Thursday, November 12, 2020

tiba-tiba dah habis sesi sekolah 2020

 it's a wrap. bye sekolah sesi 2020, half cooked. kita sambung PdP dari rumah pulak. Mencabar sungguh la tahun ni. Tiba-tiba teringat lirik lagu minggu koperasi, 'wawasan dua puluh dua puluh, kita tidak akan mengeluh'. Huhu la ni bukan takat mengeluh dah, dah ramai yang 'oh dengarlah, jeritan batinku' ini. 


Semoga semua kawan-kawan dikuatkan hati, ditabahkan emosi nak menghabiskan tahun 2020 seterusnya 2021 yang makin mencabar. Stay safe, everyone!

Sunday, July 26, 2020

Luqman


Luqman bin Fadzil Hilmi, the bossy baby.

Saya mengajar sesi petang di sekolah sekarang. Jadi pagi hari cuma ada kami berdua di rumah. Muhammad pi tadika. Luqman lah kawan bergaduh ibu. Kadang ibu menang, kadang Luqman menang.

Luqman ni, gelagatnya seringkali mencuit hati. Tapi kerap juga buat kami suami isteri tepuk dahi. Kuat mengamuk dan menangis bila kehendak tak dituruti. Kuat memaksa. Suka menyakat Muhammad. Tapi bila dia tidur, rasa sunyi sangat hidup ni.

Ibu anak dua


Amboiii, kekok aih nak menulis kat sini. Sungguh dah terlupa langsung kewujudan blog ni. Mungkin sekarang dah takdak masa nak merapu meraban di blogspot.

Asyik main whatsapp status ja pun.

Update ringkas.

Sekarang dah jadi ibu anak dua.
Muhammad 5tahun 6bulan,
Luqman 2tahun 6bulan.

Suami? Muahaha, pakcik tersebut la weii.. Fadzil Hilmi.

Rezeki hujung tahun 2019 lulus pertukaran ke Kedah. Dapat pindah duduk rumah kami setelah dua tahun dapat kunci. La ni che' jadi oghang Qodahh uitt..

Cakk!

Tiba-tiba teringat pernah ada blog. Saja update main-main sebab kat sini dah takda sapa-sapa baca. Kekeke

Tuesday, August 04, 2015

kemaskini

berhabuk. menulis blog mungkin sudah tidak 'in' lagi sekarang. atau saya yang sudah bosan dengan alam maya. masih di facebook sesekali muncul. itu lah sahaja. buka emel pun atas urusan kerja.

cepat masa berlalu. ini saya terasa mahu menulis kemaskini perkembangan terkini saya. entah siapa yang akan baca. haha.

1. alhamdulillah sudah ada roommate lelaki, booked 20 Disember 2013. majlis nikah kecil-kecil saja. masih terasa manisnya. haha.

2. tak sempat nak pejam celik lama-lama, 11 Januari 2015 muncul orang ketiga antara kami. tak sangka saya akan sayang lelaki lain lagi dalam hidup ini. terima kasih Muhammad bin Fadzil Hilmi.

3. jadi saya masih berfikir, adakah selepas ini blog Ain fathihah akan jadi tempat saya berkongsi perjalanan hidup bersama suami dan Muhammad?

4. pelik juga rasanya. dari blog gedik anak remaja, akan menjadikah jika saya tukarkan kepada blog ibu-ibu seMalaya?

Monday, September 22, 2014

dah terasa tua untuk menulis cerita di sini lagi

saya tak pasti kerana perasan telah berusia atau apa, mungkin kerana sudah memasuki alam kerjaya, atau alam rumahtangga, atau barangkali terasa berada di zon selesa...saya rasa tidak betah lagi mau menulis cerita peribadi di sini.

banyak perkara dah berlaku pada saya. turun naik cerita. cuma sekarang cerita-cerita peribadi itu biarlah saya simpan sendiri saja. begitu fikiran saya sepanjang masa tidak berkisah di sini. bukanlah disimpan sebagai rahsia, cuma sekarang sudah punya teman seranjang huahaha sekamar berkongsi cerita, ceria lara duka suka cinta.

apa lagi mau dikisahkan pada media sosial dan teman maya bila sudah punya teman sudi setia paksarela menadah telinga mendengar setiap celoteh saya. haha mana lagi mau lari, sudah terikat janji begini.

cuma petang ini, terasa rindu dan gatal jari saya mau menaip sesuatu, di sini di blog Ain Fathihah. telah lama saya tinggalkan sepi.

lama berfikir, tapi tak ada satu cerita pun yang mampu saya tuliskan di sini. kekok barangkali.

jadi saya tinggalkan saja blog ini dengan gambar kami. tanda saya masih ingatkan pasword blog ini.


nota tumit : dulu teringin nak ikut trend juga, pre wedding photoshoot kononnya. tak apa, kita buat post wedding photoshoot. aummm!

salam sayang.

bye.


Tuesday, March 18, 2014

hijrah

ramai yang cakap, saya ini anak bapak. tak pernah lagi lah saya dengar ada yang menyebut saya ni anak mak. tapi tanpa mak dan bapak, siapalah saya. justeru harus (sudah tentu) ada keduanya untuk menjadikan apa adanya saya pada hari ini.

terima kasih mama.
dan,
terima kasih baba.

kekok mau menulis mama dan baba dalam ayat yang sama sebab keadaan sekarang bukan macam dulu-dulu lagi

nota : ini entri serius.

dua hari selepas pernikahan saya, Baba dan Umi beritahu saya sesuatu yang buat saya tersentak. Permohonan pertukaran baba ke negeri lain diluluskan. Bermakna, Baba akan berpindah, jauh dari Pulau Pinang. Memegang tanggungjawabnya, Baba pastinya membawa bersama adik-adik saya yang berada di dalam jagaannya. Haruslah dia kena bawa anak-anaknya bersama, kalau Baba tinggalkan adik-adik pada saya, mesti saya dah mengamuk-amuk.

Ya, saya menangis. Walaupun masa tu saya sudah bernikah tapi saya belumpun bermalam mahupun tinggal bersama suami, jadi masih perasan orang bujang. Hati saya sentap.

Juga menyesal. Bila diingat kembali, hubungan saya dengan Baba boleh dikatakan dingin sepanjang tahun 2013. Malu rasanya nak tulis di sini, tapi ya, saya tidak melayan Baba dengan baik sebelum ini. Entah apa yang merasuk hati, saya rasa sangat marah dengan Baba. Bukan marah kerana benci, tapi semacam kecewa. Kecewa atas apa yang berlaku.

Ramai yang tahu, saya mempunyai hubungan rapat dengan Baba sejak saya kecil. Baba lah idola, Baba lah hero, dialah segalanya bagi saya. Tapi hati saya terluka. Rasa semacam dikhianati.

Angkuhnya saya sebagainya anak, sampaikan saya kerapkali berdoa dan berharap, moga saya cepat kahwin. saya takmau lagi tinggal dan berada dalam jagaan Baba. Juga saya rasa, eloklah saya jauh dari Baba, sebab tiap-tiap kali memandang dia, hati saya rasa terluka.

Allah jawab doa saya dengan cara yang saya tak jangka. Memang doa saya ditunaikanNYA, dengan cara membawa Baba jauh dari saya.

Saya bingung. Baru saya sedar, rupanya saya masih belum cukup bersedia untuk hidup sendiri. Rupanya selama ini Baba dah buat segala-galanya yang terbaik dan termampu dari dia untuk saya. Rupanya hati saya sangat-sangat rindu bila Baba tiada depan mata. Rupanya saya selama ini terlalu bergantung hidup dengan Baba.

Saya rasa kehilangan. Juga rindu.

Walaubagaimanapun, saya sedikitpun tidak merasakan keputusan Baba untuk berhijrah setelah 20 tahun di Pulau Pinang suatu keputusan yang salah. Inilah yang terbaik untuk dia dan keluarga. Hijrah ini adalah sesuatu yang baik. Sesuai pula pada masanya. Moga yang terbaik untuk mereka di sana.

Adakah saya masih ada rasa marah dan kecewa pada Baba? Tiada lagi. Malah saya sendiri sudah lupa hal apa yang membuatkan saya kecewa pada Baba. Seakan selepas pernikahan, suami telah menjernihkan dan mematangkan fikiran saya.

Rasa hati lebih tenang selepas saya melepaskan sebahagian rasa negatif yang tersimpan dalam hati. Bukan mudah nak menjernihkan hati selepas apa yang terjadi. Walaupun saya cuba meyakinkan diri sendiri yang saya tidak terkesan, Allah jua yang tahu apa yang saya rasakan. Bukan mudah nak terima dan berlapang dada. Apapun, menerima itu lebih memudahkan keadaan.


nota tumit : entri ini mungkin menimbulkan persoalan. tapi saya akan jawab kemudian.