Tuesday, March 27, 2012

tanam pisang dapat pisang, takkan keluar durian dari tandan pisang

hampir tiga bulan saya berada di rumah, aktiviti harian saya memang banyak ditemani si kecil adnin dan kakak. Baba menguruskan mereka berdua sepenuhnya, dan saya cuma bertindak di belakang tabir saja. itupun bila disuruh.

saya perhatikan, adnin memang banyak bercakap. banyak amat. kadang-kadang saya naik geram sebab mati akal nak menjawab soalan-soalan dia. setiap hari lepas balik tadika, ada sahaja cerita-cerita mengenai cikgu dan kawan-kawannya yang akan dikongsi.

"tata, tata tau tak. tadi ada kawan adnin nama danish kan, dia berak tak basuh. busuk."

pernah dia bercerita begini semasa di meja makan. lantas saya mencelah cepat,

"erm, adnin. sat lagi cerita. makan dulu".


"tata, masa main kena main betul-betul kan. masa belajar kena belajar rajin-rajin kan."

"ya, betul"

"tata, adnin kadang-kadang rajin. kadang-kadang malas. tapi sekarang adnin nak jadi rajin ja. nanti cikgu cakap adnin rajin"

"bagus, bagus. kena rajin selalu"

"tata.. koh koh koh"

adnin tersedak lantaran banyak sangat bercakap semasa makan. adnin kerap bercerita semasa di meja makan, dan juga kerap dia tersedak makanan dek mulut yang buat dua kerja dalam satu masa.

maka, setiap kali dia membuka mulut mau mengoceh itu ini, saya atau Baba akan mencelah,

"adnin, makan dulu. makan dulu. sat lagi habaq"

satu hari, semasa di meja makan.

"Baba. minggu ni tata mula buat baju melayu. tak jahit lagi, baru duk lukis pola. esok..."

adnin mencelah,

"tata, tata!"

"ya adik? awat?" saya berhenti bercakap, dan memandang muka adnin. hajat saya mau menyambung cerita baju melayu saya lepas adnin minta apa yang dia mau. biasa la dia, masa makan nak kicap la, nak sudu la.

adnin bercakap dengan muka serius, sambil jari telunjuknya digodek-godekkan.

"tata, makan dulu"

jarinya menunjuk ke pinggan saya.

erk. sentap hati mak. haha.

dalam ego dewasa yang tercalar dek ditegur anak kecil dan rasa bangga sebab apa yang ditegur itu adalah benda betul, saya membalas.

"eh yala. masa makan tak boleh cakap. sorry sorry. okey tata makan dulu. shuhhh"

baba sakan mengetawakan saya.

Friday, March 23, 2012

giatmara ; matlamat penambahbaikkan

'okay anak-anak. minggu ni kita buat baju melayu moden. amik nota ni. lepas tu lukis pola', cikgu shidi, dengan suara mendatar memberi arahan.

'cikgu apa beza baju melayu moden dengan baju melayu purba?'

'baju melayu tradisional ada pesak ya kakak'

oh yeah. saya kurang rajin nak tulis langkah demi langkah membuat baju melayu moden dalam blog ini. maka saya tampilkan terus hasil akhir berserta model muka berminyak dan gelap gulita sebab hari-hari main panas bawa moto pi mai pi mai.

 
tadaaa! baju melayu moden saiz M. terpaksa saya memaksa diri sendiri jadi model sebab patung tak free masa ni, cikgu duk guna.

komen cikgu shidi,

'kak ain, ni jahit pemati awat huduh sangat ni? jahit macam ni, saya boleh bagi 65 per 100 saja'

'ala cikgu ni. kedekut. saya buat dengan penuh kasih sayang tau'

'ya saya tau. tapi ni ja la markah saya boleh bagi'


komen cikgu Lan,

'hang ni buat keja laju, tapi haram jahit tak kemas pun. ni kalau aku nak amik hang keja dengan aku, jangan harap la. jauh lagi (maksudnya mungkin jahitan saya sangat jauh untuk memenuhi piawai yang dikehendaki cikgu Lan)


haha. betoi. saya perasan juga saya buat kerja agak cepat berbanding yang lain. tapi saya kalah dalam bab kekemasan. jahit nak cepat saja. tangan pulak pengkar mungkin masa kecik tak dibedung agaknya, jahitan lurus boleh jadi kona tang tu, kona tang ni.


maka dengan ini, saya ain fathihah mengisytiharkan, dalam masa 3 minggu akan datang, saya akan berusaha perbaiki kekemasan hasil kerja saya. no cincai-cincai. no halai-balai lagi. haha.



Friday, March 16, 2012

ainfath's collection

AinFath collections la kononnya kan. hehe. alhamdulillah, walaupun orang tak puji, saya tetap rasa bangga dengan diri sendiri.

saya sendiri pun tak sangka saya mampu buat perkara macam ni. menjahit dan membuat pakaian adalah satu perkara yang tak termasuk dalam senarai perkara-perkara yang dicita-citakan.

berdasarkan gambar, dua baju di kanan adalah kemeja. warna putih saiz S, warna biru saiz XS (saiz ni saya tukar sendiri. takpernah jumpa pulak kan baju lelaki saiz XS).

baju warna maroon dan pic adalah blaus (kemeja perempuan). selama ni tak pernah ambil tahu, tapi rupanya cara menjahit baju lelaki dan perempuan adalah berlainan. ada etika pakaian dan peraturan yang perlu diikut.

usah tanya mana baju kurung mahupun baju melayu. belum belajar. saya baru belajar blaus dan kemeja.


Tuesday, March 13, 2012

yasin dan doa.

1 Mac lepas adalah ulangtahun penubuhan MARA. jadi semua Giatmara, kolej-kolej Mara dan mungkin pejabat Mara juga, diarahkan membuat bacaan yasin sempena tarikh itu.

sekitar jam 9 pagi, semua pelatih FND (fashion&dressmaking) dan pelatih kursus komputer diminta turun ke bengkel bakery. pelatih kursus bakery dah siap susun kerusi untuk mereka duduk. eh untuk mereka saja. jadi kena naik semula ambil kerusi. majlis bacaan yasin diadakan di situ (bengkel bakery). jumlah kesemua pelatih ketiga-tiga kursus kurang lebih 50 orang.

sempat saya mengusik rafidah,

"hah rafidah, hang mai duduk sebelah aku. boleh hang ajar aku baca yasin"

rafidah membalas,

"hala boleh. baca yasin senang ja. aku tau"

cikgu komputer (perempuan sekitar usia 30an) membuka majlis dan memberitahu kenapa bacaan yasin itu diadakan. seorang pelajar lelaki mengambil tempat sebagai imam untuk bacaan yasin pada pagi itu.

selesai yasin, cikgu meminta seorang pelajar lelaki membaca doa yasin.

"takmau cikgu. saya tak reti baca"

"takboleh takboleh. tok guru mengaji saya ajar baca yasin ja. dia tak ajar baca doa pun"

"haii, takmau cikgu. saya taktau baca bahasa jawi"


hampir 5 minit. masih belum ada sesiapa pelatih lelaki yang sukarela mau membaca doa. dipaksa pun takmau, sukarela apatah lagi.

cikgu masih kelihatan memaksa mana-mana pelatih lelaki untuk mengetuai bacaan doa. sungguh-sungguh depa takmau. mungkin bosan dengan penolakan mereka, cikgu cakap pada semua,

"haa yang perempuan. sapa volunteer nak baca doa?"

entah apa yang berlaku, saya kira psikomotor saya bertindak tidak seiring. sedar-sedar ja tangan saya dah diangkat ke atas.

sedar satu kesilapan. saya tak pernah mengetuai baca doa yasin pun. selama ni biasa duk aminkan orang lain duk baca doa yasin saja.

gulp.

"hah kamu. terima kasih. kamu baca ya"

"eh cikgu, tak apa ka perempuan yang baca? lelaki ada". halus, saya cuba menolak. padahal tadi tangan saya yang diangkat tinggi.

belum sempat cikgu menjawab, pelatih lelaki ramai-ramai menjawab,

"tak apa aih kak. takpa, takpa. kami suka akak nak baca"

dalam gugup, saya membaca doa tu. ada bahagian yang lancar. pasti juga banyak bahagian yang tergagap-gagap dan sangkut-sangkut bacaan doanya.

entah badi apa, suara saya automatik jadi kuat. rasanya satu bengkel boleh dengar suara saya dengan jelas, termasuk bahagian-bahagian yang salah dan gagap baca.

semasa membaca, telinga saya dapat menangkap suara pelatih lelaki yang terkekeh-kekeh mengetawakan saya.

ciss!!!

cakap mak

satu petang, saya meluangkan masa menziarahi rumah seorang kawan di giatmara. saya kebosanan di rumah. dalam masa sama juga berhajat nak kenal kawan itu lebih rapat.

petangnya, saya cuma melepak di depan pintu rumahnya, sambil berbual dengan ibu kawan itu dan jiran-jiran sebelah rumah.

masa magrib, saya tumpang solat di tingkat atas rumahnya. lepas solat ibunya suruh makan. oh, bab makan, usah dirisaukan. saya melaju saya mencedok sendiri mee goreng yang dihidangkan.

sambil makan, saya melayan ibunya berbual. topik utama dah tentu lah mengenai kelas jahitan kami di giatmara.

ibu : kelas menjahit macam mana? susah tak?

saya : boleh tahan susah la. asyik salah jahit ja. hehe.

anak : susah. cikgu garang. ala kak ain ni, cakap ja susah, tapi kak ain punya keja lagi cepat siap dari kami (kami=saya)
ibu : awatnya?

anak : yala. kami baru jahit badan, kak ain boleh siap dua helai blaus dah.

ibu : awat dia siap, hang tak siap?

anak : ala kak ain cepat tangkap cikgu ajar. tu yang akak siap cepat.

saya : kena rajin pi tanya cikgu, nanti cikgu ajar la bagi reti, kan.

ibu : hang memang bodo. dari dulu hang memang bodo. satu apa pun hang tak reti. anak tak guna. (menjeling)

gulp. saya terkedu. dah tak tahu nak membalas apa. cuma senyum dalam kesal. seingat saya, tak pernah mama saya cakap anak macam tu. kalau mama terlepas menggunakan perkataan-perkataan tak elok semasa marah, baba akan tegur mama. saya tak tahu nak bayangkan apa yang kawan tu rasa dalam hati. atau mungkin dah terbiasa barangkali.

kata-kata mak tu doa.


*kisah di atas ini, benar-benar terjadi cuma saya ubah sikit supaya tak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak. mana la tau orang yang terlibat tu terjumpa blog saya.

Thursday, March 08, 2012

adnin dan matematik

si kecil Adnin mula pergi tadika semasanya umurnya lima tahun. sekarang Adnin sudah enam tahun. saya dan famili menyedari kecenderungan Adnin lebih kepada matematik. kalau bab mewarna-warna lukisan mahupun melukis dan membaca, itu bukan kegemaran dia.

walaupun sekarang si Adilah @ Kakak sudah darjah tiga manakala adiknya baru enam tahun, mereka boleh berlumba mencongak bersama. kadang Kakak dapat jawapan dulu, dan kadang Adnin dapat jawapan dulu. Pernah beberapa kali juga semasa Baba atau Kak Teh sedang membantu Kakak menyiapkan kerja sekolah matematik, si Adnin yang sibuk menyampuk.

"Okay kakak. kira ni, 19 tambah 15 sama dengan berapa? buat bentuk lazim macam ni..."

"kira dulu, 9 tambah 5 berapa?"

lima saat, Kakak masih diam. belum mendapat jawapan.

"kakak, 9 tambah 5 berapa?"

"empat beyas!" sahut adnin yang berada berdekatan. Dia sedang main video game, seakan tidak mengendahkan kakak membuat kerja sekolah, tapi rupanya dalam duk main, dia sempat mencongak kiraan matematik itu.

Kakak, lebih suka membaca daripada mengira. habis semua buku yang mampu dibacanya, akan dibaca. Seringkali juga Kakak akan membaca buku cerita yang ada kuat-kuat, lengkap dengan intonasi dan suara yang diubah-ubah mengikut watak. Tergelak juga saya melihat Kakak semangat membaca buku cerita untuk Adnin.

Satu petang, balik daripada kelas jahitan, saya baring-baring di katil melepaskan lelah. Adnin datang kepada saya, lalu berbaring di sebelah sebelah. sambil saya mencubit-cubit pipi adnin, saya bertanya,

"adik belajar apa hari ni?"

"tata, tata tau tak.. hari ni kan, cikgu tanya empat tambah empat berapa. semua orang taktau. Nin sorang ja tau. lepas tu cikgu bagi bintang. tiga bintang cikgu bagi..!" ujarnya bangga.

*harus lahh, orang lain baru masuk tadika saja. pra-sekolah untuk enam tahun. si adnin dah setahun ada di tadika tu, kemudian mengulang lagi tahun yang sama.

"wahh yaka. bagusnya. empat tambah empat berapa?"

"lapan laa, tata ni. tu pun taktau". kata adnin yang kehairanan sebab saya seakan taktahu. jujur mukanya. cis.

"erm, yala. adnin kan pandai. sebab tu tata tanya"

mata saya berat. mengantuk dan penat. tapi saya tahan mata sebab menunggu mau mandi dan waktu magrib. untuk elak tertidur, maka saya berbual dengan adnin.

lama saya diam. melayan mata.

"Tata, tata umur berapa?" tiba-tiba dia bertanya.

"tata umur dua puluh dua. adnin umur berapa?"

"enam"

"kakak umur berapa?", saya menyoal.

"kakak sembilan tahun".

"kak teh?"

"aaa..kak teh..taktau", dia menjawab.

"kak teh umur enam belas tahun."

"oooo". panjang O dia.

"tata, kak chik umur berapa?"

"kak chik umur lima belas"

"kak uda umur berapa?"

"kak uda, umur dia.. erm, dua puluh dua tolak tiga. kira berapa?" saya menjawab dalam soalan sambil memejam mata dan memeluk adnin.

"erm.. dua puluh dua.. tolak tiga.. erm.. sembilan belas! kak uda umur sembilan belas"

"betul. umur angah pulak, dua puluh dua tolak satu"

"angah umur dua puluh satu! senang ja nak kira", ujarnya dalam lagak. sah adik saya. haha.

mata saya makin lali. mengantuk. saya diam.

"tata, masa adnin umur sembilan tahun, tata umur berapa?"

"tata dua puluh lima"

"tata, masa adnin dua puluh, tata umur berapa?"

"tata...erm.. tiga puluh enam."

"tata, masa adnin umur tujuh puluh dua, tata umur berapa?"

haizz, mai mana pulak dah umur 72 ni. desis saya dalam hati. malas mau mencongak, saya cuma menjawab malas,

"masa adnin umur 72, tata dah mati dah". saya jawab sambil memejam mata.

jeda. adnin tidak menyoal apa-apa lagi. dua minit. saya hairan. lalu saya buka mata.

mata adnin basah.

"eh, laa! awat nanges?"

"wuu wuuu. tata jangan la mati lagi."

adnin menangis sambil memeluk leher saya.

tiba-tiba hati saya penuh rasa terharu campur sebak. senyum saja yang mampu.

dua orang kesayangan

Tuesday, March 06, 2012

mimpi ngeri

masa sekolah rendah :

Baba, nak kawen.
Aik, baligh pun belum macam mana kawen.


masa sekolah menengah :

Baba, nak kawen.
Isk bagi habis sekolah dulu la. habis sekolah Baba bagi kawen kalau SPM teruk.


masa matrikulasi :

Baba, nak kawen.
Sabaq sat. matrik setahun ja. kat U takpa la nak kawen, kat U tak padat sangat waktu belajar macam kat matrik.


masa tahun 1 UPSI :

Baba, nak kawen.
Laa baru masuk U dah nak kawen. tunggu la tahun dua nanti.


masa tahun 2 UPSI:

Baba, nak kawen.
Tak sibuk ka dengan belajar? tunggu masa praktikal atau masa tahun akhir nanti la. masa tu dah tak sibuk sangat dah.


masa tahun 4 UPSI :

Baba, nak kawen.
Kan sibuk tesis ni? siapkan tesis dulu la.


bila dah habis UPSI :

Baba, nak kawen.
Keja dulu la. rasa pegang duit sendiri dulu sebelum kawen.


bila dah kerja :

Baba, nak kawen.
Kerja la lama sikit baru kawen. tak puas lagi rasa duit anak keja.


Satu hari :

Salam. Encik dikehendaki hadir ke pejabat agama sekarang. Anak encik didapati berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan dengan lelaki bukan muhrim.

Pangg! macam ni ka anak? memalukan keluarga! pangg! dushh debuk debukk!


huh. terjaga dari tidur. mimpi ngeri.

apapun, kadang-kadang hidup ini memang menakutkan, ya.

Monday, March 05, 2012

kemaluan besar jatuh

saya rasa macam memang jarang saya update blog sekarang ni. taktahu kenapa. mungkin sibuk. mungkin letih. sibuk dengan kelas menjahit. juga letih dengan kelas menjahit. seharian di kelas, balik pukul 6 petang. saya kemengahan. rasa seperti bayi pula bila hari-hari masuk tidur pukul 9. hehe.

ada banyak perkara mau dikongsikan. tapi dek kekangan masa dan penyakit mim alif las, malas..saya kurang mood nak update blog sekerap dulu. ada siapa rindu? (senyum)

hari khamis dua minggu lepas.. ya, khamis dua minggu lepas. hal lama. cuma saya menunggu kemaluan malu hilang, baru saya berani menulis di sini.

pagi khamis pada hari kejadian, saya terlebih rajin bersiap awal pergi ke kelas giatmara. malas mau iron seluar slek, saya capai saja skirt labuh warna hitam berbunga putih, saya padankan dengan blaus putih kosong, paras pinggul. siap berbaju, saya kemalasan juga mau seterika tudung, maka saya capai saja selendang hitam putih yang juga. pasti sama, tak perlu seterika. haha. jadi tema saya hari itu adalah hitam putih, ataupun tema taik cicak. pagi-pagi tengok cermin, saya senyum. eh comei jugak aku ni.

seperti biasa di giatmara bukit bendera, pagi-pagi jam 8 ada perhimpunan pagi. rutin : panggil nama seorang demi seorang, semak kehadiran, nyanyi lagu Negaraku, bacaan doa, dan bacaan tafsir quran. habis perhimpunan, saya terus ambil kunci skuter, mau pergi sarapan.

(rutin saya juga setiap pagi, lepas perhimpunan pagi saya akan terus pergi sarapan di gerai makan berdekatan, kedai roti canai berhadapan dengan apartmen azuria, tanjung bungah. hari-hari sarapan yang sama : roti canai sekeping, kuah banjir. roti bakar satu set + telur separuh masak dua biji = roti dangdut. nasi lemak sebungkus. dan teh tarik.)

semasa saya melangkah mau turun ke skuter, seorang rakan sekelas giatmara menyapa,

"kak ain. nak pi mana?"

"macam biasa. nak pi sarapan."

"lapaq. nak ikut boleh?"

"jom"

biasanya saya seorang. hari itu berteman. sayangnya bila menuju ke gerai biasa saya kunjungi, gerai tu tutup. disebabkan sederet di jalan itu banyak kedai makan, saya terus saja menuju ke kedai makan seterusnya.

"jom azfa. kita makan"

selesai mengambil makanan dan memesan minuman, saya dan azfa duduk di meja dan makan. hampir setengah pinggan mee goreng saya habiskan, seorang wanita sekitar usia 40an datang menyapa di meja makan kami.

"assalamuaikum. adik ni keja mana?"

saya memandang azfa. azfa memandang saya. senyum.

"ya, salam. kami duk belajaq lagi. giatmara depan ni"

"ooo. ambil kelas apa? bakery ka?"

"dak. kami dua orang amik jahitan"

"oh haa laa.. baguih la muda-muda mau belajaq menjahit"

kurang lebih 5minit berbual, makcik tadi meminta diri dari meja kami. semasa menghabiskan makanan, saya perasan, makcik tu banyak memandang ke arah kami sambil melemparkan senyuman.

azfa seakan berbisik pada saya,

"kak ain, makcik ni asyik senyum ja. saya dah tak larat nak senyum balik."

"tu la. pelik makcik ni kan."

"dia pekenan kat kak ain kot"

"iskk, merepek. tapi kalau anak laki dia hensem, boleh jugak. haha"

"entah-entah dia nak bagi kak ain kat laki dia.

"iskk, merepek. tapi kalau laki dia tauke balak, boleh jugak. haha"

"awat dengan makcik ni hah, kak ain. pelik la cara dia tengok kita. dia senyum pelik. macam nak habaq sesuatu ja"

"makcik ni ada butik kot. dia nak ambik kita keja kot. kita kan belajar menjahit"

selesai sarapan, kami balik ke giatmara. saya meneruskan kerja-kerja semalam. kononnya tekun membuat blaus. dalam sibuk duk siapkan ujian amali membuat blaus, sempat lagi saya menyakat rafidah. dalam sakat, saya tolong rafidah jahit tepi. masa tu jam kurang lebih pukul 11pagi.

semasa saya duduk menjahit kain blaus rafidah di meja jahit tepi di sudut hadapan bengkel, tiba-tiba syarifah menegur saya,

"eh kak ain. awat dengan kain kak ain tu?"

"sat sat. nak habiskan ni sikit lagi"

siap jahit, saya memanggung kepala.

"awat syarifah?"

"tu kain kak ain kat betis. koyak"

pantas saya bangun dari bangku bulat itu, saya berdiri. saya menunduk memandang bawah.

"alamak, kain ni koyak masa bila? haha, sat nak jahit balik la."

dalam terkejut, saya masih ketawa. sambil memusing-musingkan badan dan membiarkan skirt labuh yang saya pakai jadi kembang-kembang. tiba-tiba jari saya terasa sesuatu.

"weii! syarifah! ada lagi satu koyak! kat bontot wei!!", spontan. saya menjerit. kali ini betul-betul panik. saya periksa lubang yang koyak  sebesar silin 20sen itu. betul-betul di bahagian bawah punggung. pasti, tidak nampak seluar dalam, tapi nampak paha dari bahagian yang koyak.

pucat muka saya. gulp. tiba-tiba azfa menjerit,

"kak ain!! patut la tadi makcik tu tengok kita semacam! dia tengok kak ain!!!"

"arghhh, wei maluuuu!"

dalam ketawa campur terkejut campur malu campur rasa kemaluan jatuh, saya cepat-cepat meminjam seluar aida, tukar kain dengan seluar. dan terus jahit bahagian kain yang koyak tu.

habis ketawa, saya pergi menceritakan apa yang berlaku pada cikgu Lan.

"hahahaha. teruk hang ni, no'en (nama panggilan saya oleh cikgu Lan. Nurul Ain --> Nor Ain --> No'en). amik kelas jahitan, tapi kain sendiri carik. buat malu aku ja!"

"mana nak tau, cikgu. bukan saya sengaja nak pi tunjuk paha kat orang."

"takpala, rezeki dia la ni. hang tau tak apa moral of the story, no'en?"

"erm, pakai baju labuh." saya menjawab sebab memang blaus yang saya pakai hari itu tidak labuh ke bawah punggung.

"salah."

"erm, pakai simeh (kain dalam)."

"salah."

"laa, habis tu?"

"hang toksah duk perasan lawa! haha"