Thursday, December 29, 2011

kunfayakun!

masa sekolah rendah, ada seorang guru sains kegemaran saya. cikgu noridawati namanya. saya mula belajar sains dengan cikgu norida masa darjah 5, sementelah darjah 4 itu tak pernah ada dalam kamus kenangan saya. cee cee. dah tentulah saya tak merasa darjah 4, sebab saya dah langkau kelas dari darjah 3 ke darjah 5.

mula darjah 5, saya kenal kawan-kawan baru. semua muka asing. semua kawan pun layan saya macam budak-budak sebab kata mereka, saya ni kecik (muda) dari mereka. dah la kecik, tiba-tiba menyibuk masuk kelas orang.

masa awal-awal darjah 5, memang agak tertekan sebab saya rasa sayalah murid paling tak cerdik. saya tak tahu apa yang kawan-kawan lain tahu. tertekan. dan saya rasa tak wajar kanak-kanak 10tahun diberi tekanan dan rasa rendah diri sebegitu. haha.

namun, selepas tiga bulan, saya dapat sesuaikan diri.

salah satu matapelajaran yang saya rasa menarik masa tu adalah sains. masa darjah 5 antara perkara yang saya belajar adalah sebab-sebab berlakunya pengaratan, keperluan asas hidupan, rantai makanan dan jenis-jenis haiwan (mamalia, burung, veterbrata dan lain-lain).

biasanya masa matapelajaran sains, cikgu norida akan buat latihan. dan banyak jugalah soalan-soalan yang ditanya cikgu.

"apakah sebab berlaku pengaratan?"

"kenapa tumbuhan melakukan fotosintesis?"

"berikan pemerhatian kepada rajah di atas"

dan bla bla bla soalan lagi.

dalam ramai-ramai murid dan banyak-banyak jawapan pun, ada seorang murid lelaki yang memberi jawapan yang selalu buat saya rasa tak puas hati dengan jawapannya.

"ya siapa nak jawab? bagaimana terjadinya hujan?"

"kuasa allah, cikgu!" jawab pelajar lelaki tadi sambil mengangkat kedua tangannya seakan berdoa.

"ya, saya tahu. kuasa allah. tapi bagaimana? semua perkara berlaku mesti ada sebab", balas cikgu sains.

"kuasa allah la cikgu!" murid lelaki tadi menegaskan. sambil menambah,

"bila allah dah kata kunfayakun, maka jadilah hujan, cikgu!"

dalam hingar-bingar kelas ketawa (saya taktahu orang lain ketawa sebab lucu atau apa), tapi saya mencebik sendirian.

'ceh, dah malas nak fikir jawapan, pi jawab macam tu pulak.'

terlalu berorientasikan peperiksaan agaknya saya ketika itu.

Wednesday, December 28, 2011

macaroni dan jiran

sebelum tinggal di Tanjung Tokong, keluarga saya menetap di Telok Bahang. Di Kampung Mukim Masjid. Rumah kampung, suasana kampung. rumah pun agak rapat-rapat dari pintu ke pintu.

pernah sekali tu, sekitar usia saya lapan ke 10 tahun (saya tak pasti sangat), mama baru reti masak macaroni.
bukannya cara barat sebetulnya. rebus macaroni ni, kemudian goreng cara biasa macam buat mee goreng.

resam duduk di kawasan kampung, macam biasa la bila ada masak apa-apa yang lain sikit, mesti akan hantar kepada jiran. biasanya, jiran rumah tepi, kiri, kanan dan belakang rumah. satu petang tu, saya ikut mama hantarkan sepinggan macaroni goreng kepada jiran hadapan rumah.

dekat saja rumah jiran tu, dari pintu rumah kami tak sampai 10langkah dah sampai pintu rumah jiran. sebab saya dah tak berapa ingat dialog sebetulnya, maka lebih kurang begini lah apa yang terjadi,

"assalamualaikum! " mama bagi salam pada anak jiran yang usianya mungkin sekitar usia mama.

"haa ya jun."

"ni linda. jun buat macaroni goreng. ambil lah. makan ramai-ramai"

"apa tu? macaroni? makkk!! ooo mak!" jiran tu buat muka berkerut sambil panggil maknya, saya panggil makcik misah (atau tok misah.. dah tak berapa ingat).

makcik misah tu pun terjengul kepala dari pintu.

"awat linda? apa dia tu, jun?"

"macaroni goreng. ambil lah. jun buat", jawab mama saya. senyum.

tanpa menyambut pinggan macaroni goreng tu daripada mama saya, makcik misah dan linda membalas,

"laa apa dia tu. susah-susah ja. kami takmau lah. kami tak makan benda-benda macam tu. jun bawak balik aja lah"

mama senyum. kemudian ajak saya balik.

sejak-sejak hari tu, boleh kata setiap kali mama masak macaroni, mesti mama akan mengungkit kisah ini. mungkin mama tersinggung agaknya. kata mama,

"tak patut sangat aih orang bagi makanan tapi takmau amik. kalau tak makan pun, buang pun takpa, asalkan orang yang bagi tu tak nampak. kecik hati, tau"

masa tu saya tak berapa faham. saya beranggapan, mama beremosi lebih. haha. alah, makanan saja pun kan. dah orang takmau, dah la. lagi bagus, kita boleh makan lebih.

sehinggalah seminggu lepas, barulah saya berpeluang rasa apa yang mama pernah rasa. haha.

saya dengan bersemangat cuba buat carbonara. alang-alang nak masak, agak tak berbaloi untuk masak seorang makan. maka saya lebihkan bahan. 

siap masak, saya masukkan dalam mangkuk besar, bawa ke rumah asilah. untuk makan dengan farah erma, fiza dan miza. juga saya masukkan dalam tupperware kecil, untuk hantar pada seorang rakan.

ringkasnya, cerita lama mama berulang pada saya. kecik hati la jugak. semangat woo masak nak bagi kawan-kawan rasa, tiba-tiba bila insan terpilih yang saya nak beri makanan tu menolak, memang rasa tersinggung.

"apa ni ain? ala takmau la. saya tak makan la benda macam tu"

serta merta saya teringat cerita mama. dan ketawa sendirian.

Tuesday, December 27, 2011

chaah dan bas

hari sabtu baru ni, pagi-pagi lagi saya dah berkemas-kemas dan mengangkut diri sendiri balik ke rumah terchenta. ada urusan seri paduka baginda. harum betul bau air laut penang. hajatnya nak balik semula ke tanjung malim pada ahad malam, tapi entah macam mana terlajak-lajak pula sampai selasa. hehe.

tengah hari ini, lepas siapkan makan tengah hari untuk Baba & adik-adik, saya minta Baba hantar ke jeti. saya naik feri, kemudian cari bas ke ipoh.

terus saja saya dapat bas, dan naik. bila naik saja bas, alamak. semua kerusi penuh. dah la semua muka-muka warga asing dalam bas tu. isk, rasa macam kena tipu pula. dah bayar tiket, tapi tak ada tempat duduk. masa saya sedang tercangak-cangak dalam bas, dan dalam hati cuak sebab rasa banyak mata memandang, tiba-tiba saya dengar ada suara perempuan memanggil,


"Ain!"

saya terkalih-kalih mencari punca suara.

"Ain!!"

saya memandang.

"eh, chaah! pasaipa hang ada dalam bas ni? hang nak pi mana?" soal saya serupa bas itu bapak ku yang punya. hehe.

"nak balik tanjung malim la"

"hang kan duk jitra? pasaipa naik bas kat penang? patut la bas penuh. hang la ni, bagi semak bas"

"ceh. jahat. aku naik bas dari aloq staq la. mai butterworth nak cari bas pi tanjung malim"

masa saya menyambung mencangak-cangak dalam bas, tiba-tiba pakcik yang duduk di sebelah chaah bangun dan menyuruh saya duduk.

"haa kalau macam tu tak apa la. pakcik turun dulu. anak ni balik tanjung malim dengan sarah ja"

"eh awat ni? takpa, takpa. pakcik duduk la." saya terpinga-pinga tak tahu.

"wei ain. ni abah aku. dia nak teman aku naik bas pi ipoh sebab aku tak penah naik bas"

"hahaha. laa ya ka. apa la hang, chaah. dah sem lapan dah weh. hahaha", gelak saya sambil mencubit bahu chaah.

serentak itu, pakcik tadi merangkap ayahnya kepada chaah pun bangun dari kerusi dan bergerak turun dari bas.

saya melaung,

"tak apa pakcik. jangan risau. saya jaga chaah ni. insyaAllah selamat sampai tanjung malim"

dah selamat sampai pun. alhamdulillah.

masa atas bas tadi, chaah sempat berpesan,

"wei ain! hang jangan cerita pasai aku dalam blog eh!"

err, okay. tak cerita pun. tulis ja. hehe.

Tuesday, December 20, 2011

adam adli dan yuyu luna

Tiba-tiba satu Malaya kecoh pasal Adam Adli UPSI. macam-macam cerita. macam-macam versi. cerita sejengkal jadi sedepa. cerita sedepa jadi berjela-jela. entah benar atau tidak, cerita disampai dari blog ke blog, kemudian ke akhbar perdana. yang jeliknya, makin lama makin banyak perisa.

Adam Adli, bagi saya, dia satu dalam seribu. ya, dia saja yang buat begini. dia ada sebab tersendiri. sebab yang logik dan betul di kepala dia. apa yang betul di kepala dia, tak perlu pun betul di kepala saya, kamu dan kalian. 999 anak muda lain sebaya dia, paling havoc pun buat blog, kritik-kritik kerajaan dan edit gambar rosmah mansor menari tiang kemudian upload di blog.

kata mereka, ini kuasa mahasiswa. err, adam adli, tidak kenal pun saya.

Ini yuyu luna. dia memilih jalannya begitu. biarkan dia. apapun, saya masih kagum. di saat gadis-gadis lain sebaya dia memilih untuk makan mamee monster sambil layan k-pop dan drama air mata korea, yuyu luna bertindak lain dari orang lain. dia juga ada sebab dia sendiri.
Bagi saya, biarlah apa jua alasan mereka, saya tetap kagum. sebab saya tidak mampu begitu.


kemaskini :



ayaq air

semester ini, saya sebilik dengan orang pahang. saya pula, berlidah utara. selama ini, dengan siapa saja akan cakap loghat utara. saya rasa loghat saya tak pekat mana, malah bagi saya, tidak la sepekat pertuturan orang kelantan. saya agak sukar nak faham dialek kelantan.

tapi bersama roommate baru ini, terasa loghat utara saya dipermainkan. kecik hati pulak ada orang tak faham loghat saya. aishh, kata satu malaysia. hehe.


"akak, ain tumpang letak bantai sat noo"

saya cakap begini bila saya nak letakkan bantal saya (termasuk bantal peluk, selimut, anak patung, dan bantal busuk) atas katil dia.

muka roommate saya terpinga-pinga.

"hah, apa dia?" penuh blur.

saya ulang lagi. mungkin dia kurang dengar atau tak dapat tangkap apa yang saya cakap.

"err, ain tumpang letak bantal sekejab atas katil akak"

"oh. haa. letak la. tak kisah pun"

di masa lain pula,

"lapaq ayaq. akak, mau ayaq sikit. malas nak turun amik ayaq"

"hah, apa dia?"

"mintak sikit ayaq"

"apa?"

dalam hati saya, aishhh takkan tak faham kot. maka saya ulang lagi,

"nak air sikit. dahage"

"oh. haa, ambil lah."

saye rase agak geli nak bercakap ada e sebagai ganti a. kurang baku. haha.

Thursday, December 15, 2011

iman mutiara

zaman sekolah menengah, saya bukanlah seorang pelajar contoh. pelajar kesayangan cikgu, jauh sekali. ketua pelajar pun bukan.

saya cuma pelajar biasa, yang nakalnya ada. sesekali bila kena denda berdiri di depan ataupun belakang kelas, ataupun bila dihambat keluar kelas sebab tak siapkan kerja sekolah, saya sengih-sengih aja. rasa bangga pulak kena denda sebab sekolah menengah saya dulu, jarang la nak nampak pelajar-pelajar kena denda ni. lagipun sekolah perempuan, nak malu apa kena denda. haha.

seorang teman sekelas, kerapkali juga memerli saya begini,

"apa la hang ni ain. nama ja anak ustaz, tapi perangai macam hapa ja"

saya cuma sengih-sengih. lalu dengan gaya paling jelik dan suara diteran-teran, sambil tutup mata dan buat tangan gaya rock, saya selamba menyanyi di depan rakan, penuh perasan

"iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang tertakwaaa! ia tak dapat di ju..."
(sila bayangkan saya menyanyi gaya rock dengan tudung labuh, kan sekolah agama. hihi)

lalu dengan cepat rakan lain menyampuk,

"okay okay. sudah sudah. bingit tau dak sora (suara) hang. dah la tak sedap"

saya cuma ketawa. itulah. setiap kali dipersoalkan perangai saya yang buat rakan-rakan pening kepala, saya akan menjawab begitu. ataupun,

"weii hang ni pasaipa. yang ustaz bapak aku. ustaz tu bukan jawatan pun nak passing-passing"

hari ini, tiba-tiba saya baru terfikir.

ya, seorang ayah ataupun sesiapa saja boleh mewariskan ilmu, tapi hidayah tetap milik Allah.

Wednesday, December 14, 2011

Afnan Fathurrahman

selepas saya menulis entri ini, baru saya teringat yang saya lupa nak ucap selamat sempena ulangtahun kelahiran adik lelaki merangkap wali kuat saya. bagi orang lain mungkin ini hal enteng, tapi saya sebagai satu-satunya kakak kepada Mohd Afnan Fathurrahman (panjang betul nama kamu, angah. tata bersimpati dengan anak-anak kamu nanti. lenguh nak menulis nama kamu), saya rasa bersalah sebab lupa nak ucap. tapi saya ingat tarikh hari lahir angah, 12 Disember. cuma lupa nak ucap ja (sedang membela diri)

boleh dikatakan angah adalah teman sepermainan dan teman segusti saya. kami hampir sebaya. saya lahir 1990, dia lahir 1991. kalau saya dikatakan anak baba, angah adalah anak mama. ya, anak mama. antara perkara yang saya pernah cemburu mengenai angah, dia anak mama.

saya, anak perempuan pertama, lebih kamcing dengan baba.
angah, anak lelaki pertama, lebih kamcing dengan mama.

dulu, saya cemburu. tapi bila dah masuk UPSI, saya baru tahu sesuatu. mengikut teori Sigmund Freud, secara semulajadi anak lelaki lebih cenderung rapat dengan ibu, manakala anak perempuan pula cenderung kepada bapa.

bukan sekali dua Baba pernah merungut pada saya,

"angah ni, apa-apa hal bukan nak habaq kat baba"

saya cuma membalas ringkas,

"takpa la Baba. kan angah dah bagitau mama"

baba melawan membalas kembali,

"yala, tau la. tapi bagitau la jugak kat baba. angah ni buat baba macam tak wujud pulak"

"ala baba ni. takpayah la terasa. biaq la. angah dah bagitau mama dah. lagipun tak aci la kalau semua anak rapat dengan baba. nanti mama takdak sapa pulak. dah la tata tak rapat dengan mama. biaq la angah dengan mama. angah jaga mama"

"yala cikgu. pandai cakap. ni padil bila nak mai hantaq dulang?"

"choiii. apa baba ni. tiba-tiba ubah topik. baba mau dulang tembaga ka dulang plastik? haha"


ya, untuk satu perkara yang saya tak dapat lakukan, iaitu menunaikan hak ibu untuk didengari, saya berterima kasih kepada angah.

saya sebagai anak perempuan sulung, untuk duduk berbual hati ke hati dengan mama, adalah satu perkara yang agak payah saya lakukan. sungguh saya tak mampu. atau mungkin saya yang mengelakkan diri. rasa kekok. haha. cis punya anak. dengan mama sendiri pun kekok.


adik-adik saya yang lain, semuanya rapat dengan angah. sebagai abang, angah adalah seorang abang yang baik. walaupun saya adalah anak sulung, seringkali juga saya merasakan angah lebih bertindak sebagai anak sulung berbanding saya. mungkin sebab dia lelaki. anak lelaki kena jaga keluarga. angah juga lebih dekat dengan adik-adik yang lain berbanding saya.

sampai sekarang, walaupun kami semua dah besar-besar, setiap kali baru berjumpa atau berpisah untuk jangka masa lama, kami adik beradik tak kekok untuk salam cium tangan, dan cium pipi. alhamdulillah. moga kemesraan adik-beradik begini berpanjangan.


teringat dulu angah pernah merungut depan mama dan baba soal namanya yang panjang,


"iskk. angah nak pi JPN tukaq nama la"

"laa awatnya. angah nak bubuh nama apa?"

"angah nak tukaq pi jadi nama Ahmad Fathurrahman ja la. panjang sangat nama angah"

"habis tu, afnan tu nak tauk (buang) pi mana?"

"afnan tu takpala. dah memang orang duk panggil afnan dah. kekalkan fathurrahman dah la"

"merapu. ingat senang ka nak tukar nama"

"......."

nota tumit : motif saya letak gambar masa kecik-kecik adalah sebab saya malas nak letak gambar sekarang. nanti nampak sangat saya yang paling kemetot. letak gambar kecik-kecik, baru la boleh perasan besar. haha.

selamat ulangtahun kelahiran ke 20,
mohd afnan fathurrahman.
i love u!

gigi dan bedak

masa sekolah rendah, saya duduk di telok bahang, rumah kampung. saya dan angah, pergi ke sekolah dengan basikal, walaupun Baba mengajar di sekolah yang sama dengan kami.

seingat saya, sejak kecil baba suka tekankan pasal gosok gigi. lepas mandi nak pergi sekolah, baba akan check mulut anak-anak,

"ni dah gosok gigi ka belum ni?"

"dah..." (kadang-kadang menipu)

"bagusnya anak baba. bukak mulut, baba nak tengok gigi"

kerapkali juga baba akan hidu bau mulut. haha. sah-sah la kantoi kalau tak gosok gigi kan. banyak kali juga saya pernah dicubit sebab tak gosok gigi masa mandi pagi.

"pi masuk balik! pi gosok gigi sekarang!", marah baba. walaupun pada masa tu saya dah di atas basikal, siap siaga nak mengayuh basikal ke sekolah. erk, terpaksa la tongkat balik basikal, dan masuk rumah pergi bilik air dan gosok gigi.

mama pula, masa saya kecil, suka ingatkan pasal bedak. maksud bedak di sini adalah bedak talkum baby tu. bukan bedak compact tau.

masa saya sekolah rendah, selepas mandi pagi dan pakai baju sekolah, mama akan tanya,

"tata, dah pakai bedak ka?"

"belum. nak pakai la ni"

kemudian saya dan adik-adik dan baba bersarapan. masa sarapan, mama akan tanya lagi,

"tata, dah pakai bedak ka?"

"belum ma. ha satgi nak pakai la"

kemudian saya sarung tudung dan ambil beg sekolah. sambil pakai stokin, mama akan tanya lagi,

"tata, dah pakai bedak ka?"

"haa, ya. belum pakai. nak pakai la ni"

akhirnya sampai saya dah duduk atas basikal, mama akan tanya lagi,

"tata, bedak?"

"ala, lupa nak pakai. takpa lah, tak payah pakai bedak"

serta merta mama akan masuk rumah, ambil bedak dan mai kat basikal saya. mama akan sapu bedak kat muka saya dan angah. untuk angah, mama akan sikatkan rambut dia juga, mesti la rambut belah tepi kan. stail skema tu.

walaupun angah dah sikat rambut, mesti mama atau baba akan bising-bising cakap dia tak sikat rambut.

kami berdua, kayuh basikal asing-asing. sampai simpang depan masjid, angah akan hentikan basikal, sikat semula rambut dia sebab dia tak suka agaknya dengan stail yang mama sikatkan, dan angah akan lap-lap balik bedak yang mama dah letakkan kat muka dia. haha. biasalah, lelaki kan. mana mau bedak-bedak ni.

sekarang ni, kadang-kadang saya rasa kesian kat adik kecil saya, si kakak dan si adnin. mungkin bukan rezeki depa berdua nak rasa apa yang saya rasa masa saya kecik-kecik dulu. tiap-tiap orang, rezeki lain-lain kan.

moga setiap ahli keluarga saya dilindungi Allah. kalian, tolong doakan kami juga.

Saturday, December 10, 2011

manakan sama si ketam bunting

selesai perjumpaan dengan rakan sekelas, saya mengangkut rubi, ain nabilah dan amirah ke bandar metropolitan tanjung malim pekan. empat-empat orang buat muka manis minta syahiran hantarkan ke pekan.

kami mengenyangkan perut di KFC. sila maklum, KFC adalah tempat paling havoc sekali yang ada di tanjung malim, selain karaoke jamban. lepas makan, pergi menipiskan beg duit dengan pergi watson, dan pasaraya grand union.

kebetulan, hari sabtu adalah hari pasar malam. saya yang dah sebulan berhajat nak makan ketam, menggigihkan diri pergi cari ketam.

ain fath : weh rubi, aku nak makan ketam la.

rubi : tuuuu (sambil muncung mulut), sana ada.

ain fath : macam mana nak beli ketam weh?

rubi : ni haa, masa nak bersihkan, hang buang bahagian ni. (sambil tangannya membalikkan seekor ketam, dan menunjukkan pada saya cara nak siang ketam. dah la tanya lain, jawab lain)

ain fath : kena amik ketam jantan ka ketam betina? aku mau yang puas makan.

ain nab : ketam jantan. orang cakap, ketam jantan banyak isi.

ain fath : isk hang ni. ya ka? bukan ka perempuan mengandung yang gemok banyak isi? so mesti la ketam betina yang bunting yang banyak isi.

ain nab : eh tak la. yang saya tahu, ketam jantan yang banyak isi.

ain fath : weh hang ni. perempuan mengandung la yang gemok (masih berkeras dengan teori manusia yang nak disamakan dengan ketam)

mungkin sebab dah tak tahan geli tali perut mendengar perbualan kami bertiga, pakcik peniaga menyampuk,

pakcik : macam ni dik. nak beli ketam, beli yang ada telur macam ni. isi banyak. kalau yang macam ni, ni ketam jantan. isi tak banyak sangat macam ketam betina yang ada telur.

ain fath : err... (sambil tersengih-sengih) saya nak yang ni, pakcik. satu ni saja. pakcik tolong belah dua sekali ya. dan buang hujung2 kaki ketam tu, saya tak dak pisau besaq (padahal tak reti bersihkan ketam)


dipendekkan cerita, akhirnya ketam buntingku dah bertukar menjadi ini

nota tumit : tolong laa jangan komen awat gambar ketam masak lemak cili padi ni nampak pelik. saya masak main hantam saja. lima belas kali buat masak lemak, lima belas rasa yang berlainan yang saya dapat.

acap oh acap

perkara : perjumpaan mini pelajar semester akhir biologi (saya katakan mini sebab tak ramai pun yang hadir)

masa : 2.30petang - 4.00petang

Acap membuat kesimpulan akhir dengan muka merah geram,

"macam ni la kawan-kawan. sekarang ni aku lantik diri aku sendiri sebagai ketua, dan aku akan jadi detector. malaih (malas) aku nak guna demokrasi dah dengan hangpa ni. dah lama dah aku serabut kepala dengan hangpa semua. oleh sebab banyak sangat kangkangan-kangkangan yang ada, aku akan jadi detector untuk pastikan program kita berjalan. okay, sekarang slot selitan. semua orang aku bagi peluang nak bersuara, mula dari shakir"


detector = diktator
kangkangan-kangkangan = kekangan-kekangan
selitan = selingan

nota tumit : muahaha, tiba-tiba saya rasa acap comel

Tuesday, December 06, 2011

muka mintak penampaq

semester ini, di suatu petang yang saya dah lupa bila, saya berselisih dengan seorang teman yang jarang saya mesrai. kadang-kadang saja jumpa dan terjumpa.

"weiii! awat makin lawa?" salam tiada, apa kabar pun tiada, saya menegur dengan cara beli jiwa. sambil jari saya mencubit-cubit lengannya.

"haha. mana ada. hati sakit hari-hari, nak buat apa. lawa pun tak guna", teman itu membalas.

Saya cuma membalas dengan angguk dan senyum. jari saya masih lagi mencubit-cubit lengan dia. teman itu menambah,

"wei ain. hang ni takdak masalah ka? aku tengok hang selalu happy ja. syok la life hang, bahagia memanjang. aku tengok cara hang senyum pun aku tau, hang duk bahagia la ni"

seraya saya tersengih lebar. sambil ketawa.

"haha, yaka? baguslah. alhamdulillah la. maksudnya muka aku ni, belum lagi muka mintak penampaq"

kami berpisah. meneruskan langkah kaki masing-masing. kata-kata dia buat saya berfikir panjang. bahagiakah saya? kurang bahagiakah dia berbanding saya? kenapa dia berasa saya bahagia dan kenapa dia berasa dia kurang bahagia?

bahagia itu relatif, sayang. cubalah gembirakan hati dengan apa yang ada seadanya. juga, usah sempitkan definisi bahagia kamu.

nota tumit : belajarlah menghiburkan orang walaupun hati kalian sedang resah.

Sunday, December 04, 2011

hadiah untuk diri sendiri

gembira rasa hati saya. hari ini dapat menjarakkan diri dari pekan metropolitan tanjung malim. pergi klcc yang jauhnya sekentot saja dari rumah. release tension kononnya. entah idea siapa ini, asal mahu release tension, perlu pergi mall. perlu pergi tengok wayang. perlu pergi karaoke. padahal sebetul-betul release tension adalah kamu beli tiket balik kampung, salam dan peluk cium mak ayah. *dush, kena batang hidung sendiri.

untuk lebih menggembirakan hati, saya beri reward pada diri sendiri. semester ini semester lelah. banyak perkara yang buat hati saya walang dan jiwa saya resah.

reward no 1.
tengok wayang bersama cik miza dan cik zety. ombak rindu. saya bagi 3/5. saya teruja mau pergi tengok sebab ramai yang bantah-bantah katanya movie ombak rindu ni ada adegan panas. masuk panggung, saya dah celik mata besar-besar. mau tunggu apa adegan panasnya. kemudian, cis! kecewa sendiri. tu ja ka? hahaha.


reward no.2

oh yeah. saya hadiahkan diri sendiri buku yang saya dah lama nak miliki tapi belum dapat. mungkin sebab belum serius mencari. ini bukunya, Memoir Shamsiah Fakeh, RM30. (muka gembira).
ini buku kedua. RM40.
cukup dua. inipun sudah tahan hati dari ambil judul-judul lain yang saya berminat. rasa nak sangat-sangat beli A Doctor In The House tapi teragak-agak sebab kurang bajet. huu. cepat la, siapa nak hadiahkan saya memoir che det tu.

zety beli Malay Dilemma. hehe. weh nanti bagi aku baca gak. orang lain dah lama khatam buku tu, kita baru nak sedar dunia.

Saturday, December 03, 2011

kenapa talak tidak di tangan isteri?

semester ini adalah semester maha perit bagi saya dan kawan-kawan dan semua pelajar U tahun akhir. perit di luar. perit di dalam. dan juga perit di perut, sebab kerapkali saya terlupa nak makan seharian. ala biasa la. semua pun rasa begini.

saya adalah jenis gadis yang berhangin juga. normal. seperti gadis-gadis lain. masa stress, masa sibuk, masa pra-haid, masa tertekan, masa mengantuk, jangan main-main. gadis manis boleh jadi naga yang menyembur api. muahahaha.

baru-baru ini, saya ada masalah dengan tesis. dalam serabut kepala dan serabut hati tu, pakcik padil bertanya khabar dan bertanya perkembangan tesis saya.

ringkas saya khabarkan pada dia,

"taktau la macam mana. penyelia ain marah pulak. dia cakap takmau nilai tesis ain. maybe kena extend sem la macam ni. ain sambung semester sembilan"

si pakcik padil ini, seperti biasa, menenangkan saya dan memberi cadangan.

"isk takkan macam tu kot? ain dah cuba slow talk? pi la bincang elok-elok. kalau perlu merayu la. ain kena usaha bagi dia mau nilai gak tesis ain. ataupun ain pi la jumpa ketua jabatan"

hati sedang rusuh, saya belum fikir apa yang patut dibuat. dalam hati ketakutan amat. namun selamba saya membalas,


"abang jangan menyibuk boleh tak? ada ke ain minta cadangan abang? hidup ain, ain tau la uruskan sendiri."

dia membalas,

"oh. maaf sebab menyibuk"

perbualan terhenti. terus saya pergi mandi. kejam agaknya saya bercakap macam tu. mesti hati pakcik tu, sentap. ataupun mungkin dia dah biasa, dia dah tak sentap. haha.

kepada gadis-gadis lain yang mendamba kekasih hati yang caring tapi dapat pakwe hati kering, boleh la mai sini saya nak passing pakcik padil pada kamu tampar pipi roommate saya laju-laju sebab saya ni tak reti berterima kasih pulak dapat pakcik padil yang caring begitu. (apa kaitan roommate aku?)

begitulah dia, sabar dengan kata-kata pedas saya. ada kenalan pernah cakap 'isk ain. aku pelik la macam mana padil boleh tahan dengan hang. hang kasaq kot. dia tu nampak islamik. status fb pun sopan-sopan ja. hang ni ain, buat kerja pun serabut-serabut'

spontan saya menjawab, 'hah memang la. kalau dua-dua rajin kemas dan pengemas, nanti sapa nak sepah-sepahkan rumah'.

banyak kali juga si pakcik padil pernah menegur,

"ain ni ramai kawan lelaki. jangan la rajin sangat keluar dengan kawan laki macam tu. jangan berdua"

laju saya menjawab,

"ala abang ni. Baba bagi (tipu ja ni, habisla kantoi), abang nak bising-bising pulak. lagipun abang bukannya suami ain pun. tu la, ain ajak kawen, abang takmau"

"yela, apapun jaga diri"

ini bukan la entri memuji buah hati sendiri. bukan juga entri yang mau cerita hal jelek diri saya begini. cuma saya nak katakan, perempuan adalah makhluk kaya emosi. mudah lepas cakap. juga kurang sabar.

berbalik kepada tajuk entri, kenapa talak tidak di tangan isteri, kerana perkara-perkara beginilah. perempuan adalah makhluk tuhan yang kaya emosi. cepat sangat meletak keputusan di hati.

lelaki = 9 rasional dan 1 emosi
perempuan = 9 emosi dan 1 rasional

eh gadis-gadis yang membaca, tak perlu la nak marah dengan kata-kata saya, memang sungguh pun.

bayangkan kalau talak di tangan isteri, serasa saya yang masih pendek akal ini, had 33kali talak pun tidak cukup gamaknya.

"kenapa kanda biaq anak tersadung tangga? kanda ni tak sayang anak la! dinda ceraikan kanda talak tujuh!"

"laa kenapa abang lambat ambil ayang? lama tau ayang tunggu kat tempat parking! kita cerai je lah. ayang ceraikan abang talak tiga!"

"hubby bagi duit belanja bulan ni tak cukup! susu anak la, pampers anak la, SKII saya lagi! abang memang tak mampu nak jaga saya kan? kita cerai talak sebelas! saya nak pi kawen tan sri"


saya tak kata semua lelaki penyabar, dan saya tak kata semua perempuan banyak angin dan kurang sabar.

perempuan, jangan lupa. kerana kita makhluk yang kaya emosi, allah berikan kita satu organ yang allah namakan sebagai rahim, bersempena sifat allah itu sendiri, penyayang. rahim, ruang janin lepak-lepak secara kuang balik selama 280 hari. selain umbilical cord yang salur zat untuk keperluan bayi, si ibu dan janin juga ada pertalian emosi tersendiri.

indah kan.

kerja tuhan siapa yang tahu.

Min

pagi, sekitar jam 10. saya sedang pilih-pilih bawang untuk masak. tiba-tiba rakan serumah yang juga rakan seBio bertanya saya dari dalam bilik,

"Ain! aku boring la. ape blog yang best ek? aku nak baca"

selamba saya menjawab sambil mengupas bawang,

"srikandiputri dot blogspot dot com"

muahaha. masalah terlebih yakin.