Wednesday, July 28, 2010

Pelajar IPT adalah monyet-monyet yang hebat memanjat.

Sejak tahun bertahun, satu Lembaga yang tinggi dan besar, sebagai pentadbir Hutan Tanjung Malim dengan gah dan jayanya mengumpulkan semua mergastua di Hutan Tanjung Malim untuk diadakan suatu pertandingan.

Maka berkumpullah sekalian kura-kura, gajah, harimau bintang, badak sumatera, siput babi, burung unta, ikan kelah, cengkerik dan pelbagai lagi haiwan lain untuk diuji oleh Sang Lembaga (untuk memudahkan pembacaan, Sang Lembaga boleh dibayangkan saja seperti Sang Kelembai. Tak kenal? okay lah, bayangkan Shrek.)

Pada masa yang ditetapkan, Sang Lembaga bertitah,

“wahai sekalian haiwan yang dibawah kekuasaanku! Aku memerintahkan semua kamu bertanding dalam upacara ini. Ganjaran menarik akan menanti pemenangnya”

Bila saja disebut ganjaran, bergegak gempitalah Hutan Tanjung Malim dengan suara mergastua, meriah hingga kedengaran ke KUO, mengganggu pelajar-pelajar UPSI, terutamanya siswi Biologi semester 5 yang sedang memerah idea untuk menjalankan projek mini Biotechnology di bawah seliaan Dr.Haniza, juga Siswi Fizik yang sibuk dengan model projek Fizik Nuklear mereka.

Siswi Marena dan rakan serumah tercengang hairan, Siswi Sayidah dan batolion Suksisnya bersiap siaga dengan M16, Siswi Afieda terketar takut sambil ditenangkan oleh rakan seusrah, Siswi Chaah bersama Fizi, Hasmalina dan Jasmawani saling bermesej bertanyakan apa yang berlaku.

Semua hairan! Ada apa di Hutan Tanjung Malim hingga semua haiwan bersorak sedemikian rupa?

Sang Lembaga menyambung seru,

“Aku mahu semua binatang yang ada di depan ku pada hari ini, bertanding memanjat pokok besar di hadapan kita. Mahu tak mahu, nak tak nak, hidup atau mati, kalian mesti panjat! Siapa yang dapat sampai ke pucuk pokok dalam masa paling cepat dan bergaya, dikira pemenang!”

Sang Kancil menggelengkan kepala. Akan diapakan dengan keputusan pertandingan seperti ini? Tidakkah Sang Lembaga tahu, semua binatang yang ada di depannya pada hari itu, punya bakat dan keupayaan yang berbeza? Masakan siput babi setara dengan kelah raja sungai? Masakan sekumpulan monyet layak bertanding dengan badak Sumatera yang sesat ke Hutan Tanjung Malim ini?

Adapun, gelengan Sang Kancil cuma tinggal gelengan. Dia teringat borang SAYAJANJI yang telah ditanda-tapak-kakinya dulu, masa pengesahan jawatannya sebagai haiwan cerdik pandai Hutan Tanjung Malim. Periuk nasi harus dijaga! Fikir kancil.

Maka, dengan arahan ‘tidak boleh tidak’ daripada Sang Lembaga, berduyun-duyunlah sekalian haiwan dalam cubaan memanjat pokok besar dan tinggi itu.

Siput babi mula merayap dari banir pokok, dan....kedepekkk! Terus penyek hancur dipijak Gajah tanpa sengaja.

Kelah raja sungai masih cuba melompat-lompat dari Sungai Bernam, juga mahu cuba memanjat pokok besar itu. Kelah tak sedar, tanpa air, siapalah Kelah!

Badak Sumatera masih terpinga-pinga di perdu pokok besar, menyondol-nyondol batang pokok besar itu dengan sumbunya. Dengan hentakkan kuat, pokok besar itu bergoyang. Bersoraklah segala haiwan melihat pokok itu seakan mau tumpang.

Namun, syarat Sang Lembaga, pemenangnya dikira pada siapa yang dapat memanjat pokok besar itu! Maka usaha Badak sia-sia. Masakan mampu diampu bontotnya yang besar itu naik ke atas pokok. Bergayut pun Badak tak mampu.

Sekumpulan monyet, dari tadi cuma memerhati gelagat haiwan lain yang dikira lucu di mata mereka. Berdekah ketawa sekalian monyet melihat harimau tercium bontot gajah, siput babi penyek tak nampak rupa siput, dan kelah tercungap-cungap di tebing sungai.

Dengan bersahaja, sekumpulan monyet itu mula memanjat pokok besar itu. Sedetik cuma, mereka sudah di bahagian atas pokok! Tentulah, memanjat memang sifat tabii monyet, dan kebetulan kena pula dengan cara pertandingan yang dipinta oleh Sang Lembaga.

Monyet-monyet menang! Menang bergaya. Mungkin!

Haiwan lain berkeluh kesah melihat keupayaan monyet memanjat. Dalam keluh, mereka menidakkan keupayaan istimewa mereka untuk berenang, terbang tinggi, fizikal besar yang digeruni, kebolehan berlari laju, demi melihat monyet menang dalam pertandingan memanjat pokok! Semudah kentut. Eh tak sopan. Semudah memetik jari, monyet-monyet memanjat dan menang pertandingan.

Hadiah yang dijanjikan Sang Lembaga, monyet-monyet dihantar ke IPT seluruh Malaysia, dengan riak dan bongkak di hati monyet. Aku lah maha pandai! Aku lah maha cerdik! Kalian yang lain cuma hampas dan sampah masyarakat. Fikir monyet, Sang Lembaga telah mengadakan suatu pertandingan yang sangat bagus.

Maka, monyet-monyet dengan senang hati berhempas pulas pula di IPT, dengan rasa bangga di hatinya. Akulah yang paling bagus!

ada juga yang sedang membaca entri ini........

Sang Lembaga = LEMBAGA PEPERIKSAAN MALAYSIA
Pokok Besar = sistem peperiksaan dan penilaian
Haiwan-haiwan = Pelajar-pelajar yang mempunyai kecerdasan yang pelbagai.


Jangan marah dulu. Nanti rambut cepat gugur kalau melenting tak tentu pasal. Saya bukan kutuk pelajar IPT (saya pun termasuk), monyet itu cuma analogi saja.

Menurut Teori Kecerdasan Pelbagai (multiple intelligences theory) yang diperkenalkan oleh Dr.Howard Gardner (1983), kaedah lama untuk mengukur tahap kecerdasan manusia, iaitu berdasarkan ujian IQ adalah terlalu terhad. Justeru, Dr. Gardner telah mengemukakan 8 jenis kecerdasan yang berbeza sebagai satu cara untuk mengukur potensi kecerdasan manusia, kanak-kanak dan dewasa (saya, kamu dan termasuk juga blogger sekalian).

Kecerdasan-kecerdasan yang telah dikenal pasti (melalui kajian selama berpuluh tahun ya, bukan semborono saja seperti penulisan saya, kamu dan blogger lain. Ops, terasa!) adalah seperti berikut:

  1. Linguistic intelligence ("word smart")

PERKATAAN

  1. Logical-mathematical intelligence ("number/reasoning smart")

NOMBOR ATAU LOGIK

  1. Spatial intelligence ("picture smart")

GAMBAR

  1. Bodily-Kinesthetic intelligence ("body smart")

PENGALAMAN FIZIKAL

  1. Musical intelligence ("music smart")

MUZIK

  1. Interpersonal intelligence ("people smart")

PENGALAMAN SOSIAL

  1. Intrapersonal intelligence ("self smart")

REFLEKSI KENDIRI

  1. Naturalist intelligence ("nature smart")

PENGALAMAN DENGAN ALAM SEMULAJADI

Andaikata pertandingan yang dianjurkan oleh Sang Lembaga merupakan pertandingan menumbangkan pokok, mampukah kita?

Mendongak langit, jangan lupa rumput dipijak ya! Kita cuma bernasib baik dengan gelanggang yang menyebelahi kita!


nota tumit : Idea ini adalah isi kuliah Dr.Ong, yang diceritakan semula dengan gaya bebas oleh Ain Fathihah. sebarang ketidakfaham saya terhadap sistem pendidikan di malaysia adalahlah merupakan salah pemahaman saya sendiri, bukan kesilapan Dr. Ong menyampaikan isi pembelajaran Isnin lepas.

Monday, July 26, 2010

kekasih hati buat perangai

Salam'alaik. dunia terasa gelap. senyuman saya tak lagi semanis mempelam madu. telan nasi terasa pasir. Tilam tak lagi empuk, bantal dah tak sedap dipeluk. Ain Fathihah sedang jiwa kacau. Tak sangka si dia buat hal di waktu-waktu begini! kalaupun sungguh sudah bosan dengan saya, susah sangat kah nak tunggu sehingga saya tamat pengajian?

Arghhh, kekasih! tega kau. kenapa tak sanggup tunggu lagi dua tahun saja!

kenapa buat saya begini?

pakwe nombor wahid merangkap laptop kesayangan rosak. motherboard bermasalah. huhu. perit rasanya. semacam putus cinta. rasa patah kaki. uwaaa!

pilihan yang ada,

1. baiki di Kedai A, RM350. Kedai B, RM380. jaminan satu bulan sahaja. kebarangkalian tinggi untuk rosak lagi.

2. trade in laptop ni, RM250 sahaja! ceh saya beli laptop ni masa semester satu, RM1999 tau. tapi pasrah la, barang begini memang takda nilai pun untuk dijual semula.

3. beli laptop baru. wahhh, bunyi macam best! tapi mai la RM2000. meh, sapa nak bagi. kalau bulu kaki Baba saya tu, dijual ada harga, no hal bebeh! senang-senang boleh cekap laptop Apple. hehe.


Berita sadis, Blog Ain Fathihah mungkin dibekukan buat sementara waktu. Masa kembali aktif, akan diberitahu kemudian. sob sob sob.

Terima kasih Gadis M, sebab paksa rela pinjamkan laptop untuk saya update.

wassalam.

Wednesday, July 21, 2010

saya bukan Puteri, apatah lagi Permaisuri

Kalau sesiapa katakan saya anak manja, memang pun. Dengan bangganya (sambil hidung kembang kempis), SAYA ANAK MANJA. Manja pada keluarga, apa salahnya. Kadang-kadang terdetik juga pertanyaan di hati kenapa si polan ini bangga mengaku dia manja pada pakwe/makwe, tapi melenting pula bila diusik sakat yang dia manja dengan keluarga.

 

Orang-orang manja seperti saya memang terbiasa dengan layanan baik daripada orang sekeliling. Mak layan macam puteri, ayah layan macam permaisuri. Tapi, itu di rumah. RUMAH sendiri. Bila kaki melangkah keluar dari rumah, maknanya saya bukan lagi puteri, apatah lagi permaisuri.

 

Selangkah kaki keluar dari rumah bak syurga, bermakna segunung ilmu & pengalaman baru akan dicapai.

 

Dan saya anak manja yang memilih untuk keluar dari rumah. Siapa mau selamanya di bawah ketiak mak ayah. Hehe. Ketiak yang menjadi rindu-rinduan.

 

Maka perlu kuatkan diri, tahankan hati. Di dunia sebenar, nak tak nak kena terima yang tak semua orang akan melayan kita dengan baik. Tak semua orang akan menuturkan kata-kata yang molek. Tak semua orang akan memandang kita dengan pandangan sopan.

 

Itu satu perkara yang saya belajar di Happy Mart.

 

“puki mak hang aih, hang bodoh ka? Tak reti kira ka?”

Marah customer bila saya salah scan barang.

 

“wei pompuan, top up HP ni RM5!”

Kata customer sambil melempar HP dan duit RM5 ke arah saya.

 

“you’re bastard Indonesian girl!”

Marah customer bila saya lambat mencari rokok yang diminta. Rasanya dia menyangka saya pekerja asing dari Indonesia.

 

Berhadapan dengan situasi-situasi yang tak menyenangkan ini, saya ada dua pilihan

 

1.ambil pengajaran, cepat-cepat lupakan apa yang tidak manis, dan jadi ceria seperti biasa.

 

2.tersentak, bersedih-sedih beberapa lama, memikir-mikir apa yang berlaku, dan kemudian update status baru di FB setiap 30minit, semuanya berkenaan yang sedih-sedih saja.

 

Saya memilih pilihan pertama. Buat apa mahu bersedih sebegitu lama, dan bangga pula menayang kesedihan pada kalian? Juga pada kenalan-kenalan di FB.

 

Meneliti kemaskini status kawan-kawan di FB, ada juga yang menarik perhatian. Terutamanya seorang kenalan yang status FBnya sedih-sedih belaka. Mulanya saya sangkanya, saya cuma perasankan status sedihnya saja, tapi tak endahkan status selain sedih.

 

Rupanya tidak, bila saya periksa di page FB dia, hampir semua statusnya bernada sedih. Duka lara hati ditinggal kekasih. Cerita luka kerinduannya pada sang lelaki yang tak berbalas. Periksa lagi, perhubungan tu dah putus hampir dua tahun!

 

Err, agak menjengkelkan. Usia baru 22, sudah bersedihan begitu kerana lelaki. Dua tahun masih belum cukup untuk kamu bangkit semula berdiri dari kekecewaan putus cinta? Tak penat merindu orang yang tak sudi? Ops, jangan marah. Kalian boleh katakan,

 

“eleh, budak kecik ni apa tau. Dia tak penah rasa putus cinta.”

Hehe.

 

Ingat-ingatkan selalu, Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal baik bagi kamu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal amat buruk bagi kamu dan DIA mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.

 

Kerja Tuhan, tak siapa tahu. DIA dah tetapkan saya bukan puteri, bukan juga permaisuri. Mungkinkah hati saya lebih bahagia dari Puteri-puteri dan Permaisuri-permaisuri yang ada?

 

Alhamdulillah. Bahagia itu di hati, bukan pada apa yang ada di sekeliling.

Monday, July 19, 2010

makan tanggung, berak cangkung

Salam’alaik. Hari isnin, permulaan minggu. Jom bersemangat! Tapi jujurnya, hari Isnin adalah hari paling malas mau bergerak meninggalkan sarang.

 

Heh, entah di mana azam saya semasa cuti. Mahu rajin!

 

Pengalaman dua bulan bekerja semasa cuti semester buat saya rasa sangat bertuah dengan apa yang saya ada sekarang. Saya berada di zon selesa, cuba-cuba memberanikan diri keluar selangkah dari zon selesa saya, dengan bekerja di Happy Mart.

 

Tapi, sesuatu yang tidak saya sangkakan, yang sangat berharga saya temukan di situ. Ilmu dan pengalaman yang tak mungkin saya dapat cedok dari buku-buku gemok kesayangan saya (saya gelarkan buku-buku Bio & Kimia tu buku gemok sebab mereka memang tebal dan berat. Hehe)

 

Jujur cakap, sebelum ini saya memandang remeh sebegitu (cashier, promoter, salesgirl etc). Yelah, kerja semacam itu. Hang lulus cemerlang SPM ke, hang cukup-cukup kredit 4 subjek ke, hang gagal semua matapelajaran dalam SPM ke, boleh je nak mohon kerja sebegitu. Gaji basic tetap RM750 (bukan warganegara gaji basic RM400).

 

Pernah juga saya merasakan, orang yang bekerja begini, adalah orang-orang malas yang tidak mahu memajukan diri. Kenapa masa sekolah tak belajar rajin-rajin? Kenapa ketika ada peluang tidak dimanfaatkan peluang yang ada? Kenapa mahu bekerja begitu lama-lama? Kenapa dulu malas, kan dah kena kerja teruk?

 

Huhu. Maafkan saya. Saya cuma gadis dalam zon selesa yang belum tahu perit jerih dunia sebenar. Selama ini (sekarang pun), masih ‘makan tanggung, berak cangkung’.

 

 Akal masih pendek, belum tau berfikir.

 

Rupanya,

 

Ada staf Happy Mart (saya kenal masa pergi temuduga) yang cemerlang pelajaran, tapi disebabkan dia kakak sulung dari keluarga miskin yang punya ramai adik, dia dengan rela hati saja mengenepikan tawaran melanjutkan pelajaran ke Universiti, untuk membantu keluarga menyuap makan ke mulut adik-adik. Gadis tu dari Baling, Kedah datang ke Penang untuk bekerja di Happy Mart cawangan Terengganu Road (belakang Penang Free School).

 

Terasa betapa kerdilnya diri saya. Masih tak reti hidup susah, masih merengek-rengek manja pada ibu bapa bila takda duit, masih menangis bila rasa letih menghadap tugasan seorang pelajar.

 

Sedangkan dia, umur sebaya saya sudah perlu fikir bagaimana caranya untuk bertahan hidup, perlu fikir bagaimana perlunya dia mengenyangkan perut adik-adik, perlu mencari jalan mencukupkan duit untuk duit belanja sekolah dan beli buku untuk adik-adik.

 

Tak perlu berfikir pun, saya mengaku dari segi ketabahan, sungguh, saya kalah pada gadis tu.

 

Dua orang staf dari Indonesia, datang Malaysia dengan semangat berkobar-kobar ingin melihat Negara orang, kemudian rasa menyesal pula datang sini. Mahu balik, kontrak sudah ditandatangani. Perlu bersabar dua tahun sebelum ‘bebas’.

 

Berbual dengan Rizal, saya merasakan betapa bersyukurnya saya lahir sebagai warganegara Malaysia. Rupanya, sistem pendidikan kita yang dilekeh-lekehkan sesetengah daripada kita, sangat dicemburui oleh Rizal. Katanya,

 

“kau sangat untung Ain. Mau belajar senang. Kemudahan ada. Kerajaan bantu semua. Di tempat aku, mau belajar susah. Mahal. Pilihan pun ngak banyak”.

 

Dari cara Rizal memberi pandangan, saya tahu, dia anak pintar. Dia bukan orang Indonesia yang tak tahu huruf & angka yang datang bertaruh nasib di Malaysia. Tapi, itu lah kan. Tak semua manusia ada peluang yang sama.

 

Saya doakan Rizal dapat menyambung pelajaran dalam bidang komputer yang diminatinya.

 

Jamir, lucu orangnya. Di Sekolah Menengah Tingginya, dia di aliran Teknik Gambar Bangunan. (cepat teka, Teknik Gambar Bangunan ni, namanya apa di sini)

 

Kau dari mana, Mir?

-Indonesia

Indonesianya mana?

-Jawa

Jawanya mana?

-Jawa Tengah

Jawa Tengahnya mana?

-Semarang

Semarangnya mana?

-Purbalingga

 

(ada banyak lagi, tapi saya sudah tak ingat perinciannya sehingga sampai ke kampung Jamir)

 

Jamir selalu menekankan pada saya, jadi gadis (wanita), harus pandai masak, harus pandai uruskan rumah tangga, harus boleh melayan anak-anak & suami, harus itu, harus ini.

 

Bila saya minum apa-apa (guna straw) dan berbunyi pula,

 

“Ain, minumnya jangan sampai bunyi ya. Ngak manis. Kamu itu perempuan”

 

Bila saya makan berdiri, Jamir akan menarik bangku, menyuruh saya duduk,

 

“Tuan Puteri, duduk ya”

(haha, Jamir memang selalu panggil saya Tuan Puteri, saya cuma ketawa sambil balas memanggil dia, Dayang ku)

 

Jamir dan Rizal, orang Indonesia pertama yang saya kenal, sampai boleh berbual dan bergurau ketika kerja. Mereka berdua dah buka mata saya tentang banyak perkara. Tanpa mereka sedar pun, saya merasakan mereka membantu saya melihat dunia dari sudut pandang yang beza. Bukan lagi sudut pandang dari zon selesa saya.

 

Lihat dunia dari mata burung, berhenti lihat dunia dari lubang tempurung.

Sunday, July 18, 2010

masalah itu mendewasakan, bukan?

Alhamdulillah. 20 tahun bernafas, saya sentiasa bersyukur dengan perjalanan hidup saya. Dari kecil boleh hidup dengan apa adanya yang termampu oleh Baba & Mama, walau tak dimandi kemewahan, tapi saya boleh dapat apa yang saya mahu. Kemudahan material, asal ada, dan tidak pula berlebihan.

 

 Ada satu perkara saja yang saya dan adik-adik dimewah-mewahkan. Malah melimpah-ruah pula.

 

KASIH SAYANG.

 

Sejak berakal, saya tahu saya sentiasa dalam zon selesa. Saya bukan anak yang lahir dalam keluarga pincang. Bukan juga anak yang lahir tak diketahui siapa ibu bapanya. Saya bukan anak lahir dalam keluarga miskin tegar, sehingga diri sendiri perlu bergelut payah mencari 1 pot beras. Saya juga bukan anak yang dilihat orang, anak tiada masa depan.

 

Saya lihat diri saya, sebagai insan bertuah yang punya segalanya. Saya punya ibu bapa yang mewah kasih sayang, saya punya adik-adik yang rapat, saya punya kawan-kawan teman seperjuangan waktu saya jauh dari keluarga, saya punya orang-orang sekeliling yang sayang dan ambil berat pasal saya, dan juga pembaca Blog Ain Fathihah yang masih mahu baca celoteh saya.

 

Dengan segala apa yang DIA sudah beri pada saya, saya rasakan amat tidak patut saya merungut dan berkeluh kesah dengan masalah yang sedikit. Masalah yang DIA berikan, bukan untuk saya pinta dikecilkan ujian, tapi untuk saya mohon agar dibesarkan dan dilapangkan hati untuk menghadapi ujian.

 

Masalah itu mendewasakan, bukan?

 

 

Jika dunia

Aku yang punya

Akan ku dirikan

Sebuah syurga

Malam tanpa siang

Untuk ku bermimpi

 

Sepanjang masa

Tanpa kecewa

Bertemankan bintang yang setia

Bagaikan puteri

Kisah khayalan

Yang hidupnya suci dan sempurna

 

oh...Tapi sayang

Hanyalah impian

Bulan tak bisa tumbuh ditaman

Dan bila mentari datang

Pulanglah segala kenyataan

 

Jika dunia

Aku yang punya

Akan kuhiaskan

Sepasang sayap

Putih dan berseri

Untukku kemudi

 

 

Aina : Ainnnn!! Mai turun masak! Ngadap laptop tak habis-habis.

Ain : err, yelah yelah. Nak turun dah ni. Sabaq la sat.

Thursday, July 15, 2010

dulu seorang, sekarang berdua. takkan mungkin jadi bertiga.

Salam’alaik. Rasa lama tak update. Rindu nak menulis. Tapi idea mahu menceceh di Blog Ain Fathihah terasa tersekat-sekat. Badan rasa nak demam. Kurang minum air kosong agaknya. Mungkin juga perubahan cuaca dan angin Penang ke Tanjung Malim buat badan saya rasa tak sihat. Haha kononnya lah kannn…

 

Alhamdulillah, semester ini saya sudah punya teman sebilik. Cuma teman sebilik, bukan teman sekatil. Katil saya di sudut kiri bilik, dan katil dia di bahagian tingkap.

 

Namanya Sue. Orang Borneo. Nama penuh? Saya tak pasti antara Suhana ke, Suraya. Pasti lah bukan Suwa-suwe-kemoning-istimewa-raja. Semester 3, jurusan Pendidikan Bahasa Melayu. Cantik orangnya. Ramah, boleh dibawa berbual. Tapi saya belum sudi berpeluang bersembang panjang dengannya. Mungkin tak sempat. Mungkin menyombong. Mungkin masih kekok. Dia masuk ke rumah sewa ni bersama dua orang kawan.

 

Jujurnya, dari pengalaman duduk seorang di bilik 3 ini semester lepas, saya merasakan kawasan jajahan (terminologi ekologi : niche) saya semakin kecil. Yelah kan, sebelum ini almari untuk dua orang, saya gunakan seorang. Sesuka hati letak baju di dua bahagian. Sesuka hati tukar-tukar katil untuk tidur setiap malam (saya pasang cadar di kedua-dua katil). Sesuka hati gunakan dua meja belajar (satu untuk laptop, satu untuk printer).

 

Mudah cakap, Bilik Ini Aku Yang Punya! Hehe.

 

Sekarang, dengan paksarela saya mengecilkan ruang jajahan saya. Takda masalah pun sebenarnya. Saja mau mengungkit ke’heaven’an semester lepas.

 

Malam Selasa, saya dapatkan movie Kites daripada Blogger Orang Perlis Menulis, Cikgu Man. Itupun setelah saya muat turun movie Lu Pikiaq La Sendiri dan Belukar untuk dia. Malam tu juga terus tonton. Cerita romantika Hindi-Mexico.

 

Saya mula menonton sekitar jam 11malam. Malam masih muda, kan? Tapi teman sebilik saya, Sue, tiap-tiap malam jam 10 dia sudah tidur. Erk, awalnya. Huhu. Ya adik-adik kena tidur awal ya. (hehe, perasan kakak, padahal dia lagi tua umurnya dari saya.).

 

Disebabkan cerita romantik, saya terpaksa kuatkan volume speaker laptop. Pelakon berbisik-bisik romantik, mana nak dengar. Sarikata (subtitle) ada, cuma lebih seronok dengar si Hrithik dan Barbara Mori berlawan cakap Urdu-Spanish. Sekitar sejam menonton dan melayan senyum seorang, tiba-tiba ada adegan tembak menembak, memang bising satu bilik. Bang-bang-bang!

 

Si Sue terpisat-pisat matanya terjaga dari tidur. Aduh, maaf! Bising tengah-tengah malam. Haruslah Sue terjaga. Cepat-cepat saya minta maaf, perlahankan volume laptop, dan minta dia sambung tidur. Hehe.

 

Esoknya, malam Rabu, Sue minta izin dari saya untuk tidur di bilik bawah bersama dua orang kawannya.

Erkk? Mungkinkah dia trauma tidur sebilik dengan saya?

 

Nota buku lali : Rasanya lepas ni saya takmau bagi dah Sue tidur di bilik orang. Mungkin mau buat gaya sang suami bercekak pinggang memanggil si isteri masuk tidur.

“Sue! Cepat masuk bilik sekarang. Mau tidur!”

Sunday, July 11, 2010

terima kasih, tukang baca!

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Dah kenal, mungkin timbul rasa suka. Salah satu cara untuk orang mengenali saya, adalah melalui Blog Ain Fathihah.

 

Ya, blog ni cerminan diri saya, walaupun tak sepenuhnya. Saya menulis entri-entri dalam blog ini dari hati. Terima kasih pembaca-pembaca setia Blog Ain Fathihah yang masih tak jemu berkunjung setiap kali saya kemaskini cerita terbaru saya.

 

Hari ini, ada satu mesej yang buat saya tersenyum simpul. Rasa nak kongsikan dengan kalian.

 

“Salam. Ain pehabaq. Lama tak online. Hehe. Saya nak umumkan sesuatu. Saya dah berjaya khatamkan Blog Rasa Sayang. Termasuk la entri baru Ain. Huhu. Best2. Teruskan menulis tau =) study rajin2 ye. Takmau nakal2 tau. Cuba lah ‘jadi’ matang (walaupun matang tu sifat semula jadi). Take care. Salam =)”

 

Bila seseorang yang kita tak berapa kenal, menulis begini, rasa terharu kan? Hehe. Terima kasih pembaca Blog Ain Fathihah, yang selalu berkunjung ke sini, yang selalu meninggal jejak, yang rajin komen balas di entri-entri saya, dan juga saudara/i Silent Readers.

 

Salam Sayang,

dari hati.

Bertaut rasa melalui cerita.