Friday, November 20, 2020

Dua minggu PKPB


 Baru dua minggu duduk rumah sempena PKPB, hati dah rasa taktahan. Meronta-ronta jiwa bini. Berbekalkan pujuk rayu dan ugutan, berjaya ajak suami dan anak-anak pi makan di luar. Alahh tak boleh pi ke mana sangat pun. Pi makan di cafe depan taman perumahan saja. Jadik lahhh tu.

PKPB kali ni rasa lagi penat sebab suami ku kerjaa! Nak urus dua kanak-kanak riang seharian dari pagi membawa ke malam, agak lah mencabar jiwa raga ku yang takda bakat jadi suri rumah ini.

Kahh! Sembang! Seminggu lebih ja sebenarnya jaga anak sepenuhnya sendiri. Masuk minggu kedua lepas habis cuti deepavali tu, dah hantar semula anak-anak pi rumah pengasuh. Boleh la ibu menjalankan PdPR dengan lebih tenang.

Menyimpang topik sat,

Perut ni rasa serabut tengok gambar header blog ni. Lagu mana nak tukaq wehh? Bertahun takpenah masuk dashboard blogger, jadik tak ketahuan tang mana nak ubah itu ini.

Kita ni dah level mak anak dua umur 30, rasa malu alah pulak tengok gambar di header blog tu! Ahaks. Remaja 18 tahun tu aku takleh pandang laaa wehhh.. takdan nak godek cari cara nak ubah gambar pada header blog tu. Double serabut perut.

Thursday, November 12, 2020

acah-acah jadi suri rumah

selalu baca dan dengar keluhan mak-mak surirumah betapa penatnya badan dan emosi bila sepanjang hari berada di rumah. Kadang tu hairan jugak, betulkah lebih penat berada di rumah berbanding keluar bekerja? 


Rupanya, sungguh pun! Duduk rumah sepanjang hari dan jaga anak memang penat. Kui3 padan muka ku ini. Jadi cara saya, supaya saya ada masa untuk berehat bertenang-tenang sambil layan drama korea, saya akan kejutkan anak awal pagi.. bagi main, makan, main, makan sampai la anakanda berdua tu kepenatan.


Lepas zohor, mandikan. Gelapkan bilik. Paksa tidur. Mesti tidur siang! Bila berjaya tidurkan keduanya serentak, woahaaaaa rasa dunia ini ana yang punya. Kih kih.



Masa duk tidur, rasa comeii ja anak-anak ku ini. Bila berkelahi, hurmm rasa nak meletop hati ibu tau.


 

Budak lompat apa kabaq?



Masa tu takfaham pun kenapa kawan-kawan darjah 3 elok ja naik darjah 4. Tapi diri sendiri kena masuk kelas darjah 5.. dah la saya jadi murid pertama, satu-satunya dan murid terakhir SK Telok Bahang yg lulus PTS dan berjaya lompat kelas. Batch sebelum tu takdak, batch selepas pun takdak sapa yg lulus PTS.


Masa tu rasa tak best sebab tak merasa buat buku skrap dan folio macam kawan2 yang masuk darjah 4. Masuk darjah 5 terus kena cover jugak silibus darjah 4 laju-laju.


Cuti sekolah hujung tahun masa darjah 3 tu, Baba suruh pi rumah cikgu Zaiton Esahak, belajar matematik darjah 4. Memang lekat la dalam memori, banyak kali duk kayuh basikal dari rumah kat kampung belakang masjid telok bahang, pi rumah cikgu Ton di kampung telok awak. Sabar ja cikgu Ton ajar matematik secara one-to-one. Cikgu Ton selalu sebut Fatehah ni otak cerdik dan terang hati. Kih3. Bangga sat.


Ada jugak sebenarnya memori takbest pasal kejayaan lompat kelas ni. Taktahu ni kira nasib baik ka nasib malang, disebabkan saya belajar di sekolah yang sama dgn sekolah Baba mengajar, maka banyak jugak dengar komen-komen negatif. Biasalah anak cikgu, ramai budak memang taksuka dengan anak cikgu. Muahaha. Tak sure depa taksuka aku ka, atau taksuka pak aku so tempias kena kat aku?


Kawan2 baru masa darjah 5 tu ada yang selalu cakap, saya lompat kelas sebab pak sendiri bagi jawapan masa ujian PTS. Ada jugak yang cakap pak dia jawabkan untuk dia. Bila pi kedai runcit beli barang, jumpa ntah sapa makcik mana tak kenai, dengar makcik tu cakap, 'ooo ni ka anak ustak rashdan yang lompat kelas tu? Boleh la lompat pasai pak dia bagi jawapan'. Kita ni budak kecik, mana la reti menjawab lagi masa tu. Nangis ja la sorang2 dan takpernah cerita pun kat Baba atau Mama.


Bila dah masuk kelas darjah 5 tu, saya rasa biasa ja. Takda lah rasa ketinggalan sangat atau rasa mudah sangat belajar. Kena usaha kuat jugak. Ingat lagi, peperiksaan pertama masa darjah 5 tu, dapat nombor 7 dalam kelas. Frust tertunggeng sebab dah biasa dapat nombor 1-3 ja sebelum tu. Muahahaha padahal okey sangat dah la nombor 7 tu oii.

Saja tulis panjang2 sebab teringat kenangan lompat kelas. Tiba-tiba ja ramai rakan fb share pasal peperiksaan tahap satu hari ni. Kita pun join sekaki.

Ok babaiii

tiba-tiba dah habis sesi sekolah 2020

 it's a wrap. bye sekolah sesi 2020, half cooked. kita sambung PdP dari rumah pulak. Mencabar sungguh la tahun ni. Tiba-tiba teringat lirik lagu minggu koperasi, 'wawasan dua puluh dua puluh, kita tidak akan mengeluh'. Huhu la ni bukan takat mengeluh dah, dah ramai yang 'oh dengarlah, jeritan batinku' ini. 


Semoga semua kawan-kawan dikuatkan hati, ditabahkan emosi nak menghabiskan tahun 2020 seterusnya 2021 yang makin mencabar. Stay safe, everyone!

Sunday, July 26, 2020

Luqman


Luqman bin Fadzil Hilmi, the bossy baby.

Saya mengajar sesi petang di sekolah sekarang. Jadi pagi hari cuma ada kami berdua di rumah. Muhammad pi tadika. Luqman lah kawan bergaduh ibu. Kadang ibu menang, kadang Luqman menang.

Luqman ni, gelagatnya seringkali mencuit hati. Tapi kerap juga buat kami suami isteri tepuk dahi. Kuat mengamuk dan menangis bila kehendak tak dituruti. Kuat memaksa. Suka menyakat Muhammad. Tapi bila dia tidur, rasa sunyi sangat hidup ni.

Ibu anak dua


Amboiii, kekok aih nak menulis kat sini. Sungguh dah terlupa langsung kewujudan blog ni. Mungkin sekarang dah takdak masa nak merapu meraban di blogspot.

Asyik main whatsapp status ja pun.

Update ringkas.

Sekarang dah jadi ibu anak dua.
Muhammad 5tahun 6bulan,
Luqman 2tahun 6bulan.

Suami? Muahaha, pakcik tersebut la weii.. Fadzil Hilmi.

Rezeki hujung tahun 2019 lulus pertukaran ke Kedah. Dapat pindah duduk rumah kami setelah dua tahun dapat kunci. La ni che' jadi oghang Qodahh uitt..

Cakk!

Tiba-tiba teringat pernah ada blog. Saja update main-main sebab kat sini dah takda sapa-sapa baca. Kekeke

Tuesday, August 04, 2015

kemaskini

berhabuk. menulis blog mungkin sudah tidak 'in' lagi sekarang. atau saya yang sudah bosan dengan alam maya. masih di facebook sesekali muncul. itu lah sahaja. buka emel pun atas urusan kerja.

cepat masa berlalu. ini saya terasa mahu menulis kemaskini perkembangan terkini saya. entah siapa yang akan baca. haha.

1. alhamdulillah sudah ada roommate lelaki, booked 20 Disember 2013. majlis nikah kecil-kecil saja. masih terasa manisnya. haha.

2. tak sempat nak pejam celik lama-lama, 11 Januari 2015 muncul orang ketiga antara kami. tak sangka saya akan sayang lelaki lain lagi dalam hidup ini. terima kasih Muhammad bin Fadzil Hilmi.

3. jadi saya masih berfikir, adakah selepas ini blog Ain fathihah akan jadi tempat saya berkongsi perjalanan hidup bersama suami dan Muhammad?

4. pelik juga rasanya. dari blog gedik anak remaja, akan menjadikah jika saya tukarkan kepada blog ibu-ibu seMalaya?

Monday, September 22, 2014

dah terasa tua untuk menulis cerita di sini lagi

saya tak pasti kerana perasan telah berusia atau apa, mungkin kerana sudah memasuki alam kerjaya, atau alam rumahtangga, atau barangkali terasa berada di zon selesa...saya rasa tidak betah lagi mau menulis cerita peribadi di sini.

banyak perkara dah berlaku pada saya. turun naik cerita. cuma sekarang cerita-cerita peribadi itu biarlah saya simpan sendiri saja. begitu fikiran saya sepanjang masa tidak berkisah di sini. bukanlah disimpan sebagai rahsia, cuma sekarang sudah punya teman seranjang huahaha sekamar berkongsi cerita, ceria lara duka suka cinta.

apa lagi mau dikisahkan pada media sosial dan teman maya bila sudah punya teman sudi setia paksarela menadah telinga mendengar setiap celoteh saya. haha mana lagi mau lari, sudah terikat janji begini.

cuma petang ini, terasa rindu dan gatal jari saya mau menaip sesuatu, di sini di blog Ain Fathihah. telah lama saya tinggalkan sepi.

lama berfikir, tapi tak ada satu cerita pun yang mampu saya tuliskan di sini. kekok barangkali.

jadi saya tinggalkan saja blog ini dengan gambar kami. tanda saya masih ingatkan pasword blog ini.


nota tumit : dulu teringin nak ikut trend juga, pre wedding photoshoot kononnya. tak apa, kita buat post wedding photoshoot. aummm!

salam sayang.

bye.


Tuesday, March 18, 2014

hijrah

ramai yang cakap, saya ini anak bapak. tak pernah lagi lah saya dengar ada yang menyebut saya ni anak mak. tapi tanpa mak dan bapak, siapalah saya. justeru harus (sudah tentu) ada keduanya untuk menjadikan apa adanya saya pada hari ini.

terima kasih mama.
dan,
terima kasih baba.

kekok mau menulis mama dan baba dalam ayat yang sama sebab keadaan sekarang bukan macam dulu-dulu lagi

nota : ini entri serius.

dua hari selepas pernikahan saya, Baba dan Umi beritahu saya sesuatu yang buat saya tersentak. Permohonan pertukaran baba ke negeri lain diluluskan. Bermakna, Baba akan berpindah, jauh dari Pulau Pinang. Memegang tanggungjawabnya, Baba pastinya membawa bersama adik-adik saya yang berada di dalam jagaannya. Haruslah dia kena bawa anak-anaknya bersama, kalau Baba tinggalkan adik-adik pada saya, mesti saya dah mengamuk-amuk.

Ya, saya menangis. Walaupun masa tu saya sudah bernikah tapi saya belumpun bermalam mahupun tinggal bersama suami, jadi masih perasan orang bujang. Hati saya sentap.

Juga menyesal. Bila diingat kembali, hubungan saya dengan Baba boleh dikatakan dingin sepanjang tahun 2013. Malu rasanya nak tulis di sini, tapi ya, saya tidak melayan Baba dengan baik sebelum ini. Entah apa yang merasuk hati, saya rasa sangat marah dengan Baba. Bukan marah kerana benci, tapi semacam kecewa. Kecewa atas apa yang berlaku.

Ramai yang tahu, saya mempunyai hubungan rapat dengan Baba sejak saya kecil. Baba lah idola, Baba lah hero, dialah segalanya bagi saya. Tapi hati saya terluka. Rasa semacam dikhianati.

Angkuhnya saya sebagainya anak, sampaikan saya kerapkali berdoa dan berharap, moga saya cepat kahwin. saya takmau lagi tinggal dan berada dalam jagaan Baba. Juga saya rasa, eloklah saya jauh dari Baba, sebab tiap-tiap kali memandang dia, hati saya rasa terluka.

Allah jawab doa saya dengan cara yang saya tak jangka. Memang doa saya ditunaikanNYA, dengan cara membawa Baba jauh dari saya.

Saya bingung. Baru saya sedar, rupanya saya masih belum cukup bersedia untuk hidup sendiri. Rupanya selama ini Baba dah buat segala-galanya yang terbaik dan termampu dari dia untuk saya. Rupanya hati saya sangat-sangat rindu bila Baba tiada depan mata. Rupanya saya selama ini terlalu bergantung hidup dengan Baba.

Saya rasa kehilangan. Juga rindu.

Walaubagaimanapun, saya sedikitpun tidak merasakan keputusan Baba untuk berhijrah setelah 20 tahun di Pulau Pinang suatu keputusan yang salah. Inilah yang terbaik untuk dia dan keluarga. Hijrah ini adalah sesuatu yang baik. Sesuai pula pada masanya. Moga yang terbaik untuk mereka di sana.

Adakah saya masih ada rasa marah dan kecewa pada Baba? Tiada lagi. Malah saya sendiri sudah lupa hal apa yang membuatkan saya kecewa pada Baba. Seakan selepas pernikahan, suami telah menjernihkan dan mematangkan fikiran saya.

Rasa hati lebih tenang selepas saya melepaskan sebahagian rasa negatif yang tersimpan dalam hati. Bukan mudah nak menjernihkan hati selepas apa yang terjadi. Walaupun saya cuba meyakinkan diri sendiri yang saya tidak terkesan, Allah jua yang tahu apa yang saya rasakan. Bukan mudah nak terima dan berlapang dada. Apapun, menerima itu lebih memudahkan keadaan.


nota tumit : entri ini mungkin menimbulkan persoalan. tapi saya akan jawab kemudian.

Sunday, March 16, 2014

refleksi : hampir tiga bulan

Bukan terlupa pasword, bukan terlalu sibuk, bukan juga jauh hati.. tapi setahun dua ini saya rasa hilang ghairah dan teruja untuk menulis di sini, di Blog Ain Fathihah yang dulunya menjadi jantung hati saya.

Rasanya hilang teruja ini bermula selepas saya mula bekerja sebagai guru ganti. entah apa yang sibuknya, cinta saya beralih arah...cinta pada sekolah. (eceh kalau pengetua baca ni, terus saya naik pangkat DG44 keh keh keh). Bila bekerja, situasinya tidak sama lagi dengan zaman belajar. Sudah kurang rasa mau berpoya-poya di laman maya.

Banyak perkara yang berlaku yang tidak sempat saya nukilkan di sini. Petempatan pertama, hal keluarga dan juga pernikahan saya. hihihi sekarang sudah hampir tiga bulan menjadi Puan. ada roomate lelaki yeayy! kacak pula muahahaha.

Tadaaaa!!

alhamdulillah. entri ini tujuannya untuk saya buat refleksi tiga bulan menjadi isteri Fadzil Hilmi. bukan nak memuja dan memuji suami, nanti saya sendiri yang geli-geli. haha.

Kerap saya ditanya soalan begini,

"Apa perubahan yang pada diri lepas jadi isteri orang?"

saya terdiam. mau memberi jawapan klise? hilang dara sudah tentu wakakakaka! bosan rasanya. jawapan saya mungkin hampir sama saja dengan pengantin baru yang lain. semuanya pasti yang molek-molek belaka. harus lah kan, mood baru, semuanya masih manis melecas.

satu yang pasti, yang saya pasti ini perkara yang berubah.

saya tiada sembelit lagi! keh keh keh.

banyak-banyak perkara yang manis tentang nikah kahwin, hal berak jugak yang saya bincangkan di sini. maaf la suami. tapi ini benar.

sejak kecil anak, saya bukan jenis pemakan sayur. kelat benar rasanya sayur di lidah saya. pahit, payau, berdengung dan tidak sedap. saya memang tak suka makan sayur. mungkin penyebab mengapa saya bantut, kurang vitamin dan mineral gamaknya.

disebabkan kurang pelawas, maka saya memang menghadapi masalah sembelit. kekerapan saya buang air besar? tidak kerap.

lepas mula bekerja, saya mula tercari-cari cara untuk mengatasi masalah ini. antaranya, saya asingkan sedikit wang gaji untuk membeli pati prun innershine. heh, selera takmau kalah, nak yang mahal saja. dengan kos yang tinggi untuk beli pati prun innershine tu, masalah sembelit saya sedikit sebanyak dapat diatasi. cuma tak ada la bangun tidur muka berubah rupa maya karin. kecewa rasanya

selepas nikah dan menetap sendiri, seperti lazimnya isteri lain, saya memasak untuk suami. kadang-kadang terjadi juga ikan siakap hangit, cucur rentung keras kayu dan nasik lembik....ah abaikan. itu sebahagian daripada proses pembelajaran hahaha.

suami tidak cerewet. cuma satu perkara yang saya amat perasan sejak awal dulu, tiap kali saya memasak dan jika tiada sayur, suami akan tanya

"sayoq mana? sayoq mana?"

jika tidakpun dia mengeluh,

"herm tak syok la takdak sayoq."

ataupun dia menyakat saya tiap-tiap kali cik jururawat datang bertandang di pipi

"tengok abang. makan sayoq, pipi licin ja tak penah naik jerawat", kata dia sambil mengelus-elus pipi sendiri.

ambil masa juga, selepas itu saya paksakan diri untuk masak sayur setiap kali. saya tanamkan dalam hati, wajib masak ada sayur! mesti mesti! padil suka makan sayur dan saya pun mesti masak sayur untuk dia.

awal dulu, saya cuma masak. tetap elak dari makan. lama kelamaan, saya belajar makan sayur sebab rasa penat pulak kalau masak sendiri, tapi tak makan langsung.

ringkaskan cerita, sekarang dah dua bulan saya jadi pemakan sayur... dan tiba-tiba saya perasan yang saya hari-hari berak.. banyak baguss! haha. tidak perlu pun minuman kesihatan mahal-mahal, rupanya cuma perlu makan sayur hari-hari.

sekian saja perubahan diri saya selepas berkahwin yang dapat dikenalpasti.

nota tumit : dah rajin makan sayur pun jerawat naik jugak. heh.

Monday, December 23, 2013

pakcik padil dah daftar nama sebagai roommate saya!

alhamdulillah
20 Disember 2013

Thursday, October 10, 2013

putaran

bebelan rawak:

dulu zaman belajar, susah nak tidur malam. kerap juga saya terkebil-kebil dengan mata segar memandang siling. tiada kerja/perkara mau dilakukan, tapi mata tak dapat nak lelap.

sekarang zaman bekerja, jam 9.30 mata sudah berat ya amat. terkelip-kelip mata menahan kantuk. terasa tidak dapat tidur sesuka hati dek perkara-perkara yang perlukan perhatian saya.

indah ya putaran Dia.


nota tumit : orang tua kata, jangan intai lebih-lebih, nanti jatuh cinta =P

Wednesday, October 09, 2013

kasut sukan

semasa saya masih bersekolah, saya bukanlah boleh dianggap sebagai pelajar yang lasak dan aktif. kaki bangku. tangan kayu. tak tahu main bola jaring (sampai sekarang pun saya masih tak tahu bermain bola jaring), apatah lagi bola tampar mahupun badminton.

sewaktu kelas Pendidikan Jasmani? saya cuma tukang sorak melihat kawan-kawan sekelas main bola jaring, ataupun memilih untuk menghabiskan waktu Pendidikan Jasmani dengan bermain permainan dalam. Congkak gituuu, gadis melayu kononnya.

Dek kekayuan dan kebangkuan saya, maka ketika itu, kasut sukan bukanlah prioriti utama. Saya tak pernah punya kasut sukan sepanjang 10 tahun tempoh persekolahan (lima tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah). Sewaktu hari sukan, pendidikan jasmani ataupun menghadiri perkhemahan, saya sekadar menyarung kasut sekolah.

Semasa membuat persiapan memasuki kolej matrikulasi, tercetak dalam senarai semak, antara barang keperluan peribadi yang perlu ada adalah kasut sukan. Maka Baba bawa saya membeli kasut sukan di kedai kasut Bata. seingat saya, kedai Bata di Jalan Masjid Kapitan Keling (baca : kot?) 

Saya memilih kasut sukan berwarna merah jambu + kelabu berharga kurang lebih RM80.00. Itu lah kasut sukan pertama saya. Sedikit sebanyak saya rasa bersalah ketika itu kerana Baba tak henti-henti istigfar bila melihat harga kasut yang saya mahu. RM80.00 adalah mahal untuk seorang bapa punya isteri tidak bekerja dan deretan anak seramai tujuh orang. haha. Saya buat kering hati saja, saya tetap mahukan kasut itu. Mungkin ketika itu saya rasa berhak memilih apa yang saya mahu sebab saya berjaya menempatkan diri di Kolej Matrikulasi (hekk elehh, matrik ja pun, haha)

Selama setahun di matrikulasi dan empat tahun di UPSI, kasut sukan itu lah yang saya lenjan semahu-mahunya. Saya pakai sampai betul-betul lusuh dan hilang corak bunga tapak. Tamat belajar di UPSI kemudian sambung kursus jahitan di giatmara selama setahun, kasut itu lah juga yang saya taram semahunya. Puas hati sebab bertahun-tahun masih bersama kasut sukan kesayangan saya, kasut yang paling saya sayang dan itu lah satu-satunya pun. hihi.

Baru-baru ini, memikirkan saya perlu menghadiri program sekolah yang melibatkan jungle treking dan beberapa aktiviti luar, saya paksa diri membeli kasut sukan baru. Alhamdulillah, ini yang kedua dalam hidup. haha. Harapnya dapat dipakai sampai saya pencen. Bukannya pakai hari-hari pun kan.

Terasa kepuasan bila dapat membeli barangan peribadi menggunakan wang gaji sendiri.

nota tumit : Beg galas belakang dan kasut sukan baru. yuhuuu! masa ni masih bling-bling dan bau 'kedai'.

Monday, September 09, 2013

taik ayam

kelas relif

Melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh hanya pada permulaan. Lama kelamaan, ditinggalkan apabila sudah mula bosan.

- Nyatakan peribahasa yg sesuai dgn maksud di atas.

TAIK AYAM SUDAH SEJUK, CIKGU!

Sunday, September 08, 2013

cikgu kecik

hari sabtu,  saya ditugaskan untuk membawa pelajar tingkatan 5 ke klinik menjawab soalan SPM. selesai depa mendaftar, saya pun menjengah masuk dlm dewan kuliah S, Usm. sebaik kaki melangkah masuk dewan, terus saya disapa seorang urusetia,

'Dari sekolah mana ni?'
-tanjong bunga.
'Ni awat pakai macam ni? cikgu kamu tak bagitau ke kena pakai baju sekolah?'

jeda sekejab. lambat tangkap. lama saya terdiam. cuba memahamkan diri sendiri. eh awat aku kena pakai baju sekolah pulak?

lambat-lambat saya menjawab

-err, saya lah cikgu. jadi guru pengiring pelajar2 saya.
'eh laa. cikgu rupanya. mintak maaf la cikgu. kecik sangat. saya ingatkan student tadi. minta maaf naa'
-takpa. takpa. saya faham.

*senyum saja.

Wednesday, August 07, 2013

penantian berakhir

selamat hari raya, maaf zahir dan batin



Wednesday, March 27, 2013

cita-cita

seingat saya, semasa kecil sekitar umur 5-8 tahun, bila tanya tentang cita-cita saya, saya mau jadi doktor. jawapan klise budak-budak. kenapa nak jadi doktor? sebab boleh tolong orang. sebab boleh rawat orang.

sepanjang sekolah rendah, cita-cita saya tak berubah. tetap juga mau jadi doktor. mungkin diajar begitu, mungkin juga sendiri yang pandai-pandai mau jadi doktor.

masuk ke sekolah menengah, masih juga begitu. cita-cita : doktor. sampai tingkatan tiga, cita-cita saya masih sama. mau jadi doktor. elok masuk ke tingkatan empat dan belajar di kelas sains tulen, cita-cita saya mula berubah-berubah.

masa tu terfikir, iskk sedangkan subjek-subjek sains tingkatan 4 dan lima pun kerap tak lulus, macam mana nak teruskan cita-cita doktor ni? nak luluskan subjek kimia pun terketar-ketar. kalau lulus pun, takat 45% saja. Biologi okay sikit, tapi mengenangkan jerit perih budak tak cerdik macam saya belajar untuk lulus peperiksaan, rasa ngeri pula nak sambung belajar bidang medik. pheww.. maka cita-cita saya mula bertukar-tukar setiap tahun.

*bertukar cita-cita setiap tahun terutamanya masa isi kad 001 sebab masa tu sajalah baru fikir balik soal cita-cita. hehe.

antara cita-cita yang pernah saya isikan dalam kad 001 warna biru tu adalah ;

Peguam Syariah (masa ni rajin ikut pasukan bahas sekolah, kunun-kunun nak pandai berdebat lalu jadi peguam. oleh sebab duduk sekolah agama dan ada pengaruh islamik gitu, maka saya isi ruangan cita-cita mau jadi Peguam Syariah)

Penganalisis Politik (sampai sekarang pun saya taktahu penganalisis politik tu kerjanya macam mana. haha. bunyi macam best, sebab tu tulis jugak. masa tu, saya banyak baca buku-buku berbaur politik dan novel-novel ala-ala sejarah tanah melayu masa nak merdeka.)

sekarang ni, bila menjejak dewasa, kalau ditanya cita-cita saya, rasanya saya akan jawab,

saya nak jadi budak dan nak jadi remaja semula! tak seronok pun jadi orang dewasa rupanya.

nota tumit : kepada adik-adik dan bekas pelajar SMK Ibrahim, hangpa tak payah la kalut sangat nak cepat-cepat jadi orang dewasa. pheww. tak best pun.

Sunday, March 24, 2013

intan dan tekanan

ini cerita semasa saya masih hingusan. ketika usia masih pucuk. tujuh tahun dulu di SMKA (P) AlMashoor. saya pelajar aliran sains tulen. ambil subjek bio fizik kimia addmath dan subjek sekolah agama, syariah quran&sunnah dan bahasa arab tinggi.

antara banyak-banyak kelas tu, saya paling rajin semasa kelas biologi. bukanlah rajin baca buku ataupun buat homework sangat, sekadar rajin tolong cikgu. bila dikenang-kenang balik, oh pulun sungguh saya masa tu. mungkin kalau tidak sepulun itu, saya tak capai apa yang saya capai sekarang. berkat doa cikgu.

kelas biologi biasanya PnP diadakan di makmal. buat eksperimen atau tidak, cikgu zaharah memang suruh turun makmal untuk belajar di situ. mungkin sebab cikgu nak ajar pakai laptop dan LCD. jadi di makmal lebih mudah.

sebaik waktu sebelum waktu bio berakhir, saya bergegas ke bilik guru, ambil beg laptop cikgu dan bawa turun ke makmal. kemudian masuk bilik persediaan makmal (sempat mengorat mengacau pembantu makmal, nama Roshan), ambil LCD. lepas tu masuk makmal Bio, pasangkan laptop cikgu, sambungkan dengan LCD segala bagai. adjust skrin bagi cun. hehe.

seingat saya, cikgu tak pernah suruh, mahupun tetapkan tugasan begitu untuk saya mahupun yang lain. saya sendiri yang sukarela. sampai sekarang saya tak tahu kenapa saya serajin itu. haha. bila dah kebiasaannya saya yang ambil laptop cikgu dan pasang LCD, lama kelamaan itu menjadi tugas rutin saya. alhamdulillah, taktau kenapa rasa seronok buat macam tu, mungkin sebab nak mudahkan cikgu. atau mungkin masa tu saya nak bodek cikgu saja. dah lupa niat asal. atau mungkin saya sekadar nak menghebat depan kawan-kawan, nak tunjuk saya reti pasang laptop dan LCD =P

cikgu zaharah bukanlah jenis cikgu bosan yang mengajar sekadar bazir air liur saja. masa saya tingkatan empat dan lima, hampir 70% PnP menggunakan ICT. tayangan video, simulasi, slaid powerpoint. video lucu badak & anjing nyanyi 'in the jungle the mighty jungle the lion sleeps tonight', termasuklah video bersalin secara cesarean dan bersalin normal. sekolah perempuan semua, menjerit-jerit lah saya dan kawan-kawan masa tengok video bersalin, ngeri kononnya. haha.

celah-celah PnP tu, cikgu zaharah (dan kebanyakan guru-guru almashoor lain) memang suka berleter. haha. cakap pasal sahsiah. pasal SPM. pasal Universiti. pasal lima tahun akan datang. pasal 10 tahun akan datang. masa tu usia masih hijau, belum kenal dunia. jujur hati, memang selalu rasa meluat bila dileter-leter. semasa muka pura-pura khusyuk dan tawaduk mendengar leteran cikgu-cikgu, dalam hati mesti duk merungut, 'arghhh apa lah cikgu ni. pot-pet pot-pet tak habis-habis. satgi silibus tak habis kena buat kelas tambahan pulak'.

bila dah keluar dari lingkungan selamat SMKA (P) AlMashoor, leteran cikgu-cikgu zaman sekolah lah yang saya pegang kuat-kuat dalam hati. masa tu baru lah mampu fikir, 'oh cikgu saya dulu berleter bukan sebab nak habiskan masa, tapi depa bagi nasihat. nasihat sebab sayang'. sampai sekarang pun, apa yang saya ingat mengenai cikgu-cikgu adalah leteran=nasihat mereka. isi-isi penting PnP banyak yang dah lupa, haha. belajar berorientasikan peperiksaan lah katakan. habis exam, semua terbang.

banyak perkara yang disampaikan cikgu zaharah, cikgu biologi saya. antara yang paling saya ingat, kata-kata ini,

JIKALAU TIDAK KERANA TEKANAN, MASAKAN ARANG BATU BERTUKAR INTAN.

- a diamond is merely a lump of coal that did well under pressure-

terpegun-pegun saya. semua kita pun tahu nilai dan rupa arang batu. semua pun tahu nilai dan rupa intan. tambah pula bila belajar kimia, baru tahu kedua-dua intan dan arang batu, unsur kimianya adalah sama, unsur karbon. cuma susunan dan ikatan unsur karbon yang berbeza. tambah terpegun, rupanya arang batu menjadi intan sebab tekanan yang kuat.

kata-kata inilah yang saya simpan kuat-kuat dalam hati sampai hari ini. bila terasa lemah emosi & minda, cepat-cepat refresh diri dengan kata-kata hikmah ini. mungkin orang kata, alaa banyak ja kata-kata hikmah lain yang bagus-bagus, yang boleh dijadikan pedoman hidup. tapi bagi saya, kata-kata ini yang paling membekas dalam hati. mungkin masa cikgu zaharah sampaikan pada anak didiknya, dia seikhlas hati menyampaikan, dan saya berlapang dada menerima. zuppp! terus masuk otak, serap di hati, kekal bertahun-tahun. alhamdulillah.


dan baru semalam saya tahu, rupanya kata-kata yang cikgu zaharah sampaikan pada saya ini, yang saya pegang & guna bertahun-tahun, disampaikan oleh Cikgu Nooriah kepadanya. kebetulan pula cikgu Nooriah Mohamad adalah pengetua di sekolah tempat saya menjadi cikgu ganti sekarang.

alhamdulillah. ilmu yang baik, pahalanya berterusan. insyaAllah.

nota tumit : sekarang bila bagitau pelajar kata2 yg sama serta penerangannya, ada yg cakap, "alaa cikgu. chill la. takyah kalut2. hidup ni simple saja. mesti mau enjoy. buat apa susah payah belajar sampai seksa diri, enjoy saja... hahaha!". saya cuma mampu senyum. kesian pun ada.

entri ini terbit daripada status facebook yang saya panjangkan.

nota tumit : orang kata bila dah jadi ibu, makin sayang pada ibu sendiri. oleh sebab saya belum jadi ibu, saya takboleh nak komen. cuma sekarang apa yang saya rasa (berdasarkan situasi saya sekarang),

BILA DAH JADI CIKGU, MAKIN SAYANG PADA CIKGU-CIKGU SENDIRI.

eh kenapa ada dua nota tumit?


Thursday, March 14, 2013

anak daud

dalam banyak-banyak kawan yang kita ada, biasanya ada seorang dua kawan yang memberi kesan pada hidup kita walaupun tidak serapat mana. sampai sekarang masih terngiang-ngiang apa yang dicakapkan dia.

bila masuk ke sekolah menengah, saya tinggal di asrama. masa itu masih hingusan, ikut saja apa cadangan mama baba. bila naik ke tingkatan dua, anak daud adalah antara kawan yang paling tinggal kesan pada zaman peralihan kanak2 ke remaja (zaman tak tentu hala) saya.

masa tingkatan dua lah saya belajar outing. mula-mula outing halal di hujung minggu bila tidak balik rumah. apa mau dibuat dengan sabtu ahad di asrama selain outing kan. lama kelamaan menjadi outing haram, iaitu bila tamat waktu sekolah, tidak terus pulang ke asrama, sebaliknya menyelinap di celah pelajar berulang, naik bas ke komtar. entah apa yang seronoknya dengan Komtar dan Prangin Mall waktu itu, saya pun tak tahu (sebenarnya dah lupa).

antara kenangan tingkatan dua yang saya masih ingat sampai hari ini adalah peristiwa ini.

satu pagi, warden asrama Ustaz Shuib secara mengejut membuat lawatan ke kamar-kamar pelajar di asrama lama. asrama lama menempatkan pelajar tingkatan dua dan empat sahaja. pagi hujung minggu, kebanyakkan tidur semula selepas subuh, sambil bermalas-malasan, membiarkan kamar semak tidak berkemas.

warden : kamar semak! macam sarang tikuih!
senior : kami orang, ustaz. bukan tikuih.
warden : hei! kamu faham tak saya kata macam, macam lah!
junior : (berani hihihihi dalam hati saja)

maaf saya melalut. berbalik pada cerita anak daud. saya paling ingat kata-kata anak daud masa kami tingkatan dua, di tangga tersorok asrama lama, sedang ponteng prep petang (haha!). lebih kurang tiga empat orang sedang bersembang hal family, kemudian anak daud menangis & cakap mcm ni (lebih kurang). 

"tuhan, bagi la aku rasa satu saat pun takpa, macam mana rasa ada family yang lengkap".

saya tak tahu anak daud ingat atau tak, dia pernah cakap begini, buat hati naluri saya sentap sampai hari ini. waktu dulu, hati sekadar simpati. cuma lewat setahun dua kebelakangan, kata-kata anak daud makin menusuk dan mencucuk tajam hati saya. buat saya tertanya-tanya, adakah tujuh tahun akan datang adik saya yang sekarang di darjah satu dan darjah empat akan begitu juga perasaan mereka?

allah jua yang menentukan. perkara takdir, bukan dalam kuasa hamba.

nota tumit : dah bertunang dah anak daud. tahniah kawan lama!