Tuesday, August 31, 2010

cara saya meraikan ulangtahun kemerdekaan

Seumur hidup saya 20tahun, saya belum pernah lagi (setakat ini) keluar di malam ambang Merdeka (mahupun ambang tahun baru) bagi mengira detik-detik menjelang jam 12 malam.

10...9...8...7...6...5...4...3...2....1

MERDEKA! MERDEKA!! MERDEKA!!!

lalu mereka-mereka yang melaung itu saling mengucapkan Happy Merdeka Day pada satu sama lain. juga mereka sakan mengayun-ayunkan Jalur Gemilang.

Seingat saya, ada sekali atau dua kali saya menanti jam 12malam, untuk melaungkan laungan keramat Merdeka itu (laungan keramat 53 tahun dulu. generasi sebaya saya sekarang melaung merdeka seronok-seronok, tanpa jiwa dan rasa).

semasa tinggal di asrama, SMKA (P) AlMashoor, di tingkatan 1 dan 2. biasalah kan, asrama mesti ada program menjelang ambang merdeka. Saya pun ikutkan saja la.

entah kenapa, saya merasakan jerit laung merdeka! merdeka! generasi hari ni, sambil melangut melihat bunga api....adalah satu perkara yang ntah apa-apa.

entah apa yang digirangkan. Mungkin girang 31 Ogos adalah cuti umum. Mungkin girang melihat bunga api sayup di pandangan mata. Mungkin girang dapat keluar malam, terkinja-kinja bersama orang ramai. Mungkin apa lagi ya?

Jangan nak tipu la, wahai generasi sebaya saya. Apa yang kalian faham kan dengan erti merdeka ini? Jujur cakap, saya pun tak faham apa yang dimaksudkan 'bebas dari cengkaman penjajah'.

hey hey! kita tak lahir dalam zaman penjajahan. memang saya takkan mampu nak faham apa yang Tuanku Abdul Rahman rasakan semasa mengetuai laungan merdeka tu.

tapi bukanlah salah saya. saya tak dapat nak faham erti merdeka disebabkan saya tak hidup dalam zaman penjajahan. bukan salah saya lahir setelah empat generasi kita merdeka.



Sungguh, saya ni skema. Rimas berasak-asak di tempat ramai orang begitu. Tiap dari kita ada cara tersendiri bagi meraikan ulangtahun kemerdekaan, bukan?

ada yang mengukur jiwa merdekanya dengan berlumba-lumba membina Jalur Gemilang terbesar daripada kad topap, tin kosong mahupun tempurung kelapa.

ada yang mengukur jiwa merdekanya dengan nyanyian lagu-lagu patriotik yang didendangkan di atas pentas.

ada yang mengukur jiwa merdekanya dengan jumlah kondom dan botol arak bertaburan bersepah selepas sambutan di malam kemerdekaan.

Maka saya berusaha untuk tahu, faham dan merasakan apa yang pejuang-pejuang kita dahulu alami untuk mencapai kemerdekaan ini.

jeng jeng jeng! dah lama saya cari buku ni. baru semalam jumpa di Perpustakaan Tuanku Bainun. pinjam dengan girang hati.
MEMOIR AHMAD BOESTAMAM : MERDEKA DENGAN DARAH DALAM API

SALAM MERDEKA 53, MALAYSIA!!

Tuesday, August 24, 2010

jika saya posting ke SMK (P) HAMIL

Berdasarkan ura-ura yang ada sekarang, maka tak mustahil akan wujud sekolah dengan nama begini tak lama nanti.

‘SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN (P) HAMIL’

Maka saya sebagai cikgu-to-be, akan menerima dengan taatnya jika diposting (ataupun latihan mengajar) di SMK (P) Hamil ni. Antara persediaan-persediaan yang perlu saya lakukan adalah ;


1.Saya perlu mengambil kursus asas perbidanan. Kalau dah cekap asas, bolehlah ambil kursus lanjutan. Jika mengajar di SMK (P) Hamil ini, maka tak mustahil tengah sedap-sedap saya mengajar topic Reproduction, tiba-tiba ada pelajar yang meraung disebabkan kontraksi mau bersalin. Hah, elok sangat. Terus saja la dengan demonstrasinya, tak gitu?


2.Saya perlu belajar serba sedikit cara-cara menguruskan bayi. Mungkin juga nanti akan ada pelajar perempuan di SMK (P) Hamil ni yang berkeras mahu membawa anak ke sekolah. Agak-agak sempoi tak, buat latihan Matematik Tambahan SPM sambil menyusukan anak? Ataupun pelajar yang sedang menjawab soalan peperiksaan, memberikan bayinya kepada pengawas bertugas (cikgu) untuk dikendong dan dijaga selama 3jam.


3.Saya perlu menjadi ejen Mustika Ratu (Set Bersalin) ataupun ejen Sendayu Tinggi, juga set jamu untuk wanita selepas bersalin. (jamu perapat dan krim payudara montok? muahaha) Walaupun kakitangan kerajaan tidak boleh berniaga…….ala, cincai kiralah. Untunglah kalau jadi ejen jamu Sendayu Tinggi di SMK (P) Hamil ni. Set-set Jamu untuk wanita dalam pantang mesti laku punya lah. Pelajar yang mahu tempah, sila hubungi Cikgu Nurul ya!

Selain set jamu, saya juga boleh menjadi ejen menjual pengepam susu badan, sling (beg kendong bayi), dan juga pil perancang kehamilan.


4.Saya perlu bersedia mental dan fizikal (terutamanya jika saya belum berkahwin) untuk menjawab soalan-soalan pelik daripada pelajar-pelajar yang sedang hamil ini. Manalah tau, ada yang rajin bertanya soalan berbunyi, “adakah seks selamat untuk saya yang sedang hamil?” dan, “jika boleh, bagaimana?”.


Ataupun mendengar keluhan bakal ibu 16tahun, “Cikgu, saya tak larat nak layan suami saya malam tadi. Dia tak faham ke saya tengah mengandung ni”. Dan cikgu cuma mampu menahan rasa. ‘wei aku ni anak dara lagi tau!’. Ouhhh mungkin ini omelan balasan cikgu perempuan yang mengajar di SMK (P) Hamil.


Huhu. Baru empat. Ada banyak lagi. Tapi tak sanggup nak bayangkan dah. Fuh, sekolah untuk pelajar hamil? Sekolah untuk pelajar berkahwin? Ceh. Secara peribadi, saya memang tak setuju. Saya yang dah belajar di Universiti ni pun Baba saya tak bagi kahwin lagi tau! Apatah lagi nak bagi hamil.


Buayafren : Ayang, ayang sayang abang tak? Jom la kita projek.

Gelifren : Okay, kanda pakai kondom ya.

Buayafren : Ala dinda ni. Mahal la kondom. Kanda kan sekolah lagi. Duit poket dah buat beli rokok.

Gelifren : Takmau, takut. Kalau ayang mengandung macam mana?

Buayafren : Ayang jangan la risau, sekolah untuk pelajar mengandung kan ada. Apa susah. Nanti suruh saja bapak ayang daftarkan ke sekolah tu.

Gelifren : iyalah. Suka suka suka! Jom la kita projek.


Maka masalah buang bayi dapat dibendung. Begitukah, pak menteri?

Monday, August 23, 2010

demam = doktor

Saya demam. Sinonim demam adalah paracetamol. Selain itu, demam bersinonim dengan doktor. Maka saya yang pening-pening dan agak lemah tubuh badan, ditambah dengan puasa, pergi berjumpa doktor.


Elok kaki melangkah masuk ke bilik rawatan di Klinik Syifa Batang Kali tu, hati dah kecewa. Alaa, doktor tua. Cina dan tak hensem. Huhu. Demam-demam pun sempat lagi memilih doktor.


Setelah sedikit pemeriksaan, sambil doktor Cina itu menulis sesuatu di buku rawatan pesakit,


Doktor : You umur berapa?

Gadis : dua puluh.


Doktor mengerutkan dahi. Mengangkat muka memandang saya, dan bertanya lagi,


Doktor : Berapa?

Gadis : dua puluh.


Doktor : sure? Dua puluh or dua belas?

Gadis : dua puluh.


Doktor : you looks like a kid.

Gadis : ……………


Perghh! Nasib baik lah tengah puasa. Badan pun tak larat. Malas la nak bergaduh dengan doktor tu. Sabar je la. sekarang dah baik dari demam. alhamdulillah.


moral : banyakkan minum air masak semasa bersahur.

Saturday, August 21, 2010

hitam + pink!

Orang negeri Penang, selalunya akan ada pertalian yang kuat dengan makanan Penang. Ramai yang cakap, orang Penang kuat makan kat kedai mamak. Tak tahu la betul ke tidak. Tapi makan di kedai mamak seakan menjadi budaya jugak. Melayu India Cina (dan juga kaum2 migrasi yang lain : Indo, Vietnam, Negro, Myanmar, omputih dan lain-lain) boleh duduk makan di kedai mamak berjam-berjam, lepak & bersembang.

Banyak juga kedai mamak yang ada wi-fi. Suka, suka. Boleh keluar minum-minum sambil usung laptop sekali.


Keluarga saya bukanlah pengunjung tetap kedai mamak. Saya sendiri mula belajar makan di kedai mamak, (Jamal Tariq) semasa tingkatan 3. Cik Amal ajarkan (kalian, kawan saya ini tengah demam. Doakan dia cepat sembuh & boleh kembali gigih dengan projek tahun akhirnya di USM, ya?).


Sejak itu keraplah saya dan teman sekolah yang rapat, (Sherry, Faiezah, Che Pah, Amal dan saya) makan (lebih pada lepak) di kedai mamak. Minumnya secawan, duduknya berjam-jam.


Sejak di Tanjung Malim, jarang betul saya mengunjungi kedai mamak. Semacam kekok. Entah kenapa kedai mamak di sini didominasi oleh kaum lelaki. Sebagai gadis pingitan yang pemalu lagi comel, saya memang segan nak ke kedai mamak di Tanjung Malim.


Semasa sahur tadi, tiba-tiba juga teringatkan mamak-mamak di restoran Subaidah. Wooo, rindunya nak makan capati dengan teh tarik kurang manis!

Pekerja Restoran Nasi Kandar Subaidah berunifom merah jambu. Pink tau, pink! tapi kenapa tak nampak 'jambu' pun ya? musykil betul saya. tidak pula 'semut-semut hitam' di Subaidah ni jadi lembut dan aww-aww bila pakai pakaian pink.

Thursday, August 19, 2010

orang rendah, rezeki murah

Bila sesiapa mengejek saya ketot, biasanya saya akan menjawab dalam hati, ‘tak apa, orang rendah, rezeki murah’. Hehe. Berlapang dada lah dengan rezeki kita hari ini, moga jiwa tak terbelenggu dengan rasa tak cukup itu, tak cukup ini.


Sabtu :


“salam. Bila Nurul ada kat rumah? Masa dekat-dekat nak buka puasa satgi, mai Happy Mart, kita pi KFC. Abang Saadi belanja. P5 dapat duit audit. Saya belanja staf mei-jun.”


Yuhuu, best-best. KFC jadi bertambah best bila orang belanja. Hehe. Dapat la tapau dinner plate. 3 ketoi ayam. Makan masa berbuka dengan adik-adik.


Ahad, lepas sahur :


“hello Nurul, dah sahur ke? Mau roti tak? Mai turun sini. Pakcik tunggu kat depan pagar.”


Ini Pakcik Gardenia. Kenal masa kerja di Happy Mart cuti semester lepas. Sampai sekarang saya masih berhubung dengan Pakcik ni. Tak tahu lah kenapa pakcik ni baik & perkenankan saya (hua3,perasan). Kata Mad Ezun, pakcik ni pernah beritahu dia, saya mirip anaknya. Saya tak bertanya lanjut. Sampai sekarang juga, saya tak tahu nama pakcik ni, save nombornya dalam HP, cuma ‘Pakcik Gardenia’.


Suka3. Pagi Ahad dapat la roti Butterscotch 1bungkus, dan Wholemeal 3bungkus. Roti mahal nehh.. hehe. Adik-adik pakat ambil bawa balik asrama.


Ahad, malam (sebelum naik tren balik Tanjung Malim) :


“nah, parfum Sweet Honesty. Ibu beli lebih hari tu, ada promosi. tapi tak pakai-pakai pun.


Ngee, sekarang saya ada dua Cologne Spray Sweet Honesty, satu beli sendiri dua minggu lepas, satu Ibu beri.
Saya ada dua roll-on Purse Concentre Sweet Honesty, satu beli sendiri masa cuti, satu Ezun beri.

Wednesday, August 18, 2010

Butterworth-Kepala Batas-Tanjung Tokong

Balik Penang baru-baru ini, ada beberapa perkara yang buat saya teruja. Perkara kecil saja. Cuma saya jenis mudah teruja dan seronok walaupun dengan hal-hal kecil, jadi saya kongsikan di sini. (Sementara menunggu jam 9, untuk waktu amali Physical Chemistry.)


Hari Jumaat, pergi HQ All Happy Sdn Bhd, di Butterworth. Pusing-pusing cari jalan tu tak jumpa-jumpa. Huh. Saya ni memang lemah sikit bab-bab arah jalan. Walhal dah pernah sampai pejabat Happy Mart sebelum ni bertemankan Luth Textile, dia memang tahu. Saya cuma duduk melangut saja dalam kereta. Kali ni pergi dengan pakcik Fadzil, kena lah saya menengok-nengok (buat-buat cari) kiri kanan jalan.


Yeay! Jumpa juga akhirnya. Ambil cek gaji RM sekian-sekian (sikit saja, boleh la buat belanja makan dua minggu, alhamdulillah). Plan asalnya, lepas ambil cek, nak pergi tengok wayang (apa ke halnya bulan puasa tengok wayang ni), tapi disebabkan saya punya Baba yang kuat naluri kebapaan, Baba paksa rela minta tolong Fadzil untuk ambil adik-adik saya di asrama.


Pagi itu, semasa berbual dengan Baba,


“haa, Tata dengan Padil dah ada seberang sana petang ni, ajak Padil pi amik Kak Uda & Kak Chik kat asrama sat.”


Erk? Butterworth - Kepala Batas – Tg-Tokong……okay, memang sepetang habis dalam kereta saja. Takmau-takmau.


“err, sekolah depa kat Kepala Bataih nuu? Isk, Padil takmau kot Ba. Dia kata jauh”

Bila masa dia kata entah…hehe. Padahal saya yang berat hati.


Baba tenang membalas,

“dia mesti mau punya. Orang tengah bercinta, mau apa saja.”


“yeka? Takdak aih. Padil takmau ni. Tau dah”

Saya memandai-mandai.


“mau jugak. Habaq kat dia, kalau takmau, nanti Baba reject buat menantu”


Erk? Ini sudah kes ugut ni. Haha. Saya diam saja. Rela dalam paksa. Paksa dalam rela. Ahh, mana-mana saja.


Ngee, apa pun, yeah dapat jumpa dia. Suka3x. (gatai noo).

Tuesday, August 17, 2010

pakwe simpanan

Hujung minggu pertama Ramadhan, saya bersama-sama laptop dan beg membawa diri ke Penang. Mudah kata, balik kampung! Yeay.

Niat asalnya, tak mau balik Penang selagi belum cuti raya. Tapi disebabkan Bos Besar suruh balik, saya sebagai anak ayah yang taat dan comel bersegeralah membeli tiket bas ke Ipoh (di Medan Gopeng baru ambil bas ke Butterworth).

Alhamdulillah, perjalanan yang selamat walaupun bas rosak di highway. Mujur dah dekat tol Simpang Pulai. Huhu. Syahdu betul menanti waktu berbuka di tepi jalan. Nasib baik saya tak dapat puasa, kalau tidak, mau meleleh ayaq mata kena berbuka seorang diri dalam perjalanan sebegitu.

Balik Penang dengan laptop sendiri, datang semula ke Tanjung Malim dengan laptop Baba yang dirampas dipinjam dengan muka sekupang. Kesian Baba takda laptop. Hehe. Tapi tak apa lah kan, dah nama pun ayah……

‘berkorban apa sajaa… harta ataupun nyawa’. Laptop ni dikategorikan sebagai harta ya. Terima kasih Baba sayang!

Hikmah Laptop Rosak.

Hampir sebulan tidak berpacaran dengan pakwe no.1 saya itu, ketagihan berinternet dapat diatasi. Alhamdulillah. Bukan mudah nak hilangkan kegilaan mengadap laptop berjam-jam tanpa tujuan pasti.

Thursday, August 12, 2010

kantoi

Fitrah orang perempuan, biasalah. Memang tak dapat sebulan penuh berpuasa. Bila tengah datang bulan, gadis-gadis yang tak puasa bersebab ni, kelihatan lebih lesu dan letih berbanding kawan-kawan yang puasa.


Ramadhan 1 :


Gadis ada kelas pukul 9. Jam 8 sudah bersiap-siap mahu ke kelas. Disebabkan uzur, maka perlulah sarapan dulu sebelum ke kelas. Badan memang tak tahan kalau perut tak dilapik langsung.


Bancuh susu Dutch Lady yang ada perisa Madu tu, cicah dengan biskut. Sambil berbual-bual dengan roommate, juga sedang ber’sahur’ jam 8 pagi. Hehe. Sahur la sangat.


HP berbunyi, tanpa melihat, gadis terus tekan butang hijau.


”hello, assalamualaikum”

Serentak dengan gadis menggigit biskut.


Gulp! Alamak sapa ni. Suara lelaki.


”err, haa. Waalaikumussalam. Ya?”

Juga sambil menyembunyikan derap biskut dalam mulut. Malangnya, usaha gagal. Tettt!


”haa, tak puasa ya? Tengah sarapan rupanya”


Erk. Adoi.


p/s : blogger lelaki yang rajin telefon saya pagi-pagi tu, jangan munculkan diri di sini ya! hehe

Tuesday, August 10, 2010

Ramadhan di UPSI

Tahun 1 :

Sahur kali pertama di Ramadhan pertama, seorang diri makan roti + telur separuh masak + nesvita. Rasa sebak amat, susah mau telan apa yang dikunyah.

Habis sahur, Baba telefon, mau kejutkan supaya saya tak tertinggal sahur. Jawab telefon dengan rasa kesyahduan yang teramat. Kemudian menangis hingga subuh sebab rindu sangat dengan famili.

Sebulan Ramadhan berlalu di samping Amy, Dayah, Nisa, Ju, dan Lily. Alhamdulillah.

Tahun 2 :

Puasa dengan roommate baru. Hampir setiap hari sahur. Kak Neeha akan bangun dulu, masak & dah siap hidang baru kejutkan saya untuk sahur. Fuh fuh, memang naik lemak la begitu. Buka puasa dengan teman serumah (12orang), juga dengan gadis-gadis Bio ice-blended.

Tahun 3 :

Teruja dengan Ramadhan. Saya dan Aina sudah fikir menu apa untuk sahur. Sudah sediakan bahan-bahan untuk masak (seringkas mungkin). Telur, tepung, bilis, bawang-bawang, minyak masak dan sebagainyaaaaaa...

Perasaan seperti di Tahun 1, hampir tiada. Rasa biasa.

Ramadhan. Bulan menahan diri. Lapar, dahaga, emosi, nafsu, amarah dan pelbagai. Tapi setiap tahun Ramadhan saya pun, masih fikirkan mengenai makanan, walhal Ramadhan itu bulan puasa. Huhu.

Oh...Ramadhan saya sangat lompang (rupanya). Moga Ramadhan saya tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelum ini, dari segi amalannya, ibadahnya, ketahanan diri.....dan.....emosi.

Ahlan ya Ramadhan!

Tunding jari melintang dada

Dalam hidup, kita cenderung menyalahkan orang lain dalam hampir setiap permasalahan yang berlaku dalam hidup. Orang ini salah, orang itu tak kena, orang ini tak patut begitu begini. Sayalah betul, sayalah benar, sayalah maksum, tak pernah buat salah!


Eh eh, saya tak kata awak? Kenapa terasa. Saya sebutkan, kita. Bermaksud, saya juga sama. Kita seringkali menyalahkan orang lain. Tak setuju? Tak apa. Memang tak ramai pun yang mau mengaku diri sendiri teruk.

Bila sampah bertaburan di belakang rumah, salahkan pekerja Majlis tak kutip sampah betul-betul. Padahal diri sendiri yang tak ikat plastik sampah dengan kemas, sebab tu sampah berterabur masa dikutip oleh lori sampah. Bila belakang rumah berbau, merungut!


Sinki tersumbat dan air melimpah di dapur, salahkan tukang paip yang tak selenggara sinki rumah dengan elok. Padahal diri sendiri tak buang sisa makanan dalam tong sampah, malah biarkan butir-butir nasi, cebisan sayur dan tulang ikan dialirkan ke dalam sinki. Bila sinki tersumbat, merungut!


Ahh, mudahnya menyalahkan orang. Hati tak bahagia, dia salah. Jiwa tak gembira, depa salah. Hidup tak tenteram, juga mereka punya angkara.


Semudah ABC, gamaknya.

Friday, August 06, 2010

Ringan rasa mau melayang

Dengan tinggi saya yang tak berapa nak tinggi ni, juga dengan besar susuk badan yang tak berapa nak besar ni, saya memang kelihatan seperti anak sekolah.


“Tingkatan berapa ni, dik?”


“err, tiga”


Masa di Tahun Dua UPSI, saya akan jawab tingkatan Dua. Sekarang di Tahun Tiga, saya jawab tingkatan Tiga pulak.


Mudah jawab begitu. Tak ada persoalan meleret-leret.


Kalau saya jawab saya sedang belajar di UPSI, maka akan muncul persoalan susulan,


”hah, UPSI? Umur berapa ni”

”Laa keciknya macam mana nak jadi cikgu ni”

”betoi ka umur 20? Meh tengok IC”


Grrr! Geram betul. Kadang-kadang ada juga yang tanya, ”ni darjah berapa ni?”. haa yang ni memang spontan saya jawab, ”darjah 6”.


”Ooo tahun ni UPSR. Belajaq elok-elok nah”.


”haa, iya. Terima kasih”.



Sejak di matrikulasi lagi, saya selalu berusaha gigih nak naikkan berat badan. Makan sungguh-sungguh. Tapi berat tak naik pun? Huhu. Kekal di 39-41kg sahaja.


Sampaikan kadang-kadang rasa mau minum susu Weightgain saja. Ala, susu Appeton tu la. Tapi risau pula kalau minum nanti, badan naik menggemok gebu sampai saya jadi bulat sangat.


Semester lepas, musim exam, saya, Mira dan Aina agak rajin memasak. Study, makan, tidur. Bangun study, makan, study, makan, tidur. Kerap juga makan lewat malam. Sebelum tidur, buat cucur bilis, cicah mayonis. Juga makan kek batik yang manis tu sampai pedih lidah.


Akhir semester, sebelum bercuti, berat saya naik 3kg dari 40kg. Mira pun sama.


Saya : Weiii, seronoknya berat aku naik 3kg! Hehe.


Mira : erghh, paseipa naik banyak sangat berat aku ni. 46kg weh! Ah esok aku nak diet. Ain, hang la nih. Bagi aku makan cucoq cicah mayonis.


Cuti semester dua bulan, berat badan saya turun mendadak. Dari 43kg, turun ke 36kg! Huhu. Badan rasa ringan melayang. Kalau gajah ke, badak ke, dinasor ke hembus nafas kat saya, entah-entah boleh terbang melayang badan saya ni. (pergh, hiperbola melampau).


Awal semester lima, saya memang kurang berselera untuk makan. Sampaikan Cik Gadis berdua, Mira & Aina, pelik melihat saya tak mampu menghabiskan setengah pun daripada Nasi Goreng Ayam di Shahira Tomyam.


Selera makan hilang. Mungkin jiwa kacau?


Sapa-sapa ada tips untuk saya naikkan berat badan (secara sihat), jemput kongsi dengan saya. Risau ni...huhu.

Wednesday, August 04, 2010

kenapa DIA tak dengar doa saya?

Waktu saya masih comot-comot di sekolah, saya ada belajar banyak perkara yang masih melekat sampai hari ini..


Masa tingkatan 1, Cikgu Nasar kata,


“kita ni hamba, maka kita boleh mohon minta apa saja pada DIA. Apa saja! Tadahkan tangan dan berdoa, nescaya DIA akan makbulkan.”

Ujar Cikgu Nasar, sambil mengurut-ngurut janggutnya.


Saya yakin itu. Dan saya tak putus berdoa.


Masuk tingkatan 4@5, dalam subjek Pendidikan Syariah Islamiah atau Pengajian Quran Sunnah, saya belajar firman ini, Surah Al-Baqarah, ayat 186,


"apabila hambaKu bertanya kpd mu tentang Ku, maka jawaplah bahawa Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yg berdoa kpd Ku".


Tengok? Allah itu baik. Sangat baik. Maha baik. DIA sayang saya lebih dari orang lain sayang saya. Belum lagi saya minta apa-apa, DIA dah janji. Minta saja apa pun, DIA beri.


Saya yakin itu. Dan saya masih tak putus berdoa.


Allah, saya mau itu. Saya mau ini. Saya hendakkan itu. Saya hendakkan ini. Saya mau minta macam-macam dari DIA.


Ahh, lantaklah kalau ada yang kata saya tamak. Saya mau semua yang termampu saya minta. Memang pun, saya tamak dalam doa-doa saya. DIA kan Maha Mendengar, saya tau, dia takkan jemu dengar doa saya.


Satu hari, dalam usia masih pucuk, saya rasa lelah berdoa. Maka saya berhenti berdoa. Semudah itu saya lupa pesan cikgu.


Kemudian, bila ada masalah, saya berdoa minta Allah beri jalan untuk membuka simpulan-simpulan masalah yang membelenggu hidup saya. Makin saya berdoa, makin saya hairan.


Kenapa ya? Allah tak dengar doa saya? Kenapa ya? Makin berdoa makin serabut masalah? Kenapa ya? Makin berdoa makin hilang ketenangan jiwa saya? Kenapa ya? Makin banyak saya berdoa, makin saya risau sama ada Allah akan makbulkan atau tidak?


Ahh, pusing. Serabut.


Saya tak pula berusaha mencari jawapan kenapa persoalan-persoalan saya. Mungkin DIA sibuk memakbulkan doa hamba-hambanya yang lain, ujar manusia jahil ini.


Satu petang, tanpa disangka-sangka..saya temui jawapan kepada soalan yang saya abaikan. Suatu jawapan yang menyentak tangkai jantung. Buat nafas saya tersekat-sekat memaki diri sendiri. Sejahil ini, aku?


Kenapa doa-doa saya tak dimakbulkan? Rupanya hati saya kotor. Banyak maksiat. Saya jauh dari DIA. Saya main-main dalam melaksanakan tanggungjawab saya sebagai hamba. Saya bongkak, tinggi hidung, lupa saya ini cuma hamba. Tak lebih dari itu.


Selama ini, rupanya,


1 Saya telah mengenali Allah tetapi tidak menunaikan hakNya

2 Saya telah membaca Al-Quran tetapi tidak mengamalkan isinya

3 Saya mengaku cinta kpd Rasulullah tetapi meninggalkan sunnahnya

4 Saya mengaku benci pada syaitan tetapi mematuhi ajakannya

5 Saya mengaku ingin masuk syurga tetapi tidak memenuhi syarat2nya

6 Saya mengaku ingin selamat dari api neraka tetapi Saya menjerumuskan diri ke dlmnya

7 Saya meyakini kematian itu satu kepastian tetapi tidak mempersiapkan diri menghadapinya

8 Saya sibuk mengurusi keburukan orang tetapi mengabaikan keburukan diri sendiri

9 Setiap waktu Saya menguburkan orang mati tetapi setiap kali itu pula Saya tidak pernah merenunginya

10 Saya telah menikmati nikmat Allah tetapi tidak pernah mensyukurinya.


Jom, sama-sama ambil pengajaran. Saya cuma berusaha mengingatkan diri yang jahil ni.

Monday, August 02, 2010

Sang Hero Gigi, bukan Tooth Fairy.


Rupanya, banyak hal yang selama ini saya sangkakan remeh, rupanya memberi kesan yang mendalam pada jiwa. Rasa macam dah sebulan berlalu, tapi peristiwa di satu malam tu masih terbayang-bayang di minda saya. Menyesakkan dada. Maka saya memilih berkongsi cerita di sini.


Sudah tajuk entri begini, rasanya pembaca boleh tahu, ini mesti berkaitan gigi. Sejak kecil, bila saya usia saya & adik-adik menginjak 6tahun, gigi susu akan mula luruh, untuk digantikan dengan gigi kekal. Rasanya pengalaman pertama luruh gigi, ramai yang tak dapat lupa (bagi saya lah, tak tahu kalian).


Saya, Angah, Kak Uda, Kak Teh, dan Kak Chik...setiap kali gigi susu kami sudah mulai longgar dan menanti masa untuk tertanggal, itu merupakan saat perit untuk dilalui. Takut nak cabut gigi tu. Sakit satu hal. Nak makan susah dah jadi dua hal.


Bila gigi sudah boleh digoyang-goyang, itu menandakan gigi itu sudah boleh dicabut untuk memberi laluan pada gigi kekal tumbuh dengan elok. Kalau dibiar, jadi gigi berlapis pula, huhu. Kalau gigi berlapis, senyuman sudah kurang manisnya.


Bila gigi longgar, saya akan beritahu Baba. Biasanya malam hari. Dah nama pun Cikgu, dari petang ke malam memang ada di rumah. Baba akan minta saya ngangakan mulut untuk melihat gigi yang mahu tertanggal. Di tangannya sudah ada kain kecil (tuala, sapu tangan etc).


“Baba, tengok ja! Jangan cabut tau! Sakit!”

Pesan saya beriya-iya. Takut woh nak bagi Baba cabut gigi yang dah longgar sangat-sangat tu.


“Dak aih, Baba tak cabut aih. Mai sini, Baba nak tengok ja gigi tu”

Balas Baba, lembut dan menenangkan, meminta saya baring di ribanya, sambil mengangakan mulut.


Walaupun takut-takut, saya baring juga di riba Baba, sambil mengangakan mulut. Baba akan buat-buat melihat dan menyentuh gigi tu. Dengan tangan Baba berlapikkan kain kecil, dengan sekali rentap ja, Baba mencabut terus gigi yang longgar tu. Awww!!!


Saya menjerit ja lebih. Tapi giginya dah dicabut Baba.


Kadang-kadang ada gigi yang sakit bila dicabut, ada yang tidak. Ada yang berdarah banyak, ada yang tidak. Apa pun, setiap kali gigi susu telah luruh dan gigi kekal mulai tumbuh, saya merasakan suatu perubahan fasa dalam hidup.


Ya, saya makin dewasa! Masa tu, rasa bangga ja bila gigi luruh. Hehe. Hal cabut-mencabut gigi, Alhamdulillah. Baba tak pernah gagal ada untuk kami. Di saat kami memerlukan dia.....


Bertahun berlalu, saya tak pernah menyedari peri pentingnya Baba sebagai tukang cabut gigi tak bertauliah untuk saya dan adik-adik. Sehinggalah pada satu malam tu, masa cuti semester baru-baru ini,


Adik kecil saya, Adilah (adik 7tahun, yang dipanggil Kakak), satu batang giginya sudah longgar. Dia merengek-rengek pada Mama tentang ketidakselesaannya dengan kehadiran gigi yang bergoyang-goyang di dalam mulut.


Kebetulan malam itu Baba tidak pulang ke rumah, ada amanah dan tanggungjawab baru yang perlu dia tunaikan.


Mama menyuruh Kakak pergi ada Angah, minta Angah cabutkan giginya. Angah tak berani. Kakak-kakaknya yang lain juga tak berani. Saya, memikir-mikir dan mengimbas kembali bagaimana mudahnya Baba mencabut gigi saya dan adik-adik (Angah, Kak Uda, Kak Teh dan Kak Chik) dulu. Tarik je kan? Apa susah. Ah, mesti saya boleh buat punya.


Maka dengan perasaan simpati dan merasakan saya ada tanggungjawab besar (besarrr punya) sebagai Kakak Sulung (sebenarnya masa tu saya gelak-gelakkan Kakak pasal giginya), saya berniat untuk mencabut saja gigi Kakak yang longgar tu.


Dengan berlagak seperti Baba, muka tenang dan tiada perasaan, saya memanggil Kakak baring di riba saya, sambil meminta dia mengangakan mulut. Dengan tuala kecil di tangan, saya memegang gigi yang longgar, sambil masih memikir-mikir kewajaran tindakan saya.


Kakak pula merengek-rengek berpesan,

“Tata, jangan cabut. Tengok ja!”


Saya cuma membalas,

“yalah, nak tengok la ni. Sapa berani nak cabut. Tunggu Baba lah”


Dengan yakin (dan tak yakin bercampur baur), saya menarik kuat gigi Kakak yang longgar tu. Serius, memang betul dah longgar! Macam dah nak tertanggal ja masa saya cuba pegang dan goyang-goyangkan gigi Kakak tu.


Tapi,


Awwwww!!!! Kakak menjerit sakit. Alamak, gigi yang saya tarik tadi tak tercabut pun. Dah la tak tercabut, menambah sakit pulak! isk, kenapa masa Baba buat begini dulu, nampak macam senang ja??


Lepas tu jadi satu kerja la pulak memujuk Kakak yang marahkan saya. Haha.


Minta maaf ya Adik ku. Tata cuma cuba mengambil peranan Baba, tapi tak menjadi pula. Minta maaf sangat-sangat.


Dalam keadaan itu, saya cuma tertanya-tanya (dan sedikit marah), kenapa Baba tak pernah gagal untuk ada di saat sebegini untuk kami berlima, tapi Baba takda di rumah di saat anak keenamnya, memerlukan dia?


Sedih.

mengidam hak orang.

Anak A

Malangnya diri ku tak da ayah. Aku tak tahu siapa ayah sendiri. Nama ku cuma dibintikan dengan Abdullah. Entah siapa lelaki yang membenihkan ibu ku, agaknya. Dapat tahu nama pun cukup lah.

Anak B

Siapanya agaknya Mat Seman (contoh) ni ya? Aku cuma tahu nama ayah melalui surat beranak. Itu saja. Macam mana rupa Mat Seman ni, tak pernah ku ketahui langsung. Seronoknya orang yang tahu siapa ayahnya.

Anak C

Sejak kecil, ayah dah tinggalkan ibu dan aku 5 beradik. Terkontang kanting ibu mencari rezeki menyuap mulut aku dan adik-adik. Kenapa ayah tinggalkan ibu? Kenapa ibu dan ayah tak boleh hidup bersama?

Anak D

Ayah asyik pukul ibu. Juga tangannya cepat naik ke badan aku dan adik-adik. Ayah kaki pukul. Kenapa ayah tak boleh jadi penyayang macam ayah orang lain? Kenapa ayah perlu menyakiti ibu?

Anak E

Ayah sayang kami, sayang ibu, sayang aku dan adik-adik. Tapi ayah kerja sapu sampah saja. Dia sibuk kerja siang dan malam demi kami anak beranak. Ayah tak pernah mengabaikan kami. Kalau ayah banyak duit, tentu kami lebih bahagia. Seronoknya kalau ayah dapat belikan apa yang aku mahukan.

Anak F

Ayah tak guna. Cuma tahu bagi duit dan kemewahan. Tak pernah ambil tahu sakit pening aku. Yang ayah tahu, Cuma hulurkan duit sebagai ganti perhatian dan kasih sayangnya pada aku. Kalau macam ni, lebih baik takda berayah!

Kemudian?

Nota tumit : ini Cuma entri mengingatkan saya supaya bersyukur dengan apa yang saya ada. Alhamdulillah. Rindu Baba sangat-sangat!!