Thursday, November 20, 2008

pasca-peperiksaan

permulaan yang baik, Bismillah..

Alhamdulillah...tempoh peperiksaan saya sudah tamat pada hari ini (rabu, 19/11).
Perasaan? Oh, rasa agak lega dan gembira. Gembira? Bukanlah bermakna gembira kerana yakin dapat menjawab semuanya dengan jaya. Bukan. Saya gembira. Gembira kerana saya diberi peluang berada di sini. Di bumi pengetahuan suluh budiman. Moga sepanjang berada di sini saya akan mampu belajar. Belajar dengan hati. Moga saya mampu belajar dengan kerendahan dan keikhlasan hati. Mengutip sebanyak mungkin ilmu yang akan berguna untuk saya. Bukan setakat ilmu dalam skop pembelajaran. Ya, ilmu kehidupan juga penting. Amat penting.

Adakah setelah dapat menggenggam skrol ijazah insyaAllah 4tahun lagi, saya masih insan yang sama atau insan yang berbeza? Adakah setelah berada di dunia sebenar pekerjaan dan kehidupan nanti, saya mampu melaluinya dengan baik? Adakah begitu.. atau adakah begini?

Begitu banyak persoalan. Muhasabah. Ain, bermuhasabahlah.

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengan (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itulah seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi;mereka itulah orang-orang yang lalai.”(7:179)

Saya memang masih dangkal dalam mengenal erti hidup. Umur yang masih singkat. Sepanjang umur ini pula saya akan terus-menerus mencari erti. Erti hidup. Mampukah? Berdayakah? Tapi tak pula saya tahu sama ada umur yang akan mendatang ini juga singkat atau sebaliknya. Saya pernah berbual dengan seorang pemandu teksi. Katanya mengenai kehidupan. "Ilmu kehidupan ini bukan dikutip dengan kesenangan demi kesenangan, kejayaan demi kejayaan, atau kebanggaan demi kebanggaan. Tapi ilmu kehidupan ini dikutip di tepi jalanan. Di celah-celah masyarakat yang pelbagai. Ilmu kehidupan diraih dengan memintal satu demi satu jerih perit kehidupan. Ilmu kehidupan didapat ketika mendaki tangga-tangga kegagalan. Jatuh bangun kehidupan. Dan bagaimana seseorang itu dapat mengharungi cabaran dan halangan dalam hidupnya" Sungguhkan pakcik teksi ini? Saya kagum dengannya. Sungguh...
di celahan helaian kertas
rasa sayang
kerinduan pada keluarga
amat
rindu yang amat

1 komen tak puas hati:

Anonymous said...

Very good!