Monday, December 23, 2013

pakcik padil dah daftar nama sebagai roommate saya!

alhamdulillah
20 Disember 2013

Thursday, October 10, 2013

putaran

bebelan rawak:

dulu zaman belajar, susah nak tidur malam. kerap juga saya terkebil-kebil dengan mata segar memandang siling. tiada kerja/perkara mau dilakukan, tapi mata tak dapat nak lelap.

sekarang zaman bekerja, jam 9.30 mata sudah berat ya amat. terkelip-kelip mata menahan kantuk. terasa tidak dapat tidur sesuka hati dek perkara-perkara yang perlukan perhatian saya.

indah ya putaran Dia.


nota tumit : orang tua kata, jangan intai lebih-lebih, nanti jatuh cinta =P

Wednesday, October 09, 2013

kasut sukan

semasa saya masih bersekolah, saya bukanlah boleh dianggap sebagai pelajar yang lasak dan aktif. kaki bangku. tangan kayu. tak tahu main bola jaring (sampai sekarang pun saya masih tak tahu bermain bola jaring), apatah lagi bola tampar mahupun badminton.

sewaktu kelas Pendidikan Jasmani? saya cuma tukang sorak melihat kawan-kawan sekelas main bola jaring, ataupun memilih untuk menghabiskan waktu Pendidikan Jasmani dengan bermain permainan dalam. Congkak gituuu, gadis melayu kononnya.

Dek kekayuan dan kebangkuan saya, maka ketika itu, kasut sukan bukanlah prioriti utama. Saya tak pernah punya kasut sukan sepanjang 10 tahun tempoh persekolahan (lima tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah). Sewaktu hari sukan, pendidikan jasmani ataupun menghadiri perkhemahan, saya sekadar menyarung kasut sekolah.

Semasa membuat persiapan memasuki kolej matrikulasi, tercetak dalam senarai semak, antara barang keperluan peribadi yang perlu ada adalah kasut sukan. Maka Baba bawa saya membeli kasut sukan di kedai kasut Bata. seingat saya, kedai Bata di Jalan Masjid Kapitan Keling (baca : kot?) 

Saya memilih kasut sukan berwarna merah jambu + kelabu berharga kurang lebih RM80.00. Itu lah kasut sukan pertama saya. Sedikit sebanyak saya rasa bersalah ketika itu kerana Baba tak henti-henti istigfar bila melihat harga kasut yang saya mahu. RM80.00 adalah mahal untuk seorang bapa punya isteri tidak bekerja dan deretan anak seramai tujuh orang. haha. Saya buat kering hati saja, saya tetap mahukan kasut itu. Mungkin ketika itu saya rasa berhak memilih apa yang saya mahu sebab saya berjaya menempatkan diri di Kolej Matrikulasi (hekk elehh, matrik ja pun, haha)

Selama setahun di matrikulasi dan empat tahun di UPSI, kasut sukan itu lah yang saya lenjan semahu-mahunya. Saya pakai sampai betul-betul lusuh dan hilang corak bunga tapak. Tamat belajar di UPSI kemudian sambung kursus jahitan di giatmara selama setahun, kasut itu lah juga yang saya taram semahunya. Puas hati sebab bertahun-tahun masih bersama kasut sukan kesayangan saya, kasut yang paling saya sayang dan itu lah satu-satunya pun. hihi.

Baru-baru ini, memikirkan saya perlu menghadiri program sekolah yang melibatkan jungle treking dan beberapa aktiviti luar, saya paksa diri membeli kasut sukan baru. Alhamdulillah, ini yang kedua dalam hidup. haha. Harapnya dapat dipakai sampai saya pencen. Bukannya pakai hari-hari pun kan.

Terasa kepuasan bila dapat membeli barangan peribadi menggunakan wang gaji sendiri.

nota tumit : Beg galas belakang dan kasut sukan baru. yuhuuu! masa ni masih bling-bling dan bau 'kedai'.

Monday, September 09, 2013

taik ayam

kelas relif

Melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh hanya pada permulaan. Lama kelamaan, ditinggalkan apabila sudah mula bosan.

- Nyatakan peribahasa yg sesuai dgn maksud di atas.

TAIK AYAM SUDAH SEJUK, CIKGU!

Sunday, September 08, 2013

cikgu kecik

hari sabtu,  saya ditugaskan untuk membawa pelajar tingkatan 5 ke klinik menjawab soalan SPM. selesai depa mendaftar, saya pun menjengah masuk dlm dewan kuliah S, Usm. sebaik kaki melangkah masuk dewan, terus saya disapa seorang urusetia,

'Dari sekolah mana ni?'
-tanjong bunga.
'Ni awat pakai macam ni? cikgu kamu tak bagitau ke kena pakai baju sekolah?'

jeda sekejab. lambat tangkap. lama saya terdiam. cuba memahamkan diri sendiri. eh awat aku kena pakai baju sekolah pulak?

lambat-lambat saya menjawab

-err, saya lah cikgu. jadi guru pengiring pelajar2 saya.
'eh laa. cikgu rupanya. mintak maaf la cikgu. kecik sangat. saya ingatkan student tadi. minta maaf naa'
-takpa. takpa. saya faham.

*senyum saja.

Wednesday, August 07, 2013

penantian berakhir

selamat hari raya, maaf zahir dan batin



Wednesday, March 27, 2013

cita-cita

seingat saya, semasa kecil sekitar umur 5-8 tahun, bila tanya tentang cita-cita saya, saya mau jadi doktor. jawapan klise budak-budak. kenapa nak jadi doktor? sebab boleh tolong orang. sebab boleh rawat orang.

sepanjang sekolah rendah, cita-cita saya tak berubah. tetap juga mau jadi doktor. mungkin diajar begitu, mungkin juga sendiri yang pandai-pandai mau jadi doktor.

masuk ke sekolah menengah, masih juga begitu. cita-cita : doktor. sampai tingkatan tiga, cita-cita saya masih sama. mau jadi doktor. elok masuk ke tingkatan empat dan belajar di kelas sains tulen, cita-cita saya mula berubah-berubah.

masa tu terfikir, iskk sedangkan subjek-subjek sains tingkatan 4 dan lima pun kerap tak lulus, macam mana nak teruskan cita-cita doktor ni? nak luluskan subjek kimia pun terketar-ketar. kalau lulus pun, takat 45% saja. Biologi okay sikit, tapi mengenangkan jerit perih budak tak cerdik macam saya belajar untuk lulus peperiksaan, rasa ngeri pula nak sambung belajar bidang medik. pheww.. maka cita-cita saya mula bertukar-tukar setiap tahun.

*bertukar cita-cita setiap tahun terutamanya masa isi kad 001 sebab masa tu sajalah baru fikir balik soal cita-cita. hehe.

antara cita-cita yang pernah saya isikan dalam kad 001 warna biru tu adalah ;

Peguam Syariah (masa ni rajin ikut pasukan bahas sekolah, kunun-kunun nak pandai berdebat lalu jadi peguam. oleh sebab duduk sekolah agama dan ada pengaruh islamik gitu, maka saya isi ruangan cita-cita mau jadi Peguam Syariah)

Penganalisis Politik (sampai sekarang pun saya taktahu penganalisis politik tu kerjanya macam mana. haha. bunyi macam best, sebab tu tulis jugak. masa tu, saya banyak baca buku-buku berbaur politik dan novel-novel ala-ala sejarah tanah melayu masa nak merdeka.)

sekarang ni, bila menjejak dewasa, kalau ditanya cita-cita saya, rasanya saya akan jawab,

saya nak jadi budak dan nak jadi remaja semula! tak seronok pun jadi orang dewasa rupanya.

nota tumit : kepada adik-adik dan bekas pelajar SMK Ibrahim, hangpa tak payah la kalut sangat nak cepat-cepat jadi orang dewasa. pheww. tak best pun.

Sunday, March 24, 2013

intan dan tekanan

ini cerita semasa saya masih hingusan. ketika usia masih pucuk. tujuh tahun dulu di SMKA (P) AlMashoor. saya pelajar aliran sains tulen. ambil subjek bio fizik kimia addmath dan subjek sekolah agama, syariah quran&sunnah dan bahasa arab tinggi.

antara banyak-banyak kelas tu, saya paling rajin semasa kelas biologi. bukanlah rajin baca buku ataupun buat homework sangat, sekadar rajin tolong cikgu. bila dikenang-kenang balik, oh pulun sungguh saya masa tu. mungkin kalau tidak sepulun itu, saya tak capai apa yang saya capai sekarang. berkat doa cikgu.

kelas biologi biasanya PnP diadakan di makmal. buat eksperimen atau tidak, cikgu zaharah memang suruh turun makmal untuk belajar di situ. mungkin sebab cikgu nak ajar pakai laptop dan LCD. jadi di makmal lebih mudah.

sebaik waktu sebelum waktu bio berakhir, saya bergegas ke bilik guru, ambil beg laptop cikgu dan bawa turun ke makmal. kemudian masuk bilik persediaan makmal (sempat mengorat mengacau pembantu makmal, nama Roshan), ambil LCD. lepas tu masuk makmal Bio, pasangkan laptop cikgu, sambungkan dengan LCD segala bagai. adjust skrin bagi cun. hehe.

seingat saya, cikgu tak pernah suruh, mahupun tetapkan tugasan begitu untuk saya mahupun yang lain. saya sendiri yang sukarela. sampai sekarang saya tak tahu kenapa saya serajin itu. haha. bila dah kebiasaannya saya yang ambil laptop cikgu dan pasang LCD, lama kelamaan itu menjadi tugas rutin saya. alhamdulillah, taktau kenapa rasa seronok buat macam tu, mungkin sebab nak mudahkan cikgu. atau mungkin masa tu saya nak bodek cikgu saja. dah lupa niat asal. atau mungkin saya sekadar nak menghebat depan kawan-kawan, nak tunjuk saya reti pasang laptop dan LCD =P

cikgu zaharah bukanlah jenis cikgu bosan yang mengajar sekadar bazir air liur saja. masa saya tingkatan empat dan lima, hampir 70% PnP menggunakan ICT. tayangan video, simulasi, slaid powerpoint. video lucu badak & anjing nyanyi 'in the jungle the mighty jungle the lion sleeps tonight', termasuklah video bersalin secara cesarean dan bersalin normal. sekolah perempuan semua, menjerit-jerit lah saya dan kawan-kawan masa tengok video bersalin, ngeri kononnya. haha.

celah-celah PnP tu, cikgu zaharah (dan kebanyakan guru-guru almashoor lain) memang suka berleter. haha. cakap pasal sahsiah. pasal SPM. pasal Universiti. pasal lima tahun akan datang. pasal 10 tahun akan datang. masa tu usia masih hijau, belum kenal dunia. jujur hati, memang selalu rasa meluat bila dileter-leter. semasa muka pura-pura khusyuk dan tawaduk mendengar leteran cikgu-cikgu, dalam hati mesti duk merungut, 'arghhh apa lah cikgu ni. pot-pet pot-pet tak habis-habis. satgi silibus tak habis kena buat kelas tambahan pulak'.

bila dah keluar dari lingkungan selamat SMKA (P) AlMashoor, leteran cikgu-cikgu zaman sekolah lah yang saya pegang kuat-kuat dalam hati. masa tu baru lah mampu fikir, 'oh cikgu saya dulu berleter bukan sebab nak habiskan masa, tapi depa bagi nasihat. nasihat sebab sayang'. sampai sekarang pun, apa yang saya ingat mengenai cikgu-cikgu adalah leteran=nasihat mereka. isi-isi penting PnP banyak yang dah lupa, haha. belajar berorientasikan peperiksaan lah katakan. habis exam, semua terbang.

banyak perkara yang disampaikan cikgu zaharah, cikgu biologi saya. antara yang paling saya ingat, kata-kata ini,

JIKALAU TIDAK KERANA TEKANAN, MASAKAN ARANG BATU BERTUKAR INTAN.

- a diamond is merely a lump of coal that did well under pressure-

terpegun-pegun saya. semua kita pun tahu nilai dan rupa arang batu. semua pun tahu nilai dan rupa intan. tambah pula bila belajar kimia, baru tahu kedua-dua intan dan arang batu, unsur kimianya adalah sama, unsur karbon. cuma susunan dan ikatan unsur karbon yang berbeza. tambah terpegun, rupanya arang batu menjadi intan sebab tekanan yang kuat.

kata-kata inilah yang saya simpan kuat-kuat dalam hati sampai hari ini. bila terasa lemah emosi & minda, cepat-cepat refresh diri dengan kata-kata hikmah ini. mungkin orang kata, alaa banyak ja kata-kata hikmah lain yang bagus-bagus, yang boleh dijadikan pedoman hidup. tapi bagi saya, kata-kata ini yang paling membekas dalam hati. mungkin masa cikgu zaharah sampaikan pada anak didiknya, dia seikhlas hati menyampaikan, dan saya berlapang dada menerima. zuppp! terus masuk otak, serap di hati, kekal bertahun-tahun. alhamdulillah.


dan baru semalam saya tahu, rupanya kata-kata yang cikgu zaharah sampaikan pada saya ini, yang saya pegang & guna bertahun-tahun, disampaikan oleh Cikgu Nooriah kepadanya. kebetulan pula cikgu Nooriah Mohamad adalah pengetua di sekolah tempat saya menjadi cikgu ganti sekarang.

alhamdulillah. ilmu yang baik, pahalanya berterusan. insyaAllah.

nota tumit : sekarang bila bagitau pelajar kata2 yg sama serta penerangannya, ada yg cakap, "alaa cikgu. chill la. takyah kalut2. hidup ni simple saja. mesti mau enjoy. buat apa susah payah belajar sampai seksa diri, enjoy saja... hahaha!". saya cuma mampu senyum. kesian pun ada.

entri ini terbit daripada status facebook yang saya panjangkan.

nota tumit : orang kata bila dah jadi ibu, makin sayang pada ibu sendiri. oleh sebab saya belum jadi ibu, saya takboleh nak komen. cuma sekarang apa yang saya rasa (berdasarkan situasi saya sekarang),

BILA DAH JADI CIKGU, MAKIN SAYANG PADA CIKGU-CIKGU SENDIRI.

eh kenapa ada dua nota tumit?


Thursday, March 14, 2013

anak daud

dalam banyak-banyak kawan yang kita ada, biasanya ada seorang dua kawan yang memberi kesan pada hidup kita walaupun tidak serapat mana. sampai sekarang masih terngiang-ngiang apa yang dicakapkan dia.

bila masuk ke sekolah menengah, saya tinggal di asrama. masa itu masih hingusan, ikut saja apa cadangan mama baba. bila naik ke tingkatan dua, anak daud adalah antara kawan yang paling tinggal kesan pada zaman peralihan kanak2 ke remaja (zaman tak tentu hala) saya.

masa tingkatan dua lah saya belajar outing. mula-mula outing halal di hujung minggu bila tidak balik rumah. apa mau dibuat dengan sabtu ahad di asrama selain outing kan. lama kelamaan menjadi outing haram, iaitu bila tamat waktu sekolah, tidak terus pulang ke asrama, sebaliknya menyelinap di celah pelajar berulang, naik bas ke komtar. entah apa yang seronoknya dengan Komtar dan Prangin Mall waktu itu, saya pun tak tahu (sebenarnya dah lupa).

antara kenangan tingkatan dua yang saya masih ingat sampai hari ini adalah peristiwa ini.

satu pagi, warden asrama Ustaz Shuib secara mengejut membuat lawatan ke kamar-kamar pelajar di asrama lama. asrama lama menempatkan pelajar tingkatan dua dan empat sahaja. pagi hujung minggu, kebanyakkan tidur semula selepas subuh, sambil bermalas-malasan, membiarkan kamar semak tidak berkemas.

warden : kamar semak! macam sarang tikuih!
senior : kami orang, ustaz. bukan tikuih.
warden : hei! kamu faham tak saya kata macam, macam lah!
junior : (berani hihihihi dalam hati saja)

maaf saya melalut. berbalik pada cerita anak daud. saya paling ingat kata-kata anak daud masa kami tingkatan dua, di tangga tersorok asrama lama, sedang ponteng prep petang (haha!). lebih kurang tiga empat orang sedang bersembang hal family, kemudian anak daud menangis & cakap mcm ni (lebih kurang). 

"tuhan, bagi la aku rasa satu saat pun takpa, macam mana rasa ada family yang lengkap".

saya tak tahu anak daud ingat atau tak, dia pernah cakap begini, buat hati naluri saya sentap sampai hari ini. waktu dulu, hati sekadar simpati. cuma lewat setahun dua kebelakangan, kata-kata anak daud makin menusuk dan mencucuk tajam hati saya. buat saya tertanya-tanya, adakah tujuh tahun akan datang adik saya yang sekarang di darjah satu dan darjah empat akan begitu juga perasaan mereka?

allah jua yang menentukan. perkara takdir, bukan dalam kuasa hamba.

nota tumit : dah bertunang dah anak daud. tahniah kawan lama!

Wednesday, March 13, 2013

situasi yang buat cengkerik berbunyi

Hal Satu : Kembar

'Cikgu, saya nak pergi jumpa ustazah munirah ambil borang', kata seorang pelajar lelaki india, diiringi seorang pelajar perempuan india.
'Baik, pergi la'.

10 saat kemudian,

'Cikgu, saya nak pergi jumpa guru kelas ambil borang', kata pelajar lelaki india yang sama, diiringi seorang pelajar perempuan india yang lain pulak.
'eh tadi kan kamu dah pergi?', sambil dahi berkerut.
'itu abang saya, bukan saya'.

krikk krikkk.

Kelas Amali Solat di surau. sambil menanda buku pemantauan ponteng kelas, saya memanggil seorang demi seorang pelajar.

'Taufiq!'
'saya!'
'Mirza!'
'saya!'
'Firdaus!'
'saya!'

'Shifa!'
'ada.', saya memandang arah kiri.

'Shira!'
'ada.' saya memandang pelajar yang menyahut dari arah kanan.

eh? terkejut.
pandang kiri dan kanan semula.

krikk krikk.

fuh. kembar lagi rupanya. dah mula nak rasa seram sebab surau sekolah memang menyeramkan pun. hehe.


'Miss Lim, nah borang SMM pelajar 5 M',
'bukan saya, Miss Lim lagi seorang', sambil menggoyang tangan ke kiri ke kanan

krikk krikk.

ada tiga pasangan kembar di sekolah saya bekerja sekarang., dua pasangan pelajar kembar, dan satu pasangan guru kembar. ketiga-tiga punya rupa yang sama. susuk badan yang sama. juga suara yang sama. alangkan guru-guru lama pun tak boleh bezakan, apatah lagi saya. hehe. selalu jugak hentam saja sebut kedua-dua nama,

'Harviin Harveesh. jawab soalan 5'
'cikgu suruh dia atau saya?', soal kembar, hampir serentak.


Hal Dua : Adik Beradik

kelas pendidikan islam tingkatan dua. biasa lah kelas belakang. nakal boleh tahan. sebut nama berkali-kali, masih berlari-lari dalam kelas dan bermain di koridor. memang mencabar sabar. tambah pula kelas pendidikan islam memerlukan guru mendengar ayat-ayat tilawah dan hafazan pelajar satu demi satu. pantang lepa sekejab, terus ada beberapa pelajar berkejaran di koridor kelas.

'Safwan!! masuk kelas sekarang!', suara hampir menjerkah, sebab dah kepenatan memaniskan muka dan berlembut.

'Cikgu. dia Ruzaini. Safwan tu abang dia'

krikk krikk. okay, mari kontrol muka marah.

kebetulan pula saya guru kelas si abang dan guru matapelajaran pendidikan islam juga. dalam kelas si abang pun selalu salah menyebut nama si adik.

saya masih di SMK Tanjong Bunga. sambung kontrak cikgu ganti lagi dua bulan.

nota tumit : selamat maju jaya pada semua kawan-kawan yang telah dan akan ditemuduga bulan februari dan mac ini.


Saturday, February 16, 2013

ain berpakat dengan mira, culik rubi dan dida bawa mai Penang

meh nyanyi dulu. 'kalau naik feri kena masuk ikut jeti, kalau ramai kawan masuklah ikut jambatan, jumpa hidung mancung bukan semua pelancong, combi anak tanjung anak mami duk jelutong!'

hujung tahun 2012 lepas selesai kenduri Aini Jaafar, saya dengan rakusnya menculik kawan-kawan bawa mai jalan-jalan di Penang.

selama duk ulang-alik dengan jambatan pulau pinang ni, saya tak pernah terfikir pun nak ambil gambar. tapi si Rubi memang orang jakun sejati, semangat dia ambil gambar sepanjang perjalanan atas jambatan penang. hehe.

saya dari awal tak berapa tahu nak bawa kawan-kawan merayap di mana. tambah pula, semua sepakat tak mahu pergi mall dan shopping kompleks. kata mereka, nak pergi tempat yang ada alam semulajadi. padahal sebenarnya tak mau pergi shopping kompleks sebab masing-masing poket kering duit tak ada. haha.

empangan telok bahang. orang penang jati Mira pun tak pernah mai sini. kira okay lah tu dapat tengok empangan telok bahang. 


jeti taman negara penang, telok bahang. tak masuk pun kawasan taman negara sebab dah lewat petang. ajak depa mai jalan atas jeti yang panjang ke tengah laut ni saja. saya sendiri gayat. rasanya dulu kecik-kecik duk berlari-lari ja atas jeti nelayan, tak takut pula. (saya membesar di telok bahang)

berjaya sampai hujung. tengok laut cantik terus hilang gayat.

persiaran gurney. saja duduk ambil gambar sebab tujuan asal nak pergi sarapan di Khaleel nasi kandar.


oleh sebab semua depa meroyan cemburu tengok gambar-gambar saya pergi Bukit Bendera, maka destinasi wajib melawat penang adalah Bukit Bendera.
saya jurugambar tanpa tauliah.

kereta kabel pun laju. tak puas duduk dah sampai atas.


 beratur beli tiket. eh gambar tak ikut susunan rupanya. sengaja letak gambar ni sebab muka dida kelakar.

jurugambar penat ambil gambar. kata jurugambar tapi banyak pula muka saya. jumlah gambar dekat lima ratus snap sepanjang di penang. malas saya nak upload banyak sangat. penuh dengan gambar mira rubi dida duk berposing sakan. nanti kalau mak mertua depa jumpa blog saya, pengsan pula tengok bakal menantu masing-masing.

pemandangan Penang maha sesak dari atas bukit. sebelum ni dua kali saya ke sini tapi tak dapat tengok penang dengan jelas. berkabus.

pesta penang. jalan-jalan & main. mampu main satu game saja, Challenger. pening rasa nak muntah, terus tak berani nak main game lain. kata-kata saya pada depa

"weh kalau lepas ni hangpa paksa aku main benda macam ni lagi, kita putus kawan!", kata saya sambil tahan muntah. eleh masa pi Genting dulu pun cakap ayat lebih kurang jugak. hehe.

mai penang wajib la cuba makanan penang. saya sempat bawa cuba tiga makanan saja.

Chicken Milani with Roti Nan Cheese di Kapitan Gurney.
Pasembor mamak joget-joget di Gurney Drive
Tosai di Kapitan dekat jeti

sengaja letak gambar ini untuk sabotaj rubi. haha.


nota tumit : harap kawan-kawan tak serik datang rumah saya. tiap-tiap waktu makan, kena bawa makan di luar. sapa nak masak? hehe. lagi pun mai penang memang kena cuba makan macam-macam, tempat lain takdak.



Singer-Mundial

sebelum saya belajar menjahit, selalu juga saya tertanya-tanya kenapa tukang jahit sayang gunting serupa sayang nyawa. eleh, gunting saja pun kan, bawa duit lima ringgit dah boleh dapat gunting besar yang baru.


sedar tak sedar, dah cukup setahun sejak saya mendaftar sebagai pelatih di kelas jahitan. setakat ni, saya dah guna tiga gunting.

1. gunting pertama

dapat percuma semasa mendaftar masuk gunting warna pink bersama dengan alat-alat jahit yang lain. pembaris, penetas, kapur jahit, jarum peniti dan jarum jahit, cutter dan pita ukur. masa tu saya cuma kenal jarum dan gunting. tengok kapur tiga segi tu, saya memang jakun. asyik pi asah saja. selama dalam dunia cikgu, kapur bentuk lain. masuk dunia tailor, eh kapur bentuk lain pulak.

sepanjang belajar, saya guna gunting pink ini sahaja. kurang jaga sebab barang percuma (mungkin?). walaupun saya tak begitu berhati-hati menjaga gunting pink ini, alhamdulillah sampai 6bulan tempoh belajar, gunting ni masih tajam dan memuaskan hati. rasanya sebab gunting ini tidak pernah jatuh.

gunting pink ini saya kategorikan sebagai rosak bila adik saya, si Adilah ambil gunting ini dan buat gunting kertas tebal. sejak itu, gunting ini terus tak boleh buat gunting kain. tumpul setumpul-tumpulnya. babai!


2. gunting kedua

gunting jenama singer warna keemasan, 8 inchi. tajam sampai hujung gunting. sedap diguna, hati pun riang. pernah sekali saya cuba gunting beberapa lapis kain tebal, tak lut pula gunting ini.

"cikgu Di! awat takleh potong ni? gunting ni saya jaga elok-elok, tak penah buat gunting kertas pun?"

cikgu Di jeling-jeling gunting warna emas ni, kemudian cakap,

"memang la kak ain oi. tu gunting untuk kerja nipis".

oh, baru tau.


3. gunting ketiga

gunting jenama mundial 8 inchi. dapat percuma sekali dengan geran mesin jahit. berat dan tebal. makcik nori cakap, gunting ni harga RM150. erk? cikgu maiza mengiyakan. dek rasa sayang sebab gunting ini mahal, dua bulan saya perapkan saja dalam kotak. sayang nak guna. hehe.

tapi sejak-sejak saya tahu gunting singer tu cuma untuk gunting lapisan yang nipis, saya terpaksa guna gunting mundial ini untuk kerja-kerja memotong lapisan kain yang tebal. memang memuaskan hati. cuma ketat sikit sebab jarang pakai.

sekarang gunting singer dan gunting mundial ini memang jadi kesayangan saya. betullah, jaga serupa nyawa.


Tuesday, February 05, 2013

cikgu bukan opsyen

teringat kata-kata pengetua SMK Ibrahim masa saya praktikal, opsyen itu sekadar mimpi di siang hari. bila dah posting nanti, tipis harapan dapat mengajar opsyen sendiri. contohnya, opsyen saya Biologi, diminta ajar KH. sekadar contoh.

dek kerana golongan guru adalah pacal hina yang 'saya yang menurut perintah', biasanya cikgu-cikgu akan terima saja apa jua subjek yang diberi. kan cikgu ni multi-tasking dan multi-purpose (dah macam tupperware pulak).

saya agak berkeras tak mahu menjadi cikgu ganti di sekolah-sekolah yang jauh dari rumah sebab takmau redah kesesakan jalan raya dan sia-sia tua atas jalan. sekolah yang jarak sekentut dekat dengan rumah, tak ada kekosongan subjek biologi/sains/matematik.

soal pegawai ppd,

"kamu sekolah almashoor ka dulu?"
"ya saya"
"bahasa arab lulus tak?"
"bahasa arab tinggi dapat B"
"boleh baca jawi?"
"ya, boleh".

"hah, kamu pi sekolah Tanjung Bunga. ada kekosongan guru agama".
"baik encik, takdak masalah", sambil senyum.

senyum dusta semata-mata. padahal degup jantung, salur aorta rasa nak meletup. lima minit lepas persetujuan, rasa nak tolak sebab takut tak mampu. 10 minit lepas tu, rasa nak terima pula sebab terfikir bila dah posting nanti bukannya akan dapat subjek Biologi/Sains pun. 15 minit lepas tu rasa patut tolak sebab takmau rosakkan anak orang dengan pengajaran entah apa-apa. saya bukannya ustazah pun. 25 minit kemudian saya dah ada di rumah, baru balik dari ambil surat lantikan di PPD. gulp!

dalam duk berdakwa-dakwi sama ada nak tolak atau terima tu, sedar-sedar dah sebulan dah pun saya berada di SMK Tanjong Bunga sebagai guru subjek pendidikan islam.

ambil masa juga nak cari rentak mengajar subjek Pendidikan Islam.

moga allah mendidik saya semasa saya berusaha mendidik anak orang.

nota tumit : pelajar panggil Cikgu Ain. rasa segan pula nak guna title ustazah. ostajah boleh laaa! hehe

Monday, February 04, 2013

nyamuk cium tak dosa

baru-baru ini saya dapat berita seorang kawan seBio di UPSI, Hasmalina Hassan kena demam denggi. tiap-tiap kali saya dengar ada kenalan yang kena denggi, mesti saya akan tersenyum. bukan senyum suka sebab orang tu ditimpa musibah. tapi senyum sebab teringat kenangan masa saya kena demam denggi dulu.

dulu? agak lama jugak lah. semasa saya tingkatan lima. lebih kurang dua bulan sebelum SPM (tahun 2006). memang miung-miung la masa jawab SPM dulu, sebab belum sembuh sepenuhnya lagi. oleh sebab cerita sudah lama dan saya ingat-ingat lupa, maka saya nomborkan penceritaan saya.

1. saya ditahan di wad hospital pulau pinang selama dua minggu, termasuk empat hari di ICU.

2. sangat seksa kena demam denggi sebab ujian darah dilakukan setiap hari. bila dah banyak kali buat ujian darah, saya dah tak rasa apa bila nurse mai cucuk lengan ambil darah. siap boleh sembang-sembang lagi. lengan pun serupa lengan penagih dadah, penuh lubang cucuk.

3. masa di ICU, ada lebih kurang 7-10 katil yang ada pesakit. cuma saya seorang saja pesakit yang boleh bercakap-cakap. pesakit lain yang ada di ICU semuanya koma. ada yang berbalut hampir seluruh badan. seram bila dengar mesin denyutan jantung tu berbunyi panjang tanpa jeda. titttttttt........... lepas tu bleh dengar doktor dan nurse kecoh-kecoh di katil tu.  eh, dah meninggal. sepanjang dua minggu di wad, rasanya ada tiga kematian di katil sebelah saya.

4. masa di ICU agak seronok sebab katilnya ada suis untuk laraskan ketinggian. jakun lah saya asyik duk memicit suis tu, sampai kena marah baru saya berhenti main suis di katil. lepas tu boleh minta TV. gigih nurse pelatih usung TV atas meja yang ada roda supaya saya boleh tonton. haha. nak berak kencing pun nurse mai tadah mangkuk. haha. tapi masa tu saya tahan berak sebab tak sanggup nak berak sambil baring. kui3.

5. masa di wad biasa, dek demam yang terlampau panas, sekumpulan nurse lap-lapkan badan saya untuk turunkan suhu badan. depa tanggalkan baju hospital, lapik selimut dan lap seluruh badan termasuk di tempat-tempat sulit. sebelum tu, nurse dah tarik tabir untuk halang pesakit katil lain dari skodeng saya lah. masa tu saya sedar tak sedar saja, sebab rasa tak daya nak buka mata. tapi tahu dan dengar apa yang berlaku. bila keluar wad dan kembali ke sekolah, saya ceritakan pada kawan-kawan. siap cakap, "weh, aku rasa macam dicabul". mujur la masa tu badan pun tak berapa nak wanita sangat. sekeping ja. wakakaka!

6. berat badan saya semasa di tingkatan 5, adalah 35kg. lepas keluar hospital, berat saya turun sampai 25kg sahaja. dah macam cicak dah. kurus kering. hari pertama saya ke sekolah selepas sembuh dari denggi, saya kena tahan dengan pengawas sekolah sebab pakai tudung dengan kerongsang (peraturan SMKA (P) AlMashoor, kerongsang adalah barang haram). apa nak buat, terpaksa pakai kerongsang sebab tudung sekolah sangat-sangat longgar.

7. sepanjang dua minggu di wad, dua orang kawan kelas yang boleh dikatakan setiap hari mai melawat saya selepas habis waktu sekolah adalah Munirah Haji Sultan dan Shahdatul Amira. padahal saya bukanlah baik sangat dengan kedua-dua mereka. saya selalu cari pasal dengan Shahdatul sebab dia Ketua Tingkatan lepas tu dia suka berleter meja saya semak, saya tak hantar homework dan lain-lain kesalahan. keh3. saya juga suka cari pasal dengan Munirah sebab saya rasa dia tak normal bila dapat markah Add Maths 95% ke atas. dah la pernah dapat 99%. haloo! orang normal biasanya gagal la subjek tu. muahaha! contohnya saya.

8. rasa terharu dan disayangi bila hampir semua kawan setingkatan mai melawat di hospital. penuh wad dengan budak berbaju sekolah. haha. saya ingat lagi, Haziela Hamid menangis masa tengok saya di wad. sedih katanya bila tengok keadaan saya masa tu.

9. bila saya dah kembali bersekolah, ada kawan-kawan yang cerita satu perkara lucu (sekarang rasa lucu. masa kejadian, berderau darah). elok saja saya dimasukkan di ICU untuk rawatan lanjut, pihak sekolah buat pengumuman ke semua kelas di sekolah. pengumuman kurang lebih berbunyi begini. "marilah sama-sama kita sedekahkan al-fatihah kepada pelajar kelas 5 Melur, Nurul Ain Fathihah"...bzzz ngeonggg eonggg bzzzzz. elok sebut nama saya, PA sistem bermasalah. ramai yang ingat saya dah al-marhumah. tak lama lepas tu baru la diumumkan semula yang saya dimasukkan ke ICU. alhamdulillah, masih bernyawa.

10. saya hampir-hampir kena denggi berdarah. sebab tu kena masuk ICU untuk pemerhatian rapi. doktor cakap, kalau keluar darah dari liang roma, maka tamatlah riwayat. huhu. rasanya masa tu kalau keluar darah dari liang roma pun, saya tak perasan sebab seluruh badan saya dah jadi warna maroon. mulanya bintik-bintik merah, kemudian tompok merah, bila tompok-tompoh merah tu makin besar dan bercantum, jadilah saya bak udang karang.

setakat ini saja perkongsian saya perihal denggi. alhamdulillah diberi nikmat dan peluang sampai hari ni untuk hidup.

Friday, February 01, 2013

ada roommate lelaki tak bermaksud dia gatai.

tapi mereka cuma dah ada suami! (perkataan 'cuma' sengaja digunakan di sini untuk menyedapkan hati sendiri). haha.

tahniah aini dan farhan (15 Disember 2012)

tahniah haziela dan kushairi (12 Disember 2012)

tahniah hasinah dan akmal (1 Disember 2012)

juga pada mira muin dan razak (19 Januari 2013)
saya tiada dalam gambar sebab saya tuan punya kamera. lepas ni dah malas nak bawa kamera dah.


nota tumit : teringat cikgu azah pernah cakap (sekitar dua tahun lepas) kat saya soal kahwin.

"kamu tengok kawan-kawan kawen, kamu pun jangan galak nak kawen muda jugak. orang luar nampak yang indah-indah ja. pasangan tu sendiri yang rasa susah payah dan cabaran perkahwinan"

Thursday, January 31, 2013

kembali bersiaran!

haloo? halooo? masih punya pembacakah di blog ain fathihah ini? sedangkan tuan punya blog menyepi lama, apatah lagi pembaca. hehe.

saya masih orang yang serupa, sama seperti biasa (comel, cuma makin jelita. keh3). januari ini cukup setahun saya habis belajar di UPSI. masih juga belum dipostingkan oleh KPM. berapa lama mau tunggu daa?

sama debaran pemerhati politik menunggu tarikh pembubaran parlimen sekaligus pilihanraya, begitu juga saya dan rakan-rakan. debar menunggu tarikh petempatan (permohonon & temuduga SPP pun belum tahu bila).

enam bulan pertama 2012, saya mengikuti kursus jahitan di giatmara. enam bulan seterusnya, saya sambung program lanjutan di giatmara sama. setahun menjahit, walaupun seronok tapi saya rasa kosong. sungguh, pengalaman yang menarik sepanjang setahun saya di giatmara. belajar kemahiran, dan menjadi pelatih biasa. rasa lebih dekat dengan masyarakat kerana pergaulan menjangkau hampir semua lapisan usia. cara bercakap pun dah macam makcik-makcik. haha.

kemahiran diri berkembang, tapi saya rasa diri saya tidak berkembang. pemikiran dan cara berfikir seakan tersekat dalam suatu ruang kecil. bosan dan kosong. aktiviti seharian tidak mencabar minda. diri saya juga tidak tercabar. jadi untuk mengelakkan saya menjadi seakan air bertakung yang akan membiak jentik-jentik, maka saya putuskan hidup mesti berubah lagi.

2 Januari 2013, saya melapor diri di SMK Tanjong Bunga sebagai guru ganti. mulanya memang payah, setahun meninggalkan profesi guru, tiba-tiba melangkah ke dalam persekitaran mencabar. mencabar bagi saya untuk berada dalam persekitaran sekolah (sekolah menengah biasa) begitu, memandangkan latar belakang saya daripada SMKA dan sekolah berpraktikal pula merupakan antara sekolah terbaik Kedah.

alhamdulillah. alhamdulillah. alhamdulillah.

saya banyak belajar. saya lebih banyak belajar semasa mengajar.

moga tuhan permudahkan.

muka-muka menunggu posting

nota tumit : bila baca semula entri ini sebelum saya klik 'publish', saya rasa entri ini sedikit berbeza dari saya yang biasa. mungkin dah lama tidak menulis, bahasa agak tunggang langgang. jumpa lagi!


Thursday, January 24, 2013

penempatan guru

kalau padi katakan padi
tidak saya tertampi-tampi
kalau sudi katakan sudi
tidak saya ternanti-nanti

grr!

bila nak posting ni wei?