur."


Bagi saya, saya adalah antara manusia yang bertuah mendapat rakan-rakan di sekeliling saya yang tidak segan silu untuk menegur saya. memanglah kadang-kala rasa berdesing telinga, tapi saya selalu ingatkan diri, dia tegur sebab dia sayang.

orang-orang tersayang tu bagi saya, adalah orang yang kita kenal betul di alam nyata, bukan takat kenalan di alam maya. isi entri saya di blog ain fathihah dan status facebook saya tidak cukup untuk menjadi kayu ukur orang menilai bagaimana saya sebenarnya.

terima kasih pada manusia-manusia yang memerhatikan tingkah laku saya, menilai saya dan menegur apa yang sepatutnya.

kawan yang baik adalah kawan yang menjadi cermin. tempat kita boleh refleks diri.

3 komen tak puas hati:

amirah said...

weh aku nak teguq ni.sila balik tm segera.rumet baru hg rindu dah.wakaka

Anonymous said...

Sempoi hbq hg.

Nurul Amal said...

cermin cermin