Wednesday, September 29, 2010

novel cinta punca gadis lari dari rumah?

Lelaki : Saya pekenan la kat Nurul. Jadi buah hati saya ya?

Gadis : Takmau

Lelaki : ala..tanam pinang rapat-rapat..puyuh lari-lari..err macam mana ek pantun tu? lupa pulak.

Gadis : Tanam pinang rapat-rapat
Biar puyuh senang berlari,
Ku pinang-pinang tak dapat,
Ku pujuk-pujuk ku bawa lari.

Lelaki : haa, betul la tu. tapi, ahh. Kalau saya pujuk Nurul, bukan Nurul mahu pun. Nurul memang takmau kat saya. Nak mudah, takdaknya saya nak pujuk dah, saya bawa lari terus ja.

Gadis : Ceh...

Tersenyum saya seorang diri bila teringat perbualan kami ni. hehe. Tapi senyum cepat saja hilang bila teringat akhir-akhir ni makin menjadi-jadi pula kes gadis lari dari rumah.

Gadis lari dari rumah.

Kenapa ya?

Adakah kerana cinta gadis melarikan diri dari rumah? Tergamak melukakan hati ibu bapa dengan mengikut kekasih dan meninggalkan keluarga tersayang. Adakah kerana didikan mereka sanggup melakukan perkara begitu.

Ada pihak yang menyalahkan ibubapa yang tak beri perhatian pada anak-anak. Ada pihak yang salahkan ibubapa yang terlalu manjakan anak-anak sampaikan anak berani pijak kepala begitu. Ada menteri yang salahkan ustaz ustazah di sekolah yang tak beri didikan agama yang cukup, sampaikan gadis di usia mentah (mentah = hanyir lagi tuu) berani lari dari rumah.

Saya katakan, remaja perempuan masa kini lari dari rumah sebab banyak sangat baca novel cinta.

hah, novel cinta?

ya. novel cinta yang ada di lambakan pasaran Malaysia membuatkan remaja perempuan lari dari rumah.

biasa kan, dalam novel melayu bertema cinta, tidak boleh tidak, pengakhirnya mesti (wajibal ghunnah) si hero dan heroin dapat bersama.

baca novel cinta memang layannn..terbuai-buai dibuatnya. bila kisah gembira, boleh tergelak-gelak seorang diri, bila kisah sedih, boleh menangis sampai basah bantal.

(gaya lazim baca novel ; baring tergolek-golek atas katil sambil membaca)

macam mana gembira, lucu, sedih dan tragis pun perjalanan sesebuah novel cinta, hujungnya mesti watak utama tu dapat bersama juga..

Sebab dan Akibat

sebab terlalu banyak menyerap cerita fantasi cinta yang tak berpijak pada realiti ini, gadis-gadis naif seperti saya ini seakan menganggap, khatimah cinta itu harus happy ending. sebelum happy ending harus berkorban jiwa raga bersusah payah demi mendapat cinta yang tulus ikhlas. sebelum dapat cinta yang tulus ikhlas itu harus bersama dulu. dan untuk bersama tanpa sebarang halangan pula...

harus lari dari rumah bersama chenta hati masing-masing, kemudian saling buka baju tanggal pakaian dalam, dan...oh, mari kita bersenam. itu bukti sayang.

Hurm..iyakah?

Monday, September 27, 2010

malas = tidak amanah terhadap tubuh

Saya pasti, semua di kalangan kita pernah, malah selalu berasa malas. Ya, mim alif las, malas. Betul ke saya eja jawi ni? err..abaikan dulu.

Malas lawannya rajin.


Masalahnya dalam diri saya, malas itu agak dominan terhadap rajin. Mau study, malas. Mau menelaah, malas. Mau buat tugasan kuliah, malas. Tapi mengadap laptop tiba-tiba jadi rajin. Rajin berpoya-poya. Rajin ronda-ronda blog. Lihat?


Malas dan rajin berada di tempat yang tidak sepatutnya. Lalu apa yang patut?


Ya, saya patut rajin belajar, rajin buat tugasan, rajin menguruskan masa, rajin itu, rajin ini..


Setelah berlama-lama bersenang lenang dalam sifat malas, terasa kesedapan pula. Erghhh! (sambil menggeliat enak)


Suka saya ingatkan diri saya sendiri di sini, bahawasanya malas itu suatu sifat tidak amanah. Saya Kita yang bersikap malas telah bertindak tidak amanah kepada diri sendiri. Kepada diri sendiri pun sudah tidak amanah, apatah lagi rakan sekeliling, ibu bapa, pensyarah, dan juga masyarakat.


‘heloo, aku malas tak kacau orang pun. Apa kejadahnya tak amanah pulak?


Malas = tidak amanah.


Sebab secara fitrahnya tubuh kita bersifat rajin. Dengan kemalasan, bermakna diri telah mengkhianati diri. Baca ; diri mengkhianati diri.

Jantung tak pernah malas mau berdegup, tak disuruh-suruh pun. Darah juga tak pernah malas mau mengalir ke segenap kapilari. Buah pinggang pasti tak culas menapis darah dalam badan. Malah seluruh tubuh tak pernah berhenti berfungsi semata-mata atas satu alasan tipikal : MALAS.


Bayangkan jika tubuh kita dan sistemnya bermalas-malasan bak tuan empunya badan, ahh pasti tubuh akan celaka.


Makanya, sudah-sudah la Ain Fathihah. Pergi rajin jadi rajin!

Saturday, September 25, 2010

kawan pena dari Johor

Ingat lagi pasal keterujaan saya mau punya sahabat pena? Setelah usaha saya di usia pucuk dulu tidak mendatangkan apa-apa hasil, maka saya terus putus asa untuk mencari sahabat pena lagi. Hangat-hangat tahi ayam saja.


Semasa di tingkatan satu, adik Mama saya di Johor, saya panggil Mak Nanie melangsungkan perkahwinan. Maka saya dan keluarga pun berkampung di kampung (ayat tak senonoh). Seperti biasa, kenduri di kampung dijalankan dengan cara rewang (gotong-royong). Seronok jugalah. Mau tulis lebih-lebih pun, banyak hal yang saya dah tak ingat.


Semasa hari kejadian, iaitu hari kenduri, saya ditugaskan membantu mengedarkan bunga telur kepada jemputan. Macam biasa, jawatan Gadis Telur memang kerja saya bila melibatkan kenduri kahwin saudara-mara.


Hidangan pula tidak dijalankan secara bufet, tapi dengan cara hidang dalam talam. Maka Mak Nanie menggunakan khidmat persatuan belia, YMCA di Jementah sebagai bentara. Bentara di majlis kenduri adalah orang yang bertanggungjawab mengangkat hidangan dan mengemas meja untuk jemputan makan.


Encik-encik Bentara sekalian pula bukanlah pakcik-pakcik bermisai lentik. Sebaliknya adalah remaja-remaja lelaki sekolah menengah yang sebaya saya. Sebaya!


Tapi disebabkan waktu itu saya tidaklah segedik sekarang, maka saya menjadi gadis pemalu yang menjadi tumpuan remaja lelaki di tempat kenduri. Nak pandang-pandang bentara yang ada tu pun tak berani. Kerling sikit-sikit saja.


Macam biasa, ada la juga abang bentara yang mau berkenalan dengan saya. Disiul-siul, saya tak berkalih. Melayan sembang pun tidak. Saya buat tak tahu saja pada sesiapa yang mengusik. (hakhak, macam tak percaya saja saya begini pemalu dulu).


Dek saya yang sombong, pemalu dan terpingit ketika itu, salah seorang dari mereka bertanyakan saya pada Mama saya. Katanya mau berkenalan. Tapi Mama saya mengusik, “sapa yang nak kawan dengan anak makcik kena pandai. Sebab anak makcik sekolah pandai.”


Lalu abang bentara yang mau berkenalan dengan saya itu pantas menyahut,

“saya sekolah bestari, makcik.”


Surat.


Masa tu, rasanya memang tak ada remaja sekolah yang punya telefon sendiri. Harapkan telefon rumah saja la. Dah nama pun budak sekolah, mana la ada duit nak bergayut lama-lama, kan. Panggilan dari Johor ke Penang, harus saja duit syiling mengalir macam air terjun.


Jadi cara saya berhubung dengan lelaki itu adalah melalui surat. Melalui surat jugalah baru saya tahu namanya, sekolahnya dan lain-lain hal. Tiba-tiba saja saya dapat sahabat pena. Wah! Hehe. Teruja.


Lelaki yang berutus surat dengan saya itu, namanya Muhd Quyyum Abdul Rahman, tua dua tahun dari saya dan ketika itu bersekolah di Sekolah Menengah Tinggi Segamat. Lebih setahun jugalah kami saling berutus surat. Siap tukar gambar lagi. Nak kata cinta monyet rasanya tidak. Saya tak pernah menulis soal hati dan perasaan. Dia juga begitu.


Di akhir saya tingkatan tiga, keluarga saya berpindah dari Telok Bahang, ke Tanjung Tokong. Entah mengapa ketika itu, saya terus saja melupakan Quyyum. Suratnya sudah tidak saya balas. Alamat dan nombor telefonnya pun entah ke mana saya sepahkan.


Tiba-tiba saja kami terputus hubungan. Dia juga tidak lagi menelefon ke nombor telefon Mama saya. Saya pun langsung tidak pernah teringat pasal Quyyum ni lagi.


Siapa-siapa antara pembaca Blog Ain Fathihah mau buat jejak kasih untuk kami? Haha. Hubungi saya sekiranya anda kenal Muhd Quyyum Abdul Rahman, lahir pada tahun 1988, tinggal di Jementah, Segamat Johor dan bersekolah di SMT Segamat…

Friday, September 24, 2010

sahabat pena

Ingat dulu masa umur peralihan kanak-kanak ke remaja, sekitar darjah 6 sampai la ke tingkatan dua, ramai kawan sebaya saya sibuk nak ada sahabat pena. Mungkin adik-adik saya sekarang dah tak tahu apa sahabat pena, sebab mereka lebih tahu dan kenal apa itu facebook, twitter, tagged, myspace, friendster dan bermacam-macam lagi jaringan sosial yang ada.


Sahabat pena adalah satu cara untuk menjalinkan hubungan atau berkenalan dengan kawan baru melalui cara berutus surat. Cara ni sangatlah tidak relevan di zaman sekarang. Kad raya pun ramai yang dah culas nak pos-pos ni. Pakat tag di facebook saja. Habis raya jenuh saya remove tag kad-kad raya yang ada. Hehe.

Saya pernah juga berusaha nak ada sahabat pena. Caranya, belek-belek sisipan akhbar Berita Harian. Didik (UPSR), Minda (PMR) dan juga Skor (SPM). Kan ada ruangan untuk berkenalan tu. Siap ada gambar, nama, umur dan alamat. Pilih yang mana pekenan, tulis surat untuk berkenalan, pos dan tunggu surat balasan.


Ciri-ciri sahabat pena yang diingini ; mestilah lelaki kan. Apa ke halnya nak berutus-utus surat sesama perempuan. Haha, kecik-kecik dah gatai. Masa belek-belek ruangan jom berkenalan tu, cuma lihat lelaki-lelaki yang agak-agak sedap mata memandang.


Adalah juga dalam 10 surat yang diposkan kepada orang-orang pilihan ni. Tunggu punya tunggu, berbulan juga la..takda satu pun surat yang dibalas. Cis. Rasanya sebab surat yang ditulis menggunakan tulisan saya bermasalah. Apa masalahnya? Yeah, masa tu tulisan tangan saya buruk. Sampai sekarang pun, tulisan saya tak sedap mata memandang dan tak kemas. Nota sendiri pun kadang-kadang saya kena tanya orang, ‘weh, ni aku tulis apa ek. Takleh baca’.


Kalaulah masa tu saya kepilkan sekali gambar saya berserta surat, mesti dapat surat balasan. Mesti! Haha. Perasan lagi. Tak sedar diri comot dulu dan sekarang.


Lepas bertahun, tiba-tiba ada rasa teringin nak ada sahabat pena. Sapa mau jadi sahabat pena saya?


alamat ;

Ain Fathihah MRH

No 7 Jalan 5, Taman Bahtera

35900 Tanjung Malim,

Perak.


ceh, motif.....

Thursday, September 23, 2010

encik keretapi

Bila sesekali mendapat penghargaan sebegini daripada pembaca Blog Ain Fathihah, memang rasa seronok..hehe.


Ini saya sertakan sekali mesej yang dihantar oleh staf KTM Berhad yang terkesan dengan entri saya mengenai jentera yang berkaitan dengan kerja beliau.

Saya tak kenal siapa ni.. nak kata pakcik keretapi, mungkin tak sesuai. Boleh kata, Abang Keretapi, mungkin?

Wednesday, September 22, 2010

Cikgu Nazri

Facebook memang dah terbukti menghubungkan yang terpisah. Rasanya ramai dari pembaca Blog Ain Fathihah sendiri yang dah dapat mencari kenalan lama, kawan sekolah, jiran lama, bekas kekasih dan sebagainya melalui Facebook, kan?


Baru-baru ini, saya dapat berhubung kembali dengan guru-guru di sekolah rendah dulu.

Sekolah Kebangsaan Telok Bahang.


Teguran pertama yang saya kemukakan pada Cikgu Nazri ;

Hehe, seronok kan. Bila cikgu ingat pada kita. Siap letak nama saya pada anak saudaranya. Bangga nih! hins hins!

Tuesday, September 21, 2010

tudung saya mandul

Kawan itu ada pelbagai jenis. Ada kawan ketawa saat bergembira. Ada kawan saling membantu dalam proses meniru membuat tugasan. Ada kawan yang setahun sekali baru bertanya khabar dan hantar SMS raya. Ada juga kawan yang bila dia nak minta tolong kita, baru nampak muka.


Tak kisahlah kawan bagaimana yang saya ada, tapi saya sentiasa cuba menjadi kawan yang baik.

Baca : kawan yang baik. Belum lagi ada cita-cita mau jadi kawan terbaik. Sendiri tahu, saya tak mampu.


Kawan yang baik dari sudut pandang Ain Fathihah adalah ; kawan yang memenuhi keperluan dan kehendak. Kalau orang itu tidak memenuhi keperluan dan kehendak kita, sudah. Usah berkawan.


Sebab? Kalau kehendak saya adalah mahu menuju jalan yang baik, maka saya perlu mencari kawan yang boleh memenuhi keperluan saya untuk menjadi orang yang baik. Dan kawan itu juga perlu seseorang yang baik.


Maka saya tidak akan mencari masalah dengan berkawan dengan orang-orang yang tidak memenuhi keperluan dan kehendak saya.


Pilih kasih? Opss..mestilah. Hidup ini sendiri suatu proses membuat pilihan. Kalau tidak, takkanlah ada poem The Road Not Taken dalam English Literature zaman sekolah dulu kan.


Dalam banyak-banyak kawan yang saya ada dan pernah ada, ada beberapa orang yang akan kekal di hati saya sampai bila-bila. Selagi kepala belum terhantuk dinding/pasu/bucu meja (klise drama Melayu) dan hilang ingatan, rasanya kawan ini akan kekal di hati saya sampai bila-bila.

Cik Amal dan Cik Nadiah.
Penting : Ini bukan wajah terkini. Ini muka zaman sekolah dulu. Suci dan naif.

Nurul Amal. Maaf Amal, tiba-tiba rindu lalu buat entri pasal hang. Jangan marah.


Banyak kenangan saya bersama gadis ini yang masih kuat di memori saya. Pernah suatu petang di tingkatan tiga atau empat, kami berdua minum-minum di restoran mamak Jamal Tariq.


Sambil berbual, tiba-tiba gadis ini memerhatikan saya dengan tekun (saja guna perkataan ini, sempena nama Kolej Kediaman Tekun di USM, asrama gadis ini)


Jeda sesaat perbualan kami. Tanpa disangka-sangka, terpacul dari mulut dia,


“Cantik telinga hang. Capang.”


Kata dia. Selamba. Tanpa riak wajah. Pasti juga tanpa senyum simpul mahupun rona marah.


Tak sampai lima saat saya tercengang hairan, terus saya dapat menangkap maksud kata-kata Amal tadi. Sinis. Tepat menuju ke hati. Tak perlu mukadimah mahupun basa-basi sebagai tempelan teguran.


Nurul Amal menegur saya yang bertudung tanpa anak tudung! Tudung bawal warna krim atau putih (tak ingat), yang agak nipis lalu dapat menembusi pandangan ke kepala saya. Pasti juga anak rambut di dahi tidak dapat dilitupi dengan baik. Dan juga bayangan telinga di sebalik tudung yang saya pakai. Termasuklah juga sanggulan rambut.


Sungguh tak sempurna tudung saya ketika itu, kan (=_=')


Sungguh, sejak itu…saya tak pernah lagi meninggalkan anak tudung bila bertudung. Sebelum itu, bukanlah tak pernah Baba menegur, malah ustazah di sekolah sering mengingatkan. Mungkin hati legap lalu teguran tak tembus dengan jayanya. Mungkin juga teguran-teguran sebelum itu dah masuk ke otak, tapi belum turun ke hati. Ah, dasar manusia beralasan.


Tanpa fikir, ayat seringkas, ‘cantik telinga hang. capang’ mungkin tiada apa-apa makna. Ketika itu, saya boleh saja menganggap Amal bergurau memuji telinga saya, mahupun mengutuk telinga saya. Mana-mana satu.


Tapi, itulah…entah bagaimana saya mengambil berat tegurannya. Sedangkan saya memang jenis tak berapa endahkan sangat kata-kata orang. Teguran seringkas dan semudah itu pula yang melekat di hati.


Sehingga hari ini, saya sangat rimas melihat rakan-rakan perempuan bertudung/ berselendang/ berArianni tanpa anak tudung. Boleh nampak bentuk sanggul rambut, rambut panjang atau pendek, warna getah dan sepit rambut, darjah kecapangan telinga dan juga anting-anting di sebalik tudung yang dipakai. Sungguh, rimas! Umur bukan seusia pucuk jagung lagi. Dah boleh jadi mak budak dah pun.


Anak tudung di sini bermaksud anak tudung yang melitupi penuh kepala ya. Bukan yang jenis sekerat tu. Jom lah, bertudung dengan anak tudung. Lebih kemas dan manis dipandang (n_n) Usah biarkan tudung kita mandul, tanpa anaknya. hehe.

Thiru. Ini bukan entri promosi 1Malaysia.


Ini Thiru. Kenalan baru yang saya dapat semasa bekerja di Happy Mart dulu. Dia bekerja di cybercafe selang dua kedai dari Happymart.


Usianya muda dua tahun dari saya. Dia baru 18 tahun. Agak kacak orangnya. Tinggi lampai dengan senyuman ala-ala buaya (cis). Dia ada abang, Kevin yang kerap juga melepak di Happy Mart untuk bersembang-sembang dan pau rokok daripada store manager, Saadi.


Masa saya masih bekerja di Happy Mart dulu, kerap juga saya nampak Thiru membeli di situ. Dia suka Cloud 9. Saya tahu sebab hari-hari dia beli Cloud 9. bukan skandal yeah.


Seingat saya cuma beberapa kali berlaku perbualan antara kami. Selebihnya, cuma senyuman yang bertukar sesama sendiri.


Malam terakhir saya bekerja, baru la saya berbual-bual dengan Thiru ni. Itupun sebab dia dan seorang lagi rakan Melayunya, saling bekerjasama mengenakan saya. Mungkin ingin memberi kenangan terakhir untuk saya ketika bekerja di situ.


Mujur saja saya tidak betul-betul disimbah dengan air mop. huh.

Monday, September 20, 2010

tak tumpah tak sah

Salam'alaik. Entri ini ditulis di tengah kesesakan minda saya dengan tugasan-tugasan sedia ada. Fikir itu, fikir ini... haha baru fikir. Buatnya belum.


Kebiasaan saya di sini, bila ada makanan, dikongsi-kongsi makan bersama kawan. Sejak menetap di rumah sewa ni, rakan yang selalu berkongsi rezeki dengan saya, gadis Mira dan gadis Aina.


Hang cilok makanan aku, aku cilok makanan hang. Begitulah selalu. Saya pula jenis yang percaya, keberkatan rezeki itu terletak pada makanan yang dikongsi-kongsi.


Makanan yang dibaham dimakan beramai-ramai, cubit seorang sedikit, sedapnya terasa lain berbanding makanan yang dimakan seorang diri. Betul tak?


Cumanya ada satu perkara yang saya perasan tentang gadis Mira & gadis Aina, bila saya menyebok makan apa-apa di bilik mereka, sebelum saya duduk bersimpuh santun bersila mengadap makanan, mereka akan cepat-cepat menyuruh saya mengambil akhbar lama, untuk dibuat lapik.


Pernah juga Mira melarang saya makan tau fu fah di atas katilnya,


"oit Ain, turun, turun. makan bawah. nanti tumpah ataih cadaq aku"


"weh ingat aku budak kecik ka makan tumpah. ceh"


"ah tak kira. hang memang selalu bagi tumpah"


"aik mana ada! menitis sikit-sikit ja. bukan tumpah banyak!"


"tumpah la tu. dah, turun mai. turun mai. duk atas paper ni"


Baca : Mira cakap saya selalu bagi tumpah (menitis) makanan. Dia cakap saya selalu tumpahkan makanan. eh dah tertulis dua kali dek kehairanan.


Ni yang rasa nak marah ni! Blogger gadis berdua ni (Mira & Aina) suka betul mencabar kewibawaan saya sebagai blogger comel. Takkan lah blogger comel, kecik kiut miut macam saya ni selalu tumpahkan makanan?

hiasan bergambar : kuah pasembor yang menitis di meja makan. siapa tumpahkan? eh eh bukan saya. sungguh. dia!


err... (+_+)


tapi bila difikir-fikirkan semula....


errr...memang pun! saya sendiri perasan saya agak kerap menumpahkan makanan. minum pun kadang tiris. periksa dah, leher tak bocor pun. tapi selalu tudung tercomot (kata imbuhan 'ter' menunjukkan perbuatan tidak sengaja. tidak sengaja ya)


Masa Anak-Anak.


Seingat saya, dari kecil lagi, bila saya dan adik-adik terlanggar gelas dan menumpahkan air, Puan Mama selalunya akan berleter begini,


"hah, tumpah lagi! kalau tak tumpah tu tak sah. bukan anak roshidan la namanya"


Baca : Kalau tak tumpah tak sah. bukan anak roshidan.


Sampai la saya besar meningkat dewasa (malas nak tulis 'besar'. nanti ada ja komen mempertikai kebesaran saya), bila saya atau adik-adik tertumpah apa-apa, itu la dialog yang diulang pakai oleh Puan Mama.


Sekarang ni, bila dua adik kecil saya, Adilah & Adnin menumpahkan air atau makanan, itu la juga leteran yang diguna pakai oleh ma'am-ma'am kecil di rumah. Semangat ma'am kecil berleter menggantikan ma'am besar. hehe.


"hish, kalau tak tumpah tak sah! bukan anak roshidan.."


Sesekali bila ma'am-ma'am kecil yang tertumpah air semasa makan, cepat-cepat ma'am yang menumpahkan air itu berceloteh sebelum dileter,


"hah, tengok! dah tumpah. terbukti memang anak roshidan."

dan yang lain menyahut,


"sah! sah! anak roshidan",

sambil mengangguk-angguk beberapa kali.


diikuti senyum-senyum dan gelak tawa sinis. hehe.

Saturday, September 18, 2010

anak-anak kecil

Beraya di Segamat, Johor kali ini, memang mata saya agak 'sesak' dengan anak-anak kecil. Sesak mata konon, agaknya semasa saya dan adik-adik seusia itu, ada mata lain yang sesak tengok kami juga.

Sempat saya menjengah adik-adik sepupu termasuk adik-adik saya yang usia mereka bawah lapan tahun melompat-lompat keriangan atas katil, sambil berlari-lari keluar masuk bilik, kemudian sekejab-sekejab orang ini menangis, lima minit kemudian, yang lain pula menangis...

saya memanggil Kak Uda,17 memerhatikan mereka bertujuh..

"wah, macam budak-budak kat rumah kebajikan!"

saya kemudian menggamit Mak Teh (kakak Mama), kemudian dengan muka naif bertanya,

"Mak Teh, Tata dulu macam ni ke?"

erk..soalan yang tak patut ditanya sebenarnya ni..maka dapatlah jawapan seperti bertih goreng dari Mak Teh.

apapun, seronok lah memerhatikan keseronokkan budak-budak kecil bila berkumpul. Suara hingar-bingar yang enak di dengar.

tiba-tiba rasa nak lahirkan anak-anak satu pasukan ragbi! hehe

tentatif raya. agak bosan. tak perlu baca.

salam'alaik. Lama beraya, blog berdebu sedikit. Alhamdulillah, belum bersawang lagi. Debu sikit-sikit ni, hembus saja...boleh hilang. Fuh, fuh, Fuhhh!

Dua hari sebelum raya, saya dan famili bertolak ke tanah tumpah darah saya mak saya, di Segamat Johor.

Seronok rasanya beraya di sana. Seingat saya kali terakhir kami beraya di kampung Mama, semasa saya di tingkatan dua atau tiga..lima atau enam tahun lepas. Lama kan? moralnya, kalau tak sanggup tak balik kampung sendiri semasa beraya, jangan kahwin orang jauh ya. hehe.

(orang kulim, sila angkat-angkat kening!)

Lama tak balik Johor, banyak juga la 'muka-muka' baru yang tak pernah jumpa. Adik-adik sepupu dah bertambah. Yang dulu kecil, sekarang dah besar. Yang dulu tak wujud, sekarang dah petah bercakap.

Makcik-makcik dan pakcik-pakcik pun makin jelas rona kematangan dan ketuaan di wajah masing-masing. Yelah kan, saya pun dah boleh jadi mak budak (patutnya)..nasib baik belum ada yang berminat masuk meminang.

Maktok & Abahtok masih macam tu juga. Moga semuanya sihat sejahtera.

Raya keempat, kami bertolak balik Penang dari Batu Pahat. 12 jam perjalanan! fuh. Rehat setengah hari, petang Rabu balik Kedah pula..berkampung di rumah Mak Ngah di Alor Janggus, kenduri sepupu.

Dua hari di Kedah, balik Penang. Famili saya sibuk ke sana ke mari menghadiri jamuan rumah terbuka, saya terperap di rumah macam ayam BBQ, kes sakit gusi. Gusi bengkak. Adoi. huhu

Maafkan saya sebab entri ini bosan. Saya yang menulis pun terasa bosan, apatah lagi kalian yang membaca, kan? Tapi saya teruskan menulis juga untuk dapatkan mood menulis blog. Saya sendiri kurang gemar menulis entri seakan tentatif program sebegini..huhu.

salam. sampai bertemu lagi di entri akan datang. ceh ceh ayat bajet artis kan?

Wednesday, September 08, 2010

perutusan hari raya.

Saya, Ain Fathihah mengucapkan Salam Aidilfitri pada ;

1. Cikgu-cikgu dan kawan-kawan di Sekolah Kebangsaan Telok Bahang (1997-2001) dan SMKA (P) AlMashoor (2002-2006), Pulau Pinang

2. Pensyarah-pensyarah dan rakan-rakan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang sesi 2007/2008.

3. Pensyarah-pesyarah dan teman-teman anak kandung Suluh Budiman, Universiti Pendidikan Sultan Idris

4. Pembaca, pengkomen, pengunjung dan pemerhati Blog Ain Fathihah.

5. Semua yang mengenali saya.


Juga pada insan-insan dan keluarga tersayang,

1. Baba, Mama, Angah, Kak Uda, Kak Teh, Kak Chik, Kakak dan Adik Nin.

2. saudara Fadzil Hilmi sekeluarga

3. famili sebelah Baba -->Mak Chaq & Keluarga, Mak Ngah & Keluarga, Mak Jang & Keluarga, Mak Teh & Keluarga, Mak Ndak & Keluarga, Pak Tam & Keluarga, Makcik Midah & Keluarga dan akhir sekali, Paksu & Keluarga (eh, ni bapak ku)

4. famili sebelah Mama -->Mak Long & Keluarga, Pak Lang & Keluarga, Makcik Milah & Anak, Mak Teh & Keluarga, Mak Tam & Anak2, Mak Nanie & Keluarga, Pak Pit & Keluarga

err..ada lagi ke? fuh ramainya suku sakat (rupanya). ni pun ada yang terlupa nak sebut kot.. isk.

Selesai. Takda e-kad raya? Er, abaikan. Saya kurang bernafsu mau mengedit kad raya.

Jom balik kampung! yuhuu.

Saturday, September 04, 2010

Iftar gaya KTMB

Alhamdulillah. Saya sudah selamat sampai ke Penang tercinta. yeahh! Gembira rasa hati ini. Seperti biasa, sebagai pencinta KTMB, saya memilih perjalanan pulang beraya menaiki keretapi.

Tiket dah dibeli sebelum Ramadhan bermula lagi. fuh, awal kan. Nak buat macam mana. Siapa cepat dia dapat. Siapa lambat alamatnya kelam kabut mencari tiket bas nak balik raya.

Tren : Ekspress Rakyat (ER2)
Kelas : Kelas Superior (CMB)
Dari : Tanjung Malim
Ke : Butterworth
Koc : S
Berlepas : 1622 (03/09/10)
Tiba : 2115 (03/09/10)

Lihat.

Masa berlepas adalah jam 4.22 petang dan tiba di stesen Butterworth jam 9.15 malam.

Wah, maknanya kena berbuka dalam keretapi la. Disebabkan saya belum ada pengalaman berbuka dalam keretapi, maka sedikit keterujaan dirasakan. hooyehh!

Seminggu sebelum balik cuti raya, saya dan Amirah dah sibuk berbincang juadah untuk berbuka. Mulanya saya dan Marena minta Aini Cik Kaunselor gorengkan nasi untuk berbuka. Tapi dia takmau. fuh, kuchiwa!

Sehari sebelum, saya dan Mira merancang untuk buat nasi goreng. Huh, mudah saja kan? Nasi goreng. Kelip mata ja siap! Tapi jujur cakap, sepanjang duduk rumah sewa, kami tak pernah buat nasi goreng. (bakal-bakal mak & pak mertua, jangan reject sayaaa!)

Maka disebabkan ketidakyakinan kami untuk buat nasi goreng (malu gila nak tulis macam ni dalam blog), menu ditukar di saat akhir.

Mira sediakan cucur bilis+bawang.
Saya buat sardin roll.

Di tengah hari rembang, saya dan Mira dah bertungkus-lumus di dapur (ceh, menu ringkas saja pun. 'bertungkus-lumus' tu sesuai guna kalau masak untuk kenduri 200 orang makan). Inti untuk sardin roll, saya dah tumis sebelum Mira turun dapur.

Jenis saya, saya agak rimas kalau berdua bertiga di dapur. Benda tahu jadi tak tahu. Bila seorang, reti pulak buat semua benda sendiri.

Hampir saya siap menyediakan inti sardin, Mira menjengulkan muka,

"wei Ain. sedapnya bauuu!"

"ahaks! bau sedap. rasa belum tentu. aku main campak-campak ja ni. tak tau apa rasa. maklum la puasa. kalau tak sedap sori weh"

kemudian Mira mula buat cucur bilis+bawang (maaf Mira, aku terlebih mayang bawang).

Baru gorengan kali kedua cucur Mira, api dapur gas malap! Ah sudah! Habis 'makan minyak' cucur dalam kuali. Kalut juga la saya menelefon Encik Tong Gas, tapi seorang pun tak dapat dihubungi. Huhu. Cucur dah siap bancuh. Sardin roll pun dah siap gulung. Tinggal nak goreng ja lagi!

Tiba-tiba teringatkan Hasni, teman seBio yang rumah sewanya membelakangkan dapur rumah saya. Maksudnya, dapur bertemu dapur.

"Wei hasni, pinjam dapoq!"

Jadi sila bayangkan dua gadis terkedek-kedek mengusung bekas tupperware, mangkuk telur, periuk dan kuali merentas jalan di tengah hari rembang.

Selesai!

Sebelum siap semua tu, Marena minta saya & Mira masak nasi untuk 4 orang makan. Aini masak tomyam. Fuh, terbaiklah! dengan tomyam lagi. Jadinya juadah untuk berbuka memang berlebih-lebih jadinya. yum-yum!

Masa berbuka dalam keretapi tu, disebabkan gerabak kantin tak ada, kami berbuka di ruang antara gerabak. hehe, seronoklah berbuka dalam keadaan goyang-goyang & bising begitu.

1 bekas (saiz tupperware aiskrim) cucur bilis+bawang (siap bawa sos dan mayonis) dan
1bekas sardin roll (sebungkus roti pendek habis digulung menjadi sardin roll. bayangkan banyak mana untuk 4 orang makan),

habis dikendurikan oleh saya, Mira, Marena dan Aini. fuh memang kenyang! Marena bawa roti telur bekalan Suzi, tapi kurang laku ya. Maaf Suzi. dah banyak sangat makanan yang ada. hak hak!

Air mineral & 100 Plus botol besar ditaja oleh Marena. hehe.

Kemudian kami bahagikan nasi putih, tomyam ayam, sayur kacang ada ayam, telur dadar dan sambal belacan kepada dua bahagian. (tu dia Aini sediakan lauk segala macam. Siap ada sambal belacan!) Oh ya, saya sempat bawa papadom dalam bekas kecil, pun dibahagi dua. krup krup! papadom rangup!

Kami terpaksa makan berasingan sebab saya dan Mira di gerabak S, tapi Marena & Aini di gerabak R.

Semerbak bau tomyam dan sambal belacan dalam gerabak berhawa dingin tu! hehe. Tomyam ayam Aini sangat pedas, menangis-nangis saya dan Mira menghirup kuah tomyam. Slurpp! Sedap. Tapi pedas. Adoi. Aini sempat SMS saya,

'wei sori. tomyam pedas. terlebih cabai'

Amboi, mewah sungguh juadah berbuka dalam keretapi. Hehe. Alhamdulillah.