semasa saya masih bersekolah, saya bukanlah boleh dianggap sebagai pelajar yang lasak dan aktif. kaki bangku. tangan kayu. tak tahu main bola jaring (sampai sekarang pun saya masih tak tahu bermain bola jaring), apatah lagi bola tampar mahupun badminton.
sewaktu kelas Pendidikan Jasmani? saya cuma tukang sorak melihat kawan-kawan sekelas main bola jaring, ataupun memilih untuk menghabiskan waktu Pendidikan Jasmani dengan bermain permainan dalam. Congkak gituuu, gadis melayu kononnya.
Dek kekayuan dan kebangkuan saya, maka ketika itu, kasut sukan bukanlah prioriti utama. Saya tak pernah punya kasut sukan sepanjang 10 tahun tempoh persekolahan (lima tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah). Sewaktu hari sukan, pendidikan jasmani ataupun menghadiri perkhemahan, saya sekadar menyarung kasut sekolah.
Semasa membuat persiapan memasuki kolej matrikulasi, tercetak dalam senarai semak, antara barang keperluan peribadi yang perlu ada adalah kasut sukan. Maka Baba bawa saya membeli kasut sukan di kedai kasut Bata. seingat saya, kedai Bata di Jalan Masjid Kapitan Keling (baca : kot?)
Saya memilih kasut sukan berwarna merah jambu + kelabu berharga kurang lebih RM80.00. Itu lah kasut sukan pertama saya. Sedikit sebanyak saya rasa bersalah ketika itu kerana Baba tak henti-henti istigfar bila melihat harga kasut yang saya mahu. RM80.00 adalah mahal untuk seorang bapa punya isteri tidak bekerja dan deretan anak seramai tujuh orang. haha. Saya buat kering hati saja, saya tetap mahukan kasut itu. Mungkin ketika itu saya rasa berhak memilih apa yang saya mahu sebab saya berjaya menempatkan diri di Kolej Matrikulasi (hekk elehh, matrik ja pun, haha)
Selama setahun di matrikulasi dan empat tahun di UPSI, kasut sukan itu lah yang saya lenjan semahu-mahunya. Saya pakai sampai betul-betul lusuh dan hilang corak bunga tapak. Tamat belajar di UPSI kemudian sambung kursus jahitan di giatmara selama setahun, kasut itu lah juga yang saya taram semahunya. Puas hati sebab bertahun-tahun masih bersama kasut sukan kesayangan saya, kasut yang paling saya sayang dan itu lah satu-satunya pun. hihi.
Baru-baru ini, memikirkan saya perlu menghadiri program sekolah yang melibatkan jungle treking dan beberapa aktiviti luar, saya paksa diri membeli kasut sukan baru. Alhamdulillah, ini yang kedua dalam hidup. haha. Harapnya dapat dipakai sampai saya pencen. Bukannya pakai hari-hari pun kan.
Terasa kepuasan bila dapat membeli barangan peribadi menggunakan wang gaji sendiri.
nota tumit : Beg galas belakang dan kasut sukan baru. yuhuuu! masa ni masih bling-bling dan bau 'kedai'.